Friday, September 05, 2008

ZITO ke APEEC



SERDANG, 4 Sep - Ziarah Tokoh (ZITO) telah diadakan di Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) Universiti Putra Malaysia (UPM)pada hari ini oleh delegasi yang diketuai Pengerusi GPTD, Sdr Jufitri Joha.

ZITO pada kali ini telah memilih Prof Dr Haji Azimi Haji Hamzah sebagai tokoh untuk perkongsian pendapat dan pandangan dalam memacu pergerakan GPTD.

Sebagai Pengarah APEEC, Prof Dr Haji Azimi sangat berpengalaman dalam melatih dan merencana modul-modul yang bersesuaian dengan sikon (situasi dan kondisi) belia hari ini.

Perbincangan yang berlangsung selama dua jam tersebut lebih menekankan kepada aspek pembinaan minda dan jatidiri penggerak-penggerak belia sebelum memulakan sebarang aktiviti mengajak belia lain ke arah kebaikan.

Memahami konsep 'The Power of Invitation' amat penting dalam diri penggerak. Dengan mengajak orang lain berbuat baik, sebenarnya diri sendiri yang akan lebih terkesan ke arah itu.

Ini adalah aspek terpenting dalam diri penggerak bagi memastikan 'end product' yang dihasilkan daripada program-program adalah melahirkan lebih ramai lagi penggerak seperti mereka.

Begitu banyak input bermanfaat yang diperolehi dalam ZITO kali ini yang akan dikongsikan oleh delegasi kepada ahli-ahli dari semasa ke semasa. GPTD juga merancang untuk mengadakan perlatihan bawah bimbingan Prof Dr Haji Azimi pada masa akan datang.