Showing posts with label news. Show all posts
Showing posts with label news. Show all posts

Thursday, December 25, 2008

GPTD di Kelantan

Pengerusi GPTD, Sdr. Jufitri dan Ketua Penyelaras, Sdr. Najmuddin berada di Kelantan dari 25 hingga 26 Disember.

Wakil GPTD berada di Kelantan bersempena dengan Mesyuarat Agung Khas Briged Bakti Negeri Kelantan yang akan dipinda menjadi Briged Bakti Malaysia. GPTD bertindak sebagai rakan NGO kepada Briged Bakti. Ahli-ahli Briged Bakti juga akan ditawarkan ruang untuk mengikuti latihan dan gerak kerja GPTD di luar negara.

Sehubungan dengan itu, GPTD ingin menawarkan ruang untuk bekas-bekas ahli Briged Bakti yang berada di IPT untuk sama-sama menyumbang kepada umat melalui GPTD.

Wednesday, December 10, 2008

Info Terkini GPTD

Assalamualaikum wrh. wbt.

TaqabbalalLahu Minna wa Minkum
Salam 'Idul-Adh-Ha 1429
Kullu 'Aam wa Antum biKhair

1. AlhamdulilLah, sukarelawan GPTD yang menyertai misi dokumentasi Qurban 1429H di wilayah Pattani telah selamat kembali ke tanah air.

2. Hasil mesyuarat GPTD Pusat dengan sukarelawan GPTD, projek baru ke Ko Samui, Surat Thani, Thailand telah diwujudkan. Projek ini dianggotai oleh sukarelawan GPTD dari Cosmopoint Kota Bharu.

3. Pengerusi dan 3 orang AJK GPTD akan berada di Kedah untuk bertemu wakil Institut Kemahiran MARA bagi membincangkan penubuhan GPTD Cawangan Kedah.

Sekian dimaklumkan.
Selamat Menghayati Ibadah Haji dan Qurban.

Terima kasih, wassalam.


NAJMUDDIN MOHD NAWI
Ketua Penyelaras GPTD

Wednesday, November 26, 2008

Muslim HIV di rumah Mubaligh Kristian

26hb November 2008, Batu Arang – ABIM telah menyertai rombongan dari Pusat Jagaan Baitul Fiqah ke rumah penempatan pesakit yang menghidapi penyakit HIV yang ditempatkan di rumah Mubaligh Kristian yand dinamakan ‘Welcome Community Home’. Rombongan turut disertai oleh beberapa sukarelawan GPTD dan pelajar-pelajar UNISEL. Apa yang menariknya di sini majoriti pesakitnya adalah muslim tetapi ia diletakkan di bawah jagaan mubaligh kristian itu. Tujuan kami ke sini adalah untuk berkenalan dan berkongsikan pengalaman bersama mereka serta mendapatkan info tentang mereka untuk diberikan bantuan susulan.
Rata-rata mereka adalah sudah berkeluarga tetapi telah ditinggalkan. Ada juga di antara mereka yang telah berkahwin dan mempunyai anak tetapi tidak boleh bersekolah kerana status kerakyatan dan sebagainya. Oleh itu, menjadi peranan kita sebagai umat Islam yang berkemampuan membantu sesama muslim seperti mereka supaya mereka dapat di jaga dan di pantau terutamanya dari segi akidah mereka kerana mereka berada di bawah jagaan mubaligh tersebut.

Saturday, November 08, 2008

Salam dari Turki


Bismillahirrahmanirrahim..

Didoakan semoga ikhwan semua berada di dalam kandungan Rahmat Allah sekalian Alam. Bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, kita masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup udara dan menikmati segala nikmat yang ada di alam buana ini.

Elhamdulillah doa dan hajat ana untuk mempelajari Bahasa Turki di Istanbul dimakbulkan Allah S.W.T. Atas nasihat dan cadangan ikhwan yang berada di Istanbul, serta musyawarah bersama ikhwan di Konya, ana telah mengambambil keputusan untuk mempelajari Bahasa Turki di Istanbul di Institusi Bab-ı Alem (sebuah institusi khusus yang memberi pendidikan dan biasiswa kepada pelajar-pelajar antarabangsa).

Di samping dapat menghadiri kursus Bahasa Turki secara formal di Istanbul, ana juga berkesempatan untuk mengikuti usrah dan halaqah sahabat-sahabat di Küçük Çekmece dalam Bahasa Inggeris. Keberadaan ana di Istanbul tidak disia-siakan dan ana dimanfaatkan untuk mengajar Bahasa Inggeris kepada sahabat-sahabat semadrasah di Madrasah Suleymaniye (madrasah tertua dan terawal yang pernah wujud di Kota Istanbul).

Mudah-mudahan kita semua diberi kekuatan iman dan semangat dalam berjuang di jalanNya, menuju kepada yang Haq.

Semoga kita semua tergolong dikalangan hamba-hambaNya yang bersyukur. Salam perantauan daripadaku buat ikhwan semua di Malaysia.

FAIZ ALI
8 Nov 2008
Istanbul, Turki.

Tuesday, October 28, 2008

Siri Jelajah Dakwah : Pulau Kokos



Sukarelawan sepenuh masa GPTD, Sdr. Suhail kini telahpun berada di Pulau Kokos bagi menjayakan projek imam muda di Pulau Kokos (Keeling), Australia bagi tempoh 2 bulan.

Beliau yang dijadualkan ke China Oktober lalu terpaksa menangguhkan sementara projeknya berikutan terdapat sedikit kesulitan. Beliau dijangka menyambung kembali misi ke China pada Februari 2009.

Seluruh warga GPTD mendoakan keselamatan, kejayaan dan keberkatan beliau di sana.
Perkembangan lanjut beliau boleh diikuti di sini.

Wednesday, September 10, 2008

Projek Dakwah ke Guangzhou, China



Sukarelawan sepenuh masa GPTD, Sdr Muhammad Suhail Ahmad telah mendapat liputan dalam akhbar Utusan bertarikh 10 September 2008 dalam ruangan Bicara Agama. Liputan ini telah dibuat oleh wartawan Utusan, Pn Zuarida Mohyin yang mengunjunginya baru-baru ini.

Sdr Muhammad Suhail yang bekerja sebagai peguam di bawah Tetuan Hisham Sobri & Kadir telah diberi cuti tanpa gaji selama setahun projek ini berlangsung. GPTD mengucapkan terima kasih atas kerjasama majikan yang membenarkannya melibatkan diri secara langsung dengan projek ini.

Projek GPTD China masih memerlukan dana kewangan untuk memastikan projek dakwah ke Guangzhou ini berjalan lancar dan berjaya. Projek yang bermula 9 Oktober 2008 sehingga 20 September 2009 ini memperuntukkan kos perbelanjaan sebanyak RM35,000.00.

Namun, keperluan awal bagi Fasa 1 (Oktober 2008 - Feb 2009) berjumlah RM20,000.00 adalah yang sangat diperlukan sebelum 27 September 2008. Manakala kos untuk Fasa 2 (Mac 2009 - September 2009) yang berjumlah RM15,000.00 boleh disumbangkan sebelum tempoh fasa ini bermula.

GPTD, sebagai unit sukarelawan muda ABIM merayu kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk menyumbang kepada projek ini dalam usaha menegakkan agama Islam di serata dunia.

Sumbangan boleh diberikan secara tunai, cek atau deposit terus ke:

Penama : Tabung Kebajikan & Pendidikan ABIM
No Akaun : 14-023-01-0011188
Bank : Bank Islam Malaysia Berhad

Sdr Muhammad Suhail boleh dihubungi di talian 017-6144 026 dan emel muhdsuhail.ahmad@gmail.com untuk sebarang pertanyaan dan maklumbalas. Selain itu, no pejabat GPTD juga boleh dihubungi iaitu 016-323 5700.

Friday, September 05, 2008

ZITO ke APEEC



SERDANG, 4 Sep - Ziarah Tokoh (ZITO) telah diadakan di Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) Universiti Putra Malaysia (UPM)pada hari ini oleh delegasi yang diketuai Pengerusi GPTD, Sdr Jufitri Joha.

ZITO pada kali ini telah memilih Prof Dr Haji Azimi Haji Hamzah sebagai tokoh untuk perkongsian pendapat dan pandangan dalam memacu pergerakan GPTD.

Sebagai Pengarah APEEC, Prof Dr Haji Azimi sangat berpengalaman dalam melatih dan merencana modul-modul yang bersesuaian dengan sikon (situasi dan kondisi) belia hari ini.

Perbincangan yang berlangsung selama dua jam tersebut lebih menekankan kepada aspek pembinaan minda dan jatidiri penggerak-penggerak belia sebelum memulakan sebarang aktiviti mengajak belia lain ke arah kebaikan.

Memahami konsep 'The Power of Invitation' amat penting dalam diri penggerak. Dengan mengajak orang lain berbuat baik, sebenarnya diri sendiri yang akan lebih terkesan ke arah itu.

Ini adalah aspek terpenting dalam diri penggerak bagi memastikan 'end product' yang dihasilkan daripada program-program adalah melahirkan lebih ramai lagi penggerak seperti mereka.

Begitu banyak input bermanfaat yang diperolehi dalam ZITO kali ini yang akan dikongsikan oleh delegasi kepada ahli-ahli dari semasa ke semasa. GPTD juga merancang untuk mengadakan perlatihan bawah bimbingan Prof Dr Haji Azimi pada masa akan datang.


Thursday, September 04, 2008

Temuramah UTUSAN



GOMBAK, 28 Ogos - Seorang sukarelawan sepenuh masa GPTD, Sdr Muhammad Suhail Ahmad telah dikunjungi wartawan UTUSAN, Pn Zuarida Mohyin untuk temuramah eksklusif berkenaan dirinya dan projek China.

Temuramah yang berlangsung hampir dua jam itu telah meninjau serba sedikit latarbelakang Sdr Suhail dan pengalaman-pengalamannya dalam bidang kesukarelawanan.

Sesi temuramah itu turut dihadiri sukarelawan lain, Sdri Puteri Nur Azwa Megat Mohd Yusof dan Ketua Penyelaras GPTD, Sdr Najmuddin Mohd Nawi yang bersama-sama melibatkan diri dalam perbincangan ringkas bersama Pn Zuarida.

Perbincangan ringkas yang diadakan sambil temuramah berlangsung menghasilkan beberapa kerjasama positif GPTD dengan akhbar UTUSAN. Antaranya ialah peluang rangkuman program dan penulisan artikel untuk dimuatkan dalam akhbar secara berkala.

Justeru, GPTD mengalu-alukan ahli-ahli GPTD untuk menghantar laporan ringkas atau artikel anda ke gptdhq@gmail.com untuk tujuan tersebut.

Untuk mengetahui berita selanjutnya berkenaan temuramah tersebut, sila dapatkan senaskah akhbar UTUSAN yang akan diterbitkan nanti dalam tempoh terdekat.


Thursday, May 15, 2008

Salam dari Palestin


Masa tak mengizinkan untuk saya maklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. Alhamdulillah pelbagai rintangan yang dihadapi dapat kami tempuhi dengan baik. Doa daripada kalian yang banyak membantu.

Antara rintangan yang ditempuhi ialah 3 pos polis/tentera menahan perjalanan kami tetapi kami dapat melepasinya dengan adanya orang perhubungan yang petah bicara.

Saya juga sempat menemubual beberapa penduduk Palestin. Antaranya mempunyai adik yang anaknya syahid di Ramallah ditembak askar Israel. Juga berlaku perkara yang menakjubkan. Ini membuatkan saya merasakan kehebatan Allah Yang Maha Kuasa.

Rasa marah timbul apabila saya berada di sempadan Israel. Bendera Israel berkibar megah di sempadan sungai Jordan. Bersama saya seorang pakar psikologi yang berasal daripada Los Angeles. Dia turut berang dengan Israel. Katanya (merujuk kepada Taurat/Torah) - punishment should not be greater than crime. Namun, terdapat juga masyarakat berhampiran yang benci kepada Palestin walaupun mereka beragama Islam.

InsyaAllah setibanya saya di Malaysia pada 16.5.2008, saya akan berusaha menyediakan laporan/rencana mengenai pengalaman berada di sini untuk dikongsi bersama.


Muhammad Suhail Ahmad
11.55pm
Amman

Wednesday, May 14, 2008

Kunjungan Hormat ke Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam



BERAKAS (Brunei), 12 Mei – Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Mohiddin, Setiausaha Tetap (setaraf dengan Ketua Pengarah di Malaysia) Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, telah menerima kunjungan hormat Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD).

Rombongan yang diketuai oleh Pengasas GPTD, Tn. Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman turut disertai oleh Sdr. Jufitri Joha (Pengerusi), Tn. Hj. Noryzal Zainal Abidin (Timb. Pengerusi II), Sdr. Najmuddin Mohd Nawi (Ketua Penyelaras), dan Tn. Hj. Nor Helmee Zainal Abidin (Pengarah, Unit Media dan Dokumentasi).

Hadir sama ialah Pengiran Haji Mohd. Tahir bin Pengiran Haji Yusof (Pengarah Pentadbiran), Awang Haji Ismail bin Haji Abdul Manap (Pengarah Hal Ehwal Masjid), dan Awang Hj. Mohammad bin Garing (Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da’wah Islamiah) - dari kementerian yang sama.

GPTD sebagai sebuah badan bukan kerajaan (BBK), membuka ruang kepada belia Brunei untuk turut serta dalam aktiviti khidmat sosial antarabangsa anjuran GPTD. Cadangan ini diusulkan sendiri oleh YM Dato Paduka dalam pertemuan tersebut.

Tn. Hj. Ahmad Azam menyatakan harapan beliau agar pertemuan ini akan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dunia.

Thursday, March 06, 2008

ZIGO: Ziarah KE IKON

Bangi, 27 Feb 2008 - Bertempat di Institut Kajian Oksidental (IKON) UKM Bangi. GPTD telah mengadakan lawatan sambil belajar bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang aktiviti yang telah di jalankan oleh IKON. Ia telah ditubuhkan pada 1 Oktober 2003 dan juga merupakan Institut Penyelidikan yang top-down dan terkenal dengan kajiannya. IKON juga adalah institut pengajian tentang peradaban barat di seluruh dunia dan juga perspektif dalam luar wilayah oksidental.GPTD juga berpeluang mengenali IKON dengan lebih mendalam dan pada masa yang sama GPTD telah membentangkan aktiviti –aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tahun ini. Dalam pada itu GPTD juga berkesempatan bertemu dengan Prof.Dr.K.S.Nathan yang dilantik sebagai ketua KAMERA atau di kenali sebagai Pusat Kajian Amerika. Pusat Kajian Amerika(KAMERA) telah di tubuhkan pada 1 April 2007. Oleh itu banyak manfaat yang telah kami terima ketika di IKON.

Friday, February 29, 2008

Ziarah ke Selatan Thai

Selatan Thai, 22-24 Februari 2008 - Abdul Hakim Shahbuddin telah mewakili GPTD ke Selatan Thai program yang dianjurkan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Ziarah yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan membina jaringan antara pelajar Malaysia dan pelajar Selatan Thai. Program ini juga bertujuan meninjau keadaan yang berlaku di sekitar negara ini.

Banyak tempat yang diziarahi seperti Angkatan Belia Islam Thailand (YMAT), Kolej Islam Yala, Universiti Songhkla Pattani, Darul Ayytam, Masjid Krisek dan laini-lain lagi. Peserta di bawa sendiri melihat bekas tapak pembunuhan penduduk Islam beramai-ramai di Masjid Krisek dan sebagainya. Persetujuan juga telah dicapai antara kedua-dua belah pihak iaitu pelajar Malaysia dan pelajar Selatan Thai akan bekerjasama dalam memastikan keamanan kedua-dua negara.

Antara program susulan yang boleh dilaksanakan selepas ini ialah menjadi tenaga pengajar di Selatan Thai terutamanya di Darul Ayytam. Darul Ayytam ialah sebuah institusi yang menempatkan anak-anak yatim dari segi pendidikan dan tempat tinggal. Untuk itu tempat ini boleh dijadikan tapak latihan bagi sukarelawan GPTD menjadi tenaga pengajar di sini mengajar bahasa, teknologi maklumat dan sebagainya. Sukarelawan wanita adalah lebih diutamakan kerana keseluruhan anak yatim di sini adalah wanita.


Thursday, February 28, 2008

Kunjungan ke Singapura



SINGAPURA, 22-24 Februari 2008 - Sdr Jufitri Joha (Pengerusi GPTD) dan Sdr Muhammad Suhail Ahmad (Sukarelawan GPTD) baru-baru ini telah ke Singapura bersama-sama delegasi Islamic Outreach ABIM (IOA) untuk mengeratkan hubungan antarabangsa dengan persatuan-persatuan Islam di sana.

Selain itu, kunjungan ini juga bertujuan untuk diskusi lanjut berkenaan Projek Khidmat Sosial dan Kajian Ketamadunan China bersama Mariah Mah, seorang cina Muslim yang mengendalikan MM China Silaturrahim Tours.



Mariah yang telah menjayakan beberapa siri kunjungan ke China melalui syarikatnya ini sejak 1994 sangat arif tentang China khususnya berkenaan komuniti Islam di sana.



Penginapan sukarelawan GPTD di sana telah disediakan oleh Masjid Ba'alawi yang dipimpin oleh Habib Hasan Muhammad Salim al-Attas. Kemudahan yang disediakan masjid ini amat mengagumkan. Antaranya ialah 7 bilik tetamu dan ruang makan yang luas dan selesa seperti di hotel.

Terdapat juga satu mini muzium yang menempatkan kitab-kitab lama simpanan peribadi ayah Habib Hasan. GPTD cukup bertuah kerana diberi peluang melawat mini muzium ini yang jarang-jarang dibuka kepada orang awam.

Layanan Habib Hassan kepada tetamunya sangat istimewa. Maka, tidak hairanlah Habib Hasan sangat disenangi ramai termasuk para pemimpin agama-agama lain di Singapura.



GPTD turut berpeluang mengunjungi Darul Arqam, institusi yang telah diberi kepercayaan oleh kerajaan Singapura untuk menguruskan pengislaman saudara-saudara baru. Darul Arqam kini telah mengambil alih tapak pawagam sebagai kompleks pentadbiran mereka. Ini adalah antara perubahan besar dalam gerakan mereka ke arah penyebaran dakwah yang meluas.




Masjid Sultan adalah antara destinasi kunjungan GPTD yang menarik. Masjid yang menjadi tumpuan umum ini amat mengalu-alukan kedatangan bukan Islam untuk mengetahui tentang ajaran Islam.

Oleh itu, program 'dosen' diperkenalkan Masjid Sultan.Sukarelawan-sukarelawan dilantik menjadi dosen atau pemandu pelancong bagi menerangkan tentang Islam sambil membawa para pelancong melawat kawasan masjid. Program ini berjaya menarik perhatian golongan belia untuk turut serta.

Di masjid ini, GPTD juga berpeluang bertukar pandangan dan pendapat dengan Mufti Singapura, Syeikh Isa Semait yang meluangkan masa selama 2 jam bersama delegasi.




GPTD seterusnya telah berkunjung ke Rumah Kanak-kanak Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura (PERTAPIS). Uniknya di sini, dana untuk menjalankan aktiviti dan pengurusan PERTAPIS turut disumbang oleh persatuan-persatuan bukan Islam. Keharmonian antara agama adalah antara faktor utama kepada perkembangan Islam yang sihat di Singapura.

Masjid Jamek (Chulia) yang dikunjungi GPTD juga menarik. Kedudukannya terletak bersebelahan kuil Hindu dan tokong Buddha namun tidak pernah berlaku sebarang perselisihan faham. Masjid ini diuruskan oleh masyarakat India Muslim berketurunan Chulia (India Selatan). Lumrah masjid yang dikendalikan masyarakat India mengikut mazhab Hanafi tetapi di sini mereka bermazhab Shafie.

Kunjungan ini benar-benar telah memberi inspirasi kepada GPTD untuk bergerak lebih aktif dalam kerja-kerja sukarelawan dan melebarkan sayap rahmat ke seluruh dunia. GPTD mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat melicinkan perjalanan program ke Singapura. GPTD juga berharap agar hubungan terjalin semakin erat dari semasa ke semasa.



Tuesday, February 19, 2008

GPTD di MSU, Shah Alam

SHAH ALAM, 29 Januari 2008- Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) dan Global Peace Mission (GPM) telah di jemput untuk mengadakan pameran di Management Science University (MSU). Di samping itu juga terdapat beberapa aktiviti yang telah diadakan seperti : Pertunjukan Silat Gayung dan pertunjukkan yang telah diadakan oleh setiap pelajar MSU . Selain itu juga keadaan di sana amat sesak dan juga dipenuhi dengan pelajar MSU itu sendiri. Pameran bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang. Oleh itu pihak MSU telah menyampaikan Cenderahati dan sumbangan berupa wang tunai kepada GPTD dan GPM. Dalam pada itu juga pameran GPTD dan GPM mendapat sambutan dengan begitu baik.Alhamdullillah segalanya berjalan dengan lancar dan kami sampai di Anjung Rahmat pada jam 8.00 malam.

Wednesday, February 13, 2008

Kejohanan Bowling MYGT GPTD

PETALING JAYA, 2 Februari 2007- Kejohanan bowling antara beberapa buah IPTA dan IPTS antaranya Kolej Lagenda, UIAM, UITM, dan UNIKL telah berlangsung di Pusat Membeli Belah Midvalley di sini. Program ini telah dianjurkan oleh MYGT yang bernaung di bawah GPTD. Objektif utama program ini dianjurkan adalah mengumpul dana bagi menampung kos untuk program di Maninjau yang akan dijalankan oleh ahli MYGT. Antara lainnya program ini merapatkan hubungan antara pihak GPTD dan pelajar-pelajar dari IPTA/S.

Kejohanan ini telah dimenangi oleh perserta dari Kolej Lagenda. Tempat kedua dimenangi oleh UIAM dan tempat ketiga dimenangi oleh INTEC, UITM. Majlis penyampaian hadiah dan sijil telah disempurnakan oleh Saudara Jufitri (pengerusi GPTD). Turut hadir sama Saudara Najmudin (penyelaras GPTD).

Wednesday, February 06, 2008

PROGRAM KEMASYARAKATAN DI PULAU KETAM

PULAU KETAM, 1 Februari 2007 - Telah diadakan satu program iaitu "PROGRAM KEMASYARAKATAN DI PULAU KETAM" selama 3 hari 2 malam yang telah dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian. Seramai 40 orang termasuk pelajar dan staf USM menjayakan program tersebut. GPTD telah diwakili oleh Saudara Ahmad Faisal Bin Hj Md Zawawi (SUK GPTD), dan 3 orang wakil dari ABIM.

Objektif program ini diadakan adalah memberi bantuan kepada penduduk Pulau Ketam yang memerlukannya. Selain itu juga merapatkan silaturahim di antara penduduk Pulau Ketam , pelajar USM dan GPTD bagi menyampaikan dakwah dan mengajak masyarakat disana menghayati agama islam dan menziarahi masyarakat di Pulau Ketam serta melihat keadaan masyrakat di sana terutama dalam aspek kesihatan kerana keseluruhan pelajar yang menyertai program ini dari jurusan perubatan.

Program berakhir pada 3 Februari 2007 pada jam 8 pagi dan mereka pulang ke tempat masing-masing.

Thursday, January 31, 2008

Forum Perkongsian Pengalaman Relawan GPTD

GOMBAK, 20 Januari 2008 - Telah berlangsung suatu forum yang dinamakan "Forum Perkongsian Pengalaman Relawan GPTD" bertujuan memberi peluang kepada aktivis-aktivis GPTD yang telah ke luar negara dalam melakukan kajian ketamadunan dan khidmat sosial di setiap negara yang telah ditugaskan. Program dimulakan dengan ucapan pembukaan yang telah disampaikan oleh Saudara Najmudin (penyelaras GPTD).

Selepas itu forum diteruskan dengan Slot 1 iaitu "Khidmat Sosial Melalui Aktiviti Kerohanian Bersama Masyarakat Melayu di United Kingdom" yang dibentangkan oleh Saudara Ahmad Faidhi Mohd Zaini sukarelawan GPTD ke United Kingdom. Beliau telah membincangkan aktiviti dan keadaan semasa yang berlaku semasa berada di sana terutamanya remaja-remaja Melayu. Tajuk seterunya "Ramadhan di Melbourne yang dibentangkan oleh Saudara Ahmad Hamzah Mat Daud sukarelawan GPTD ke Australia menjalankan aktiviti sepanjang bulan Ramadhan.

Slot 2 diteruskan iaitu "Pelayar dan Pengembara Muda GPTD". Pembentang seterunya Saudari Nurul Hussna A. Rahman wakil GPTD ke Program Kapal Belia Asia Tenggara – Jepun. Beliau menceritakan aktiviti yang perlu dilakukan dan menjadi duta kecil Malaysia di beberapa buah negara. Sadura Abdul Hakim Shahbuddin wakil GPTD ke Program Kapal Layar STS Puteri Mahsuri telah berkongsi program latihan iaitu Kapal Layar STS Puteri Mahsuri yang melatih anak muda bersifat berani dan berkemampuan menjadi seorang pemimpin. Kedua-dua program ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Slot 3 berkaitan dengan Menjejaki Tamadun dan Komuniti Muslim Antarabangsa Wisata Madani Turki yang telah dibentang oleh Saudara Najmuddin Mohd Nawi Ketua Penyelaras GPTD dan Penyelaras Kawasan Eropah juga berkongsi tentang jatuh bangunya kerajaan Uthmaniyyah di Turki. Pembentang akhir ialah Saudari Adawiyah Kamarulzaman Ketua Grup Korea-Jepun telah membentangkan Eksplorasi Korea – Jepun bertujuan mengkaji sosio budaya Muslim di sana dan membina jaringan dua hala sesama negara untuk tujuan dakwah seterusnya.

Ucapan perasmian penutup telah disampaikan oleh Saudara Yusri Mohammad Presiden ABIM yang diselitkan dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada para pembentang keran berani berucap di khalayak ramai kerana ini adalah salah satu faktor menjadikan seseorang lebih yakin pada diri.

Tuesday, January 15, 2008

GPTD bersama BBKN


CHEPA, 11 Januari 2008 - Dua orang sukarelawan GPTD telah dijemput untuk mengisi slot ceramah bertajuk "Kesukarelaan dan Kesukarelawan" kepada Briged Bakti Negeri Kelantan (BBKN) yang disertai oleh 23 orang pelajar STPM dan pelajar-pelajar lepasan SPM di sini.

Ceramah yang berbentuk komunikasi dua hala bertujuan memupuk semangat sukarelawan di kalangan audien ini mendapat respon yang memberangsangkan. Kaedah bertanya dan berbincang secara bebas amat penting dalam sesuatu slot pengisian GPTD bagi menghilangkan jurang pemisah antara penceramah dan audien.

BBKN merupakan badan unit beruniform yang ditubuhkan di peringkat negeri Kelantan. Setiap sekolah di Kelantan mempunyai briged masing-masing. BBKN kerap memenangi pertandingan kawad peringkat negeri namun tidak berpeluang bertanding di peringkat kebangsaan disebabkan ketiadaan badan beruniform ini di peringkat tersebut.

Memandangkan Briged ini hanya wujud di Kelantan, GPTD telah menawarkan kepada ahli-ahli BBKN terutamanya para pelajar lepasan sekolah menengah untuk menyertai GPTD. Ini bertujuan meneruskan semangat kesukarelawanan di kalangan briged ke peringkat yang lebih tinggi.

Kelainan yang terdapat dalam BBKN ialah semua briged mahir dalam ilmu pengurusan jenazah. Kemahiran ini adalah nilai tambah yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana badan beruniform di Malaysia. GPTD mengucapkan tahniah di atas kemahiran sampingan yang sangat berguna ini.

Kepada mana-mana bekas briged yang melayari blog ini, GPTD mengalu-alukan saudara saudari untuk menghubungi kami atau mengunjungi pejabat pentadbiran kami bagi menyertai projek-projek GPTD .

Kunjungan rasmi ke Utusan


KUALA LUMPUR, 9 Januari 2008 - Seramai tujuh orang sukarelawan GPTD diketuai oleh pengerusinya, En. Jufitri Joha telah mengadakan kunjungan rasmi ke pejabat pentadbiran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad bertempat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Kunjungan ini telah diraikan oleh beberapa kakitangan Utusan iaitu En. Mohd Radzi Mohd Zin, Puan Zuarida Mohyin dan Puan Shamsilawati. Sepanjang kunjungan itu, mereka telah didedahkan dengan beberapa informasi bermaanfaat untuk kelangsungan usaha kesukarelawanan GPTD selain dapat berkongsi beberapa pengalaman masing-masing.



Dalam pertemuan ini, GPTD juga telah diberikan ruang dan peluang untuk melebarkan informasi berkenaan program-program GPTD yang dapat ditawarkan oleh Utusan melalui penulisan berkala dan liputan berita.

GPTD turut mendapat sokongan teguh daripada Utusan untuk meneruskan kerja-kerja sukarelawan ini sebagai satu alternatif baru kepada golongan muda di Malaysia yang berkemungkinan tidak mengenali GPTD. Ini adalah salah satu langkah penyelesaian kepada masalah kebejatan moral yang melanda golongan muda masa kini.


Mereka turut berasa kagum dengan usia kebanyakan sukarelawan yang telah menganggotai GPTD kerana purata umur sukarelawannya adalah sekitar awal 20-an. Keterbukaan GPTD dalam keanggotaannya masih belum diketahui umum dan menjelang tahun baru 2008, GPTD berhasrat untuk menambah lagi sukarelawan di peringkat kebangsaan.

GPTD percaya dengan terjalinnya hubungan dengan Utusan, hasrat GPTD ini dapat direalisasikan. GPTD juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama baik yang ditunjukkan oleh Utusan dan sokongan yang mampu menaikkan nama GPTD ke peringkat yang lebih tinggi.