Tuesday, April 17, 2007

Laporan Program Rekreasi Ilmu MISG ABIM UK & Eire dan Program Gabungan Muslim Perancis (Collectif des Musulmans de France).

Pada 6-9 April 2007 / 18-21 Rabiulawal 1428H Malaysian Islamic Students Group (MISG) ABIM UK & Eire telah menganjurkan Program Rekreasi Ilmu (PRI) di Kem Pengakap Cottingham, United Kingdom. Program ini diisi dengan program-program keilmuan dan rekreasi. Seramai 40 orang peserta telah hadir. Wakil ABIM Pusat saudara Jufitri Joha telah hadir dan menyampaikan amanat Presiden ABIM, saudara Yusri Mohamad melalui rakaman video. Beliau turut menyampaikan ceramah bertajuk Cabaran Umat Islam di Malaysia. Turut dipaparkan ialah presentation pengalaman dakwah ABIM, Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD).

Saudara Jufitri Joha dan saudari Qurratul Ain Zainul, Timbalan Presiden MISG ABIM berkesempatan mengunjungi Encik Nazir dan Ustaz Erfino Johari iaitu Attache Pendidikan dan Agama, Jabatan Penuntut Pelajar Malaysia (MSD) di London. Antara hasil perbincangan ialah MSD menawarkan kerjasama dan amat mengharapkan MISG ABIM UK agar memimpin hala tuju kehidupan pelajar-pelajar Islam di sini dengan menganjurkan seminar yang berkaitan. Seminar ini bertujuan membuka minda para pelajar agar mengetahui cabaran semasa di Malaysia dan Antarabangsa amnya dan seterusnya menyiapkan diri menyumbang ke arah perubahan yang lebih baik di Malaysia khususnya kedudukan Islam dan nasib Umat Islam.

Pihak MSD menawarkan kemudahan tempat dan bantuan kewangan untuk menjayakan seminar ini kerana ianya amat penting ke arah pengisian kepada minda dan ruh para pelajar di sini.

Selepas itu saudara Jufitri Joha bergegas ke Lyon, Perancis untuk menghadiri Mesyuarat tahunan Gabungan Muslim Perancis (Collectif des Musulmans de France (CMF)) pada 8-9 April 2007 / 20-21 Rabiulawal 1428H. Program tersebut diadakan di sebuah kawasan peranginan dan pergunungan 150 km ke Selatan Lyon. Saudara Jufitri telah membentangkan pengalaman dakwah ABIM di Malaysia. Turut sama membentang pengalaman dakwah ialah Sheikh Abu Bakr Fofana dari Ivory Coast dan Sheikh Mbye dari Senegal. Seramai 40 orang wakil-wakil negeri di Perancis telah menghadiri program ini. 2 pelajar Malaysia di Perancis tutut hadir sebagai peserta yang mewakili ABIM dan menjadi penterjemah atas undangan saudara Jufitri Joha.

CMF begitu gembira dengan kehadiran ABIM di sini dan berminat untuk bekerjasama dengan ABIM dan MSIG ABIM UK pada masa hadapan. Pihak CMF mengharapkan sahabat-sahabat ABIM dan rakyat Malaysia mendoakan keselamatan dan masa hadapan mereka di Perancis memandangkan mereka merupakan masyarakat minoriti yang sering diperhatikan oleh pihak pemerintah sekular Perancis. Terbaru ialah isu pemakaian Hijab di sekolah-sekolah.

Umat Islam Perancis mewakili 5 Juta dari jumlah penduduk Perancis seramai 50 juta orang dan purata warganegara Perancis yang memeluk Islam sehari adalah seramai 20 orang. Delegasi ABIM juga diberi peluang menziarahi sebuah sekolah agama di Lyon yang kontroversi sehingga menjadi perdebatan di kalangan pemerintah atasan Perancis. Berkat doa dan perjuangan Umat Islam Lyon, sekolah agama mereka terus dibenarkan beroperasi. Selain itu delegasi ABIM juga diberi peluang melawat Pusat Islam Paris dan berbetulan pada tarikh lawatan tersebut, CMF telah mengadakan rundingan dengan Datuk Bandar Paris dalam usaha memperjuangkan hak mereka untuk membeli tanah dan bangunan Pusat Islam tersebut dari pihak Datuk Bandar dan ternyata mereka telah berjaya.