Showing posts with label laporan. Show all posts
Showing posts with label laporan. Show all posts

Saturday, June 09, 2012

Wisata Madani Turki 2012




Alhamdulillah, Wisata Madani Turki 2012 telah selamat diadakan dari 21 Mei hingga 04 Jun yang lalu. Program kali ini memfokuskan kepada penghasilan mini-dokumentari berkisar mengenai Fatih Sultan Mehmed, Sultan Abdul Hamid II, dan Bediuzzaman Said Nursi.

Grup kali ini dianggotai oleh Sdr. Muhammad Huzaifah Ahmad (Setiausaha Agung) yang bertindak sebagai Penyelaras Program / Pengarah Kreatif, serta dibantu oleh Sdr. Najmuddin dan Sdr. Md Izham.

Turut sama dalam program kali ini adalah wakil Grup Peguam ABIM (GPA), En. Khairul Anwar Ismail (yang juga merupakan AJKP ABIM) dan En. Hadi. 

Bagi tujuan tersebut, grup tersebut telah melawat sekitar Istanbul dan Ankara. Bagi yang berminat untuk mendapatkan mini-dokumentari tersebut, bolehlah menghubungi pihak Sekretariat GPTD melalui e-mel untuk tempahan awal. Bahan tersebut dijangka siap dalam tempoh 4 bulan.

Selain daripada itu, grup ini juga telah berkesempatan hadir ke Simposium Antarabangsa Bediuzzaman dan Risale-i Nur kali ke-5 di Ankara serta Mesyuarat Agung Kesatuan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan Dalam Dunia Islam (UNIW) di Istanbul.

Wednesday, February 08, 2012

Laporan International Youth Gathering (IYG) 2012


Pada 22-29 Januari 2012 yang lalu, Angkatan Belia Islam (ABIM) telah dijemput untuk menghadiri International Youth Gathering (IYG) yang ke-7 anjuran The Union of NGOs of The Islamic World (UNIW). Program yang berlangsung di Khartoum, Sudan ini diwakili oleh delegasi Malaysia yang terdiri daripada Setiausaha Agung Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD); saudara Muhammad Huzaifah bin Ahmad dan 2 orang wakil daripada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Pusat, iaitu saudara Mohd Shazni bin Abdullah (Setiausaha Agung PKPIM) dan juga Ahmad Afif Mohtari Yasim (Naib Presiden Antarabangsa PKPIM).

Tema persidangan pada kali ini ialah "Unity of Muslims : Role of Youth". Wakil daripada delegasi Malaysia telah membentangkan satu kertas kerja yang berkisar tentang 'civil society' berdasarkan topik 'Quest for Solutions Toward the Unity of Muslims'. Hampir 10 buah negara dan 50 orang belia dari pelbagai pelusuk negara telah menghadiri program yang bersejarah ini.

Para delegasi daripada negara-negara yang hadir telah bersepakat bahawasanya umat Islam perlu menghayati dan mendalami ilmu secara menyeluruh agar dapat membentuk masyarakat yang bertamadun. Disamping itu dapat menyatukan hati seluruh penggerak belia Islam lantas membangunkan syiar Islam.

Dengan terbinanya ukhuwah di antara setiap delegasi diharap ianya mampu menyatukan setiap Muslim di dunia ini lantas meneruskan misi Rahmatan lil-Alamin.

Saturday, February 13, 2010

Bengkel Asas Fasilitator


JANDA BAIK, 21 - 23 Safar 1431 / 5 - 7 Feb. 2010 - Program Bengkel Asas Fasilitator telah berjaya dijalankan oleh GPTD dengan kerjasama Future Global Network (FGN).

Seramai 23 orang pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) telah menyertai program yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada tugas fasilitator ini.

Bengkel ini telah dipimpin oleh Pengasas GPTD, Tn. Hj. Ahmad Azam. Para peserta turut dibimbing oleh pasukan fasilitator berpengalaman FGN iaitu Pn. Nor Azlina, En. Ghazali dan Kak Wan (Cik Wan Azizah).

Program ini turut diserikan dengan kehadiran senior (Sdr. Izwan Suhadak, Sdr. Nadmin, Sdr. Akhmal, Pn. Fadhlina) yang turut berkongsi pengalaman bersama para peserta.


Setiausaha Agung GPTD, Sdr. Najmuddin pula menerangkan mengenai konsep gerak kerja GPTD selain berkongsi tips sebagai seorang fasilitator.

E-zine (majalah dalam talian) GPTD, KEMBARA telah dilancarkan oleh Tn. Hj. Ahmad Azam pada sesi penutupan program.

E-zine ini akan diterbitkan setiap bulan dan boleh dimuat-turun secara percuma di blog rasmi GPTD (gptd.blogspot.com).

GPTD menjangkakan 4 lagi sesi program seumpamanya akan dijalankan tahun ini.

Sehubungan dengan itu, mereka yang berminat tetapi tidak berkesempatan untuk mengikutinya tempoh hari, bolehlah memberikan nama lebih awal kepada Sekretariat GPTD melalui e-mel (gptdhq@gmail.com)untuk penyertaan dalam sesi seterusnya.

Masa dan tempat akan dimaklumkan kelak. Penyertaan adalah terhad bagi setiap sesi.

[Sekretariat GPTD]

Thursday, December 18, 2008

Ziarah Ilmu ke Rumah Putih & Tujuh

Ziarah ke Rumah Putih
Grup Ibn Battutah sekali lagi turun ziarah ke Batu Arang untuk bertemu dengan penghuni HIV muslim.

Tepat jam 11 pagi saya terus berhenti di hadapan pintu pagar utama Gereja Rumah Putih. Pengawal keselamatan berbangsa India memaklumkan kepada saya, pagar terpaksa dikunci untuk mengelakkan penghuni dariapda keluar.

Kadang kala beliau menjalankan tugas meronda di sekitar gereja untuk meninjau kalau-kalau ada penghuni yang berkeliaran kerana itulah pagar di kunci. Saya mengiyakan sahaja dengan memandu kereta VIVA masuk ke laman utama gereja.

Sebaik keluar saya terlihat Sdr. Izan sedang duduk di atas kerusi roda sendirian. Dia menyapa seolah tidak pernah bertemu.

Saya cuba mengingatkan dia, bahawa saya pernah datang bersama sahabat-sahabat daripada ABIM dan Baitul Fiqah pada minggu lepas sempena Raya Qurban. Dia masih tidak ingat dengan alasan penyakit (HIV) yang sedang dia hadapi.

Kemudian saya terus ke dalam gereja terus mengisi ruang buku pelawat di meja kaunter dan bertemu Pengurus, Father Gomez. Beliau mengalu-alukan kehadiran saya sambil mengarahkan pembantunya untuk memanggil penghuni HIV muslim.

Saya meninjau bilik pesakit melalui kaca lutsinar, kelihatan Sdr. Shaharudin sedang bangkit dari tidurnya. Saya senyum kepadanya sambil dia tersengih. Mungkin masih ingat janji saya pada minggu lepas semasa meraikan mereka sempena Raya Qurban.

Saya terus ke bilik perbincangan untuk bertemu dengan penghuni yang lain. Alhamdulillah hari ini kami dapat berkumpul seramai lapan orang tidak termasuk saya. Kali ini hanya saya sahaja yang berkelapangan untuk bertemu dengan mereka kerana sahabat-sahabat saya sibuk dengan tugasan lain.

Selepas semua berkumpul, saya mengajak hadirin memulakan majlis dengan membaca Umul Kitab, Al Fatihah.

Kemudiannya saya melagukan Rawatan Ketiga yang dipetik daripada Risalah Untuk Pesakit karangan Badiuzaman Said Nursi tokoh gerakan Islam dari Turki.

Berikut adalah petikan Rawatan Ketiga yang diambil daripada Risalah Untuk Pesakit karangan tokoh gerakan Islam dari Turki:

"Wahai pesakit yang tidak mampu bersabar! Tujuan kedatangan manusia ke dunia ini bukanlah untuk bernikmat-nikmat dan berlazat-lazat. Buktinya: Anda dapati setiap yang hidup akan meninggalkan dunia ini. Setiap orang muda akhirnya akan menjadi tua.

Setiap orang pasti akan merasakan kehilangan dan perpisahan dengan orang yang tersayang. Dalam masa yang sama anda dapati manusia adalah makhluk bernyawa yang paling sempurna, mulia dan mempunyai bekalan yang paling mencukupi, bahkan dia adalah tuan kepada seluruh makhluk yang lain.

Tetapi pelbagai penyakit dan kesakitan tetap menerjah kehidupannya ketika dia memikirkan tentang kelazatan-kelazatan yang diperolehinya pada masa lalu dan bala bencana yang akan dihadapinya pada masa hadapan.

Lalu dia terpaksa menjalani kehidupannya dalam keadaan kekeruhan dan kesulitan serta mencampakkan dirinya ke lembah yang lebih hina daripada kedudukan haiwan. Oleh itu, manusia datang ke dunia ini bukan untuk menghabiskan kehidupan dalam keadaan mewah dan tenggelam dalam hembusan bayu yang merehatkan dan menyegarkan, bahkan kedatangannya ke dunia ini bertujuan agar dia memperolehi kebahagian hidup yang abadi. Kebahagiaan hidup yang abadi itu boleh diperolehi melalui jalan perniagaan dengan menjadikan umurnya sebagai modal yang besar.

Jika tidak mengalami sakit, seseorang itu akan hidup dalam keadaan alpa kerana sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat. Dunia pada pandangannya adalah suatu yang indah dan lazat.

Ketika itu, dia akan ditimpa penyakit lupakan akhirat. Dia menjadi benci untuk mengingati mati dan kubur. Dia mensia-siakan modalnya yang amat berharga itu. Dengan itu, datangnya penyakit dapat membukakan matanya serta merta.

Seolah-olah penyakit itu berkata: ”Anda tidak kekal hidup dan anda tidak dibiarkan begitu sahaja. Bahkan anda dipertanggungjawabkan untuk menunaikan satu tugas. Janganlah anda terpedaya. Ingatilah sentiasa Tuhan yang mencipta anda...Ketahuilah bahawa anda sedang menuju ke kubur. Persiapkan dan sediakan diri anda untuk menghadapinya.”

Maka penyakit mengambil peranan sebagai seorang penasihat dan pemberi peringatan. Oleh itu, tidak perlulah anda merasa keluh kesah jika penyakit mendatangi anda. Bahkan anda hendaklah bernaung di bawah bayangan kesyukuran. Jika penyakit yang anda hadapai itu terlalu kuat, maka hendaklah anda banyak bersabar."


Ketika menyampaikan pengisian kelihatan Sdr. Razak agak kurang sihat, lalu saya menyarankan kepadanya agar berehat sahaja jika tidak selesa. Sdr. Amin rakan sebelah menolak kerusi roda yang menampung Sdr. Razak ke bilik rehat.

Saya meneruskan pengisian dengan soal-jawab wuduk. Pendekatan yang diambil adalah “sedia belajar, mengajar dan diajar” semasa mengendalikan diskusi tersebut.

Saya meminta Sdr. Amin untuk berkongsikan cara mengambil wuduk kepada rakan-rakannya. Sdr. Amin adalah seorang pesakit HIV muslim yang berasal daripada Myanmar tetapi fasih berbahasa Melayu.

Dia terus menerangkan dengan menyatakan, “mulakan dengan niat, basuh tangan, berkumur, basuh muka, kedua belah tangan.”

Kemudian saya minta Sdr. Shaharudin menyambung perbuatan wuduk tersebut. Sdr. Shaharudin duduk tersengih dan tangannya terpaut pada tongkat berkaki dua sambil merespon, “sebahagian kepala dan kedua belah kaki”.

Saya meminta Sdr. Osmera yang sedang duduk khusyuk membuat demonstrasi membasuh kedua belah kaki dalam berwuduk. Dia dengan selamba menunjukkan pada bahagian lutut hingga kaki.

Saya ulas mudah, apa yang ditunjukkan oleh Sdr. Osmera tidak salah. Saya tambah, boleh basuh dari lutut tapi pastikan hingga ke hujung kaki. Lebih afdal ialah pergelangan kaki iaitu bahagian atas buku lali dan kebawah.

Sementara itu, Sdr. Izan menambah sebelum kaki, dibasuh dahulu kedua belah telinga. Saya menerangkan dengan jelas anggota wuduk, perbuatan wajib dan sunat agar mereka faham dan tidak keliru lagi sambil menunjukkan praktikalnya.

Sebelum majlis ditamatkan, saya memberikan peluang kepada hadirin yang hadir (untuk bertanya atau mengulas) bermula sebelah kanan saya iaitu Sdr. Amin.

Dia menanyakan arah kiblat yang sebenarnya kepada saya. Macam-macam arah di tunjukkan oleh hadirin yang lain. Ada yang arah utara, timur dan selatan. Cuma Sdr. Shaharudin sahaja yang menuding ke arah barat.

Saya pun agak ragu juga, kerana dalam pertemuan sebelum ini, bila di tanya soal solat semua menjawab solat. Saya memaklumkan kepada Sdr. Amin, insya Allah pada minggu hadapan saya akan bawakan kompas kiblat.

Sdr. Amin juga memohon kalau dapat disumbangkan buku panduan solat yang ringkas supaya boleh dijadikan rujukan. Saya cuma katakan, insya Allah mudah-mudahan.

Saya sangat khuatir untuk berjanji, takut-takut tidak dapat dikotakan. Seterusnya giliran Sdr. Shaharudin, dia menyampaikan salam kepada sahabat-sahabat daripada Baitul Feqah dan PEPIAS serta mengucapkan terima kasih kerana sudi hadir untuk menziarahi mereka.

Berikutnya hanya menggeleng-gelengkan kepala masing-masing. Saya memberikan air kotak dan roti berkrim yang telah dipesan oleh Kak Liza.


Ziarah diteruskan ke Rumah Tujuh

Saya terus turun ke Rumah 7, kerana jam telah menunjukkan 12.05 tengah hari. Saya risau jika penghuni HIV muslim di sana tunggu lama pula.

Alhamdulillah mereka sudah sedia menyambut kehadiran saya dengan susunan kerusi dalam bulatan. Anak-anak Myanmar Muslim (Rohingya) berebut-rebut bersalaman dengan saya. Saya kemudian berjabat tangan dengan penghuni yang sudah sedia menunggu.

Penghuni senior, Sdr. Azhar dan junior juga sudah duduk di kerusi masing-masing. Seolah-olah tidak sabar untuk mulakan program diskusi.

Sebagaimana saya lakukan diskusi di Gereja Rumah Putih, begitu jugalah kaedahnya. Selepas mula majlis, saya lagukan kembali Risalah Kepada Pesakit dengan petikan Rawatan Ketiga.

Kali ini, seorang penghuni junior baru datang lima hari yang lepas. Berdasarkan raut wajahnya usianya sudah menjangkau 50an saya kira. Namanya Rosli, saya membiasakan dengan gelaran Sdr. Rosli.

Perbincangan awal telah dihangatkan oleh Sdr. Azhar senior mereka. Berdasarkan petikan Rawatan Ketiga, dia mengaitkan dengan pengalaman hidupnya.

Sdr. Azhar lebih menghargai hidupnya selepas mendapat tahu tentang penyakir HIV yang dihidapinya. Jadi dia menyarankan kepada junior agar tidak berkeluh kesah kerana hidup perlu diteruskan.

Sdr. Rosli pula bertanya tentang pelbagai dosa yang telah dia dilakukan dan bagaimana dia ingin bertaubat, adakah taubatnya akan diterima Allah?

Saya menegaskan kepada hadirin bahawa, saya bukanlah ‘Ustaz’ yang boleh menjawab setiap persoalan yang diajukan. Tetapi saya hanya memberikan respon berdasarkan sedikit ilmu yang saya belajar, malah saya mohon kepada hadirin juga dapat memberikan pandangan masing-masing.

Saya ungkapan kembali hadis sohih yang bermaksud:
“Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud jika Allah menguji seseorang hamba muslim pada tubuh badannya, Allah Azawajala berkata “tulislah baginya amalan yang soleh. Jika Allah menyembuhkannya daripada penyakit itu, dia akan menjadi bersih dan suci. Tetapi jika Allah mematikannya dengan sebab penyakit itu, Allah akan mengampun dan merahmatinya.” Diriwayatkan oleh Ahmad (Sohih Al Jami’ Al Saghir dan tambahannya) bagi menjawab kemusykilan.

Sdr. Rosli bertanya lagi, ada adakah dia berdosa jika tidak sempat memohon ampun dan maaf kepada ibunya yang telah meninggal dunia kerana banyak kesilapan yang dia lakukan kepada ibunya.

Saya termenung seketika, sedikit cemas dan sedang memikirkan apakah jawapan yang sesuai untuk dinyatakan?

Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang juga Maha Pengampun. Taubat kita akan diterima selagi mana nafas kita tidak sampai di hujung nyawa. Kesempatan yang ada kita gunakanlah untuk bertaubat dan berbuat baik. Tidak dapat berbuat baik kepada ibu bapa sendiri, berbuatlah baik kepada ibu bapa orang lain. Moga-moga dengan keihklasan kita Allah ampunkan dosa dan terima taubat kita.

Sdr. Azhar mohon saya mengulas soal prejudis dalam Islam. Sebelum itu dia menyatakan masyarakat melihat serong kepada pesakit HIV kerana HIV adalah sakit yang kronik malah tiada ubatnya. Dia menambahkan sakit Hepatitis juga berjangkit tidak dapat disembuhkan. Tetapi kenapa hanya pesakit HIV sahaja kena dipinggirkan.

Sdr. Azhar agak kecewa dengan tanggapan masyarakat khususnya muslim kerana mereka disambut baik oleh orang Kristian walaupun mereka penghidap sakit HIV. Dia menegaskan pihak pengurusan (Pengurus – Bro. Alex) tidak memaksa pun soal kepercayaan yang dianuti oleh penghuni yang tinggal di sini.

Saya hanya senyap membisu mendengar penuh teliti. Kemudian saya memberikan respon selepas Sdr. Azhar kelihatan tenang. Dalam Islam tiada prejudis terhadap penganutnya mahupun agama lain.

Malah Rasulullah SAW telah melahirkan akhlaknya yang mulia melalui kisah seorang perempuan tua Yahudi yang merupakan jiran nabi. Perempuan tua sering membuang kotoran di laluan ke rumah nabi. Tetapi nabi menziarahinya ketika perempuan tua sakit di rumah. Sehingga perempuan tua akhirnya terpikat dengan budi perkerti nabi.

Ini menggambarkan bahawa, kita sebagai muslim kena berbuat baik juga kepada bukan Islam malah berbuat baik kepada muslim adalah suatu kewajipan.

Jam di tangan saya menunjukkan pukul 1 petang, saya menberi peluang kepada setiap hadirin yang ada untuk menyatakan apa-apa respon jika ada. Nampaknya semuanya gelangkan kepala tanda tiada idea kecuali Sdr. Zaki yang di duduk di sebelah kiri saya.

Dia mencadangkan agar ABIM dan Baitul Fiqah atau lain-lain pertubuhan dapat menggerakkan satu wadah yang dapat menghimpunkan pesakit HIV muslim agar mereka dibimbing sebagaimana yang telah dilakukan oleh pihak Kristian.

Seminggu sekali turun ke Lorong Chow Kit memberi sebungkus nasi untuk penagih yang tiada upaya dan mengharapkan belas ehsan. Walaupun nampak kecil tetapi pada mereka sebagai penagih amatlah bermakna.

Sdr. Azhar menambah, kadang-kadang pihak sukarelawan Kristian datang ke lorong-lorong di ibu kota mencucikan luka-luka yang ada pada badan penagih.

Tiada kata dapat saya ungkapkan melainkan, insya Allah! Dengan harapan besar dan penuh tanggungjawab marikah kita sama-sama bercita-cita memikul amanah tersebut melalui wadah yang kita sama-sama bina bersama.

Kalau boleh mereka sendiri yang akan menjadi perintis kepada wadah yang diimpikan bersama. Memberi peluang kepada rakan-rakan penagih kembali membina hidup Islami.

Saya tutup majlis tersebut dengan menyampaikan analogi mudah tentang ‘Power Rangers’. Power Rangers itu terdiri daripada individu-individu yang punyai pelbagai keunikan dan kelebihan. Mereka berlawan dengan makhluk asing yang kecil tetapi kuat. Kekuatan mereka akan lebih hebat dan berdaya tenaga jika mereka bergabung menjadi sebuah robot yang dapat menewaskan raksasa besar dan luar biasa yang sering mengganggu-gugat masyarakat.

Begitulah juga kita, jika pesakit HIV muslim dapat kembali membina kekuatan masing-masing lalu berganding bahu insya Allah, apa yang dicita-citakan untuk menumpaskan pengkhianat manusia dan membina jiwa merdeka.

Kami solat Zuhur berjamaah sebelum bersurai.


Disediakan oleh,
IZWAN SUHADAK ISHAK
Pengerusi,
Grup Ibn Battutah



*Grup Ibn Battutah dahulunya dikenali sebagai Kelab Ibn Battutah

Tuesday, December 16, 2008

TAKBIR RAYA DI GEREJA RUMAH PUTIH

Pertemuan Ukhwah Hari Raya Qurban
Pada hari Selasa tanggal 9 Disember 2008 bersamaan 11 Zulhijjah 1429H, Grup Ibn Battutah bersama sahabat-sahabat dari Rumah Perlindungan Baitul Fiqah dan PEPIAS berpeluang hadir ke Batu Arang, Selangor meraikan penghuni HIV muslim di Rumah Perlindungan HIV sempena hari kedua Raya Qurban.

Rumah Perlindungan HIV ini dikendalikan oleh sebuah NGO yang dikenali sebagai Welcome Home Community. Pengurusnya adalah Father Alex seorang paderi.

Terdapat lebih 70 orang penghuni yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum seperti Melayu, Cina dan India.

Malah ditempatkan juga pelarian Rohingya dari Myanmar, yang tiada tempat bergantung disebabkan polisi UNHCR yang hanya membenarkan mereka didaftarkan sebagai pelarian tanpa dibenarkan berkerja.

Pertemuan yang bermula tepat jam 11 pagi dimulai dengan sesi ta’aruf ringkas bagi mewujudkan rasa mesra sesama penghuni muslim Rumah Perlindungan HIV dan aktivis (Grup Ibn Battutah, Rumah Baitul Fiqah dan turut hadir PEPIAS).

Pertemuan adalah program susulan dan insya Allah pertemuan mingguan diadakan bagi merapatkan masyarakat dengan penghidap virus HIV.

Ini adalah tanggungjawab sosial agar tidak meminggirkan mereka yang pernah terjerumus dalam ambang kehancuran.

Tambahan pula dalam proses pemulihan di Rumah Perlindungan HIV yang diurus-tadbir oleh gerakan Kristian tentulah menjadi suatu kewajiban sebagai aktivis Muslim untuk terus berdamping memberi sokongan dan semangat Islami kepada mereka untuk kembali kepada Fitrah Insan.

Selesai ta’aruf, Sdr. Azali mewakili PEPIAS memberikan pengisian tentang Kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, menyingkap peristiwa ketaatan dan kesabaran para nabi yang diuji oleh Allah SWT untuk membuktikan keimanan mereka kepada yang Esa.

Kemudiannya Sdr. Azali mengajak hadirin mengimbau dan menginsafi peristiwa Siti Hajar dan Anaknya serta kisah Habil dan Qabil.

Diskusi yang berlangsung mirip kepada konsep kaunseling kelompok atau usrah agar hadirin dapat saling berkongsi idea, memberi respon dan bersetuju dengan hasil keputusan untuk tindakan lanjut.

Sdr. Azhar, penghidap HIV positif yang merupakan senior di Rumah Perlindungan HIV memberi sedikit ulasan terhadap input yang telah disampaikan oleh Sdr. Azali dengan menambah pesanan agar penghuni junior yang baru menghuni rumah tersebut dapat melakukan pengorbanan pada diri sendiri iaitu dengan beriltizam untuk merawat diri dan menjauhi najis dadah.

Kemudiannya saya pula menyampaikan Risalah Kepada Pesakit karangan tokoh gerakan Islam di Turki, Badiuzzaman Said Nursi.

Saya membacakan rawatan pertama dan kedua secara berirama. Hadirin khusyuk mendengar dan menghayati maknanya.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 156 yang bermaksud:
"Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Memang menyampaikan mesej sabar dengan ujian sakit adalah sesuatu yang mudah tetapi orang yang menghadapinya sendiri tentu merasa berat sebagaimana kata pepatah, "berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul".

Pun begitu kita mestilah punya keyakinan pada firman Allah SWT dalam Surah Al-Shu’ara, ayat 79-80 yang bermaksud:
"Dan Tuhan Yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum, Dan apabila aku sakit, maka Dia lah Yang menyembuhkan penyakitku."

Petikan daripada Rawatan Pertama yang dipetik daripada Risalah Kepada Pesakit adalah seperti berikut:

"Wahai pesakit! Janganlah anda gelisah. Bersabarlah! Sakit yang anda hadapi bukanlah penyakit buat anda, tetapi ia adalah sejenis rawatan. Ini kerana umur adalah modal seseorang yang sentiasa berkurangan dari masa ke masa.

Jika tidak dilaburkan, ia pasti akan kehabisan juga suatu hari nanti, terutamanya jika ia dihabiskan dengan kerehatan dan kealpaan, tiba-tiba seseorang itu telah tiba dipenghujung jalan (kematian).

Jadi sakit akan memberikan keuntungan yang besar kepada modal yang dimiliki oleh seseorang dan tidak akan membenarkan umurnya dihabiskan dengan segera.

Sakit akan melambatkan perjalanan langkah kehidupan, menahannya, memanjangkan umur dan akhirnya berhenti setelah membuahkan hasil.

Kemudian selepas sakit hilang seseorang itu dapat meneruskan perjalanan kehidupannya.

Oleh itu, masa menjadi panjang disebabkan penyakit, sehingga dikatakan: 'Aduhai! Alangkah panjangnya masa bencana dan alangkah pendeknya masa kemewahan'."


Manakala Rawatan Kedua, Said Nursi menekankan tentang pesakit yang kurang bersabar dengan penyakit yang dihadapinya sebagaimana petikan yang disalin di bawah:

"Wahai Pesakit yang kurang sabar! Bersabarlah! Hiasilah dirimu dengan kesyukuran.

Sakit yang anda alami boleh menukarkan beberapa minit umur anda menjadi beberapa jam ibadah.

Ini adalah kerana ibadah terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama – Ibadah positif iaitu yang dilakukan dengan anggota badan yang tercerna melalui solat, doa dan seumpamanya.

Kedua – Ibadah negatif iaitu yang dilakukan dengan hati. Seseorang yang ditimpa musibah penyakit akan kembali dan meminta perlindungan kepada Allah SWT, Tuhan yang menciptanya, mengharapkan pertolongan-Nya dan memohon bantuan-Nya.

Ini semua bertitik tolak daripada perasaannya yang merasakan dirinya lemah ketika berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit dan musibah.

Dengan tadharru’ tersebut dia akan memperolehi suatu ibadah maknawi yang ikhlas dan bersih suci daripada sebarang perasaan riak.

Memang terdapat beberapa riwayat sahih** yang mengatakan bahawa umur seseorang mukmin yang bercampurkan sakit adalah dianggap sebagai ibadah, tetapi dengan syarat tidak berkeluh kesah dan berputus asa terhadap rahmat daripada Allah SWT.

Beberapa riwayat yang sahih dan kasyaf yang benar telah menunjukkan bahawa daripada kesakitan yang dihadapi oleh sebahagian orang-orang yan bersyukur dan sabar adalah dianggap menyamai satu jam ibadah yang sempurna bagi mereka.

Sebagaimana satu minit daripada kesakitan yang dihadapi oleh sebahagian daripada orang-orang yang telah mencapai tahap kesempurnaan (al-Kamilin) dianggap menyamai satu hari ibadah yang sempurna.

Wahai saudaraku! Janganlah anda merasai ragu dan syak bahawa satu minit daripada kesukaran yang anda hadapi disebabkan sesuatu penyakit boleh menjadi seribu minit dan dapat memanjangkan umur anda! Bahkan anda hendaklah bersyukur.


Diskusi semakin rancak dengan tambahan oleh Kak Liza, aktivis Baitul Fiqah bekas seorang pengamal undang-undang dan Sdr. Zaki seorang penghuni junior yang bersetuju agar kita jangan putus dari rahmat Allah kerana orang mukmin sentiasa mengharapkan rahmat daripada Allah SWT.

Hadirin juga disaran agar selalu bersangka baik pada Allah SWT kerana Dia akan memberikan kepada hambanya berdasarkan sangkaan hambanya.

Oleh itu setiap doa yang dititipkan pada penciptanya perlulah doa yang positif dan yakin dengan ketentuan Ilahi.

Di akhir diskusi, kami dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari yang telah pun dibawa khas oleh Kak Liza dari Baitul Fiqah. Daging qurban masak kari nampak selera dijamu kami bersama-sama.

Penghuni HIV sempat berkongsikan pengalaman hidup mereka secara ringkas sambil menambah lauk pauk yang memang membuka selera mereka.

Biasanya sebelah pagi aktiviti yang akan dilakukan oleh penghuni di sini adalah turun ke kebun yang ditanam dengan Misai Kucing.

Kemudiannya Misai Kucing akan diproses menjadi daunan kering untuk dijadikan sebagai minuman seperti teh. Daun Misai Kucing dipek kemas bersama dengan keterangan cara menghasilkan minuman dan khasiat yang terkandung di dalamnya.

Sdr. Azali yang berminat dengan produk tersebut mendapatkan satu pek untuk dicuba. Itulah antara produk yang dihasilkan untuk mendapatkan dana bagi menampung kehidupan mereka di sini.

Kami bersolat zuhur berjamaah di pertemuan kali ini walaupun hanya beralaskan tikar buruk. Diakhir salam, saya bertakbir diikuti oleh para jamaah.

Alhamdulillah seketika ini sahaja pertemuan kami, insya Allah persetujuan telah tercapai dengan pertemuan berikutnya pada setiap hari Rabu dengan diakhiri zuhur berjamaah. Pertemuan berikutnya lebih kepada pengisian usrah.

Takbir Raya Di Gereja Rumah Putih
Kami teruskan agenda ke Gereja Rumah Putih juga di bawah pengurusan Welcome Home Community yang berhampiran dengan Rumah Perlindungan HIV.

Gereja ini menempatkan pesakit HIV yang kritikal dan memerlukan rawatan rapi. Di sini kami bertemu dengan pesakit HIV muslim seramai lima orang.

Empat orang lagi ada yang balik ke kampung dan ke hospital untuk rawatan khas.

Rumah Perlindungan HIV sebelum ini, ditempatkan penghuni yang mampu menguruskan diri sendiri cuma perlukan pemerhatian bagi mengawal daripada mereka terjerumus kembali ke lembah najis dadah.

Berbeza dengan penghuni di sini, mereka adalah yang dikategorikan sebagai kritikal.

Sebelum ini kami pernah hadir ke gereja ini dan dihimpunkan di sebuah bilik untuk bertemu dengan penghuni muslim.

Tetapi kali ini kami agak terkejut juga kerana rupa-rupanya bilik tersebut adalah ruang yang bersambung dengan Dewan Persidangan bagi penganut Kristian memberikan ceramah.

Sebagaimana suasana dalam gereja yang biasa kita lihat, ada gambar Jesus dan simbol salib pada dinding.

Itulah hakikat yang perlu kami terima, pengurusnya adalah Father Gomez. Kalau dilihat dari luar memang kelihatan sebuah gereja putih yang bertanda salib besar di pintu masuk utamanya.

Jadi suasananya sudah pasti ada unsur-unsur Kristian. Cuma yang dibimbangi adalah penghuni Muslim yang sedang sakit kritikal yang tiada pilihan terpaksa menetap di situ kerana telah dibuang keluarga malah masyarakat.

Inisiatif yang dapat kami lakukan sebagai aktivis sosial Muslim adalah mendekati mereka tanpa meminggirkan setiap jiwa muslim yang tinggal di sini.

Seperti biasa, Kak Liza membawakan air zam zam serta kurma untuk juadah buat mereka yang diraikan sempena Hari Raya Qurban.

Pertemuan kami ringkas, dimulakan dengan Takbir raya dan diikuti oleh mereka selang seli.

Memang syahdu tetapi lebih mengharukan adalah alunan takbir berbunyi indah yang biasa dialunkan di dalam masjid kini dibacakan bersama-sama di dalam sebuah gereja.

Di hujung pertemuan, ada sedikit perbincangan dan permintaan daripada penghuni HIV muslim.

Mereka mengharapkan akan ada sukarelawan yang dapat hadir mengajar mereka soal fardhu ain seminggu sekali.

Alhamdulillah, keputusan yang telah dibuat adalah insya Allah saya dan rakan-rakan daripada Grup Ibn Battutah, ABIM, PKPIM dan PEPIAS akan saling berganding bahu memenuhi hasrat mereka.

Pertemuan akan dibuat pada setiap hari Rabu sebagaimana persetujuan ziarah yang dijanjikan kepada penghuni Rumah Perlindungan HIV.

Harapnya dengan ziarah dan takbir ini dapat merapatkan mereka kepada Allah SWT.

*Grup Ibn Battutah sebelum ini dikenali sebagai Kelab Ibn Battutah

___________________________________________________________________
**Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud jika Allah menguji seseorang hamba muslim pada tubuh badannya, Allah Azzawajalla berkata “tulislah baginya amalan yang soleh. Jika Allah menyembuhkannya daripada penyakit itu, dia akan menjadi bersih dan suci. Tetapi jika Allah mematikannya dengan sebab penyakit itu, Allah akan mengampun dan merahmatinya.” Diriwayatkan oleh Ahmad (Sohih Al Jami’ Al Saghir dan tambahannya)

Wednesday, December 10, 2008

Bill Clinton di Malaysia

Pada 5 Disember baru-baru ini, saudari Puteri Nur Azwa, exco GPTD dan Pn Azini staf ABIM berpeluang menghadiri syarahan sulung bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dalam peringatan BC Sekhar di Dewan Plennary, Kuala Lumpur Convention Centre.Program anjuran Yayasan Sekhar dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) . Ribuan yang hadir untuk mendengar syarahan beliau walaupun program bermula agak lewat kerana sebelum itu beliau telah mengadakan kunjungan hormat di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya. Dalam syarahannya, beliau berkata, dunia hari ini akan menjadi satu tempat lebih baik dan aman jika semua manusia mengamalkan apa yang rakyat pelbagai lapisan di Malaysia buat iaitu toleransi dan belajar untuk hidup secara bersama. Menurutnya, rakyat negara ini juga membuktikan bahawa konflik atau percanggahan pendapat berkaitan politik dalam sebuah negara pelbagai kaum dan agama tidak boleh dipandang sebagai sesuatu yang buruk semata-mata jika ia diuruskan dengan baik.Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petra dan Pengerusi Yayasan Sekhar, Datuk Vinod B. Sekhar, http://www.petragroup.net

Clinton berkata, ada satu perkara yang harus diingat dalam perdebatan politik iaitu tidak ada sesiapa pun yang sentiasa betul sepanjang masa.

Oleh itu, jelas beliau, perlu ada semangat terbuka untuk mendengar pandangan pihak lain dan situasi itu akan membawa banyak faedah secara bersama. Sebelum program berakhir diadakan sesi soal jawab berkaitan isu semasa.

Dalam majlis yang sama beliau telah menerima Pingat BC Sekhar bagi Kepimpinan Perubahan, anugerah baru yang diberikan kepada individu yang menunjukkan komitmen sepanjang hayat dalam mewujudkan perubahan positif yang praktikal di dunia. Datuk Vinod berkata anugerah itu diberikan kepada Clinton kerana penat jerihnya menangani penyebab utama kemiskinan di dunia.

Wednesday, November 26, 2008

Muslim HIV di rumah Mubaligh Kristian

26hb November 2008, Batu Arang – ABIM telah menyertai rombongan dari Pusat Jagaan Baitul Fiqah ke rumah penempatan pesakit yang menghidapi penyakit HIV yang ditempatkan di rumah Mubaligh Kristian yand dinamakan ‘Welcome Community Home’. Rombongan turut disertai oleh beberapa sukarelawan GPTD dan pelajar-pelajar UNISEL. Apa yang menariknya di sini majoriti pesakitnya adalah muslim tetapi ia diletakkan di bawah jagaan mubaligh kristian itu. Tujuan kami ke sini adalah untuk berkenalan dan berkongsikan pengalaman bersama mereka serta mendapatkan info tentang mereka untuk diberikan bantuan susulan.
Rata-rata mereka adalah sudah berkeluarga tetapi telah ditinggalkan. Ada juga di antara mereka yang telah berkahwin dan mempunyai anak tetapi tidak boleh bersekolah kerana status kerakyatan dan sebagainya. Oleh itu, menjadi peranan kita sebagai umat Islam yang berkemampuan membantu sesama muslim seperti mereka supaya mereka dapat di jaga dan di pantau terutamanya dari segi akidah mereka kerana mereka berada di bawah jagaan mubaligh tersebut.

Saturday, November 08, 2008

Salam dari Turki


Bismillahirrahmanirrahim..

Didoakan semoga ikhwan semua berada di dalam kandungan Rahmat Allah sekalian Alam. Bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, kita masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup udara dan menikmati segala nikmat yang ada di alam buana ini.

Elhamdulillah doa dan hajat ana untuk mempelajari Bahasa Turki di Istanbul dimakbulkan Allah S.W.T. Atas nasihat dan cadangan ikhwan yang berada di Istanbul, serta musyawarah bersama ikhwan di Konya, ana telah mengambambil keputusan untuk mempelajari Bahasa Turki di Istanbul di Institusi Bab-ı Alem (sebuah institusi khusus yang memberi pendidikan dan biasiswa kepada pelajar-pelajar antarabangsa).

Di samping dapat menghadiri kursus Bahasa Turki secara formal di Istanbul, ana juga berkesempatan untuk mengikuti usrah dan halaqah sahabat-sahabat di Küçük Çekmece dalam Bahasa Inggeris. Keberadaan ana di Istanbul tidak disia-siakan dan ana dimanfaatkan untuk mengajar Bahasa Inggeris kepada sahabat-sahabat semadrasah di Madrasah Suleymaniye (madrasah tertua dan terawal yang pernah wujud di Kota Istanbul).

Mudah-mudahan kita semua diberi kekuatan iman dan semangat dalam berjuang di jalanNya, menuju kepada yang Haq.

Semoga kita semua tergolong dikalangan hamba-hambaNya yang bersyukur. Salam perantauan daripadaku buat ikhwan semua di Malaysia.

FAIZ ALI
8 Nov 2008
Istanbul, Turki.

Thursday, September 04, 2008

Temuramah UTUSAN



GOMBAK, 28 Ogos - Seorang sukarelawan sepenuh masa GPTD, Sdr Muhammad Suhail Ahmad telah dikunjungi wartawan UTUSAN, Pn Zuarida Mohyin untuk temuramah eksklusif berkenaan dirinya dan projek China.

Temuramah yang berlangsung hampir dua jam itu telah meninjau serba sedikit latarbelakang Sdr Suhail dan pengalaman-pengalamannya dalam bidang kesukarelawanan.

Sesi temuramah itu turut dihadiri sukarelawan lain, Sdri Puteri Nur Azwa Megat Mohd Yusof dan Ketua Penyelaras GPTD, Sdr Najmuddin Mohd Nawi yang bersama-sama melibatkan diri dalam perbincangan ringkas bersama Pn Zuarida.

Perbincangan ringkas yang diadakan sambil temuramah berlangsung menghasilkan beberapa kerjasama positif GPTD dengan akhbar UTUSAN. Antaranya ialah peluang rangkuman program dan penulisan artikel untuk dimuatkan dalam akhbar secara berkala.

Justeru, GPTD mengalu-alukan ahli-ahli GPTD untuk menghantar laporan ringkas atau artikel anda ke gptdhq@gmail.com untuk tujuan tersebut.

Untuk mengetahui berita selanjutnya berkenaan temuramah tersebut, sila dapatkan senaskah akhbar UTUSAN yang akan diterbitkan nanti dalam tempoh terdekat.


Wednesday, May 14, 2008

Kunjungan Hormat ke Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam



BERAKAS (Brunei), 12 Mei – Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Mohiddin, Setiausaha Tetap (setaraf dengan Ketua Pengarah di Malaysia) Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, telah menerima kunjungan hormat Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD).

Rombongan yang diketuai oleh Pengasas GPTD, Tn. Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman turut disertai oleh Sdr. Jufitri Joha (Pengerusi), Tn. Hj. Noryzal Zainal Abidin (Timb. Pengerusi II), Sdr. Najmuddin Mohd Nawi (Ketua Penyelaras), dan Tn. Hj. Nor Helmee Zainal Abidin (Pengarah, Unit Media dan Dokumentasi).

Hadir sama ialah Pengiran Haji Mohd. Tahir bin Pengiran Haji Yusof (Pengarah Pentadbiran), Awang Haji Ismail bin Haji Abdul Manap (Pengarah Hal Ehwal Masjid), dan Awang Hj. Mohammad bin Garing (Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da’wah Islamiah) - dari kementerian yang sama.

GPTD sebagai sebuah badan bukan kerajaan (BBK), membuka ruang kepada belia Brunei untuk turut serta dalam aktiviti khidmat sosial antarabangsa anjuran GPTD. Cadangan ini diusulkan sendiri oleh YM Dato Paduka dalam pertemuan tersebut.

Tn. Hj. Ahmad Azam menyatakan harapan beliau agar pertemuan ini akan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dunia.

Sunday, April 20, 2008

Berita dari Bahrain

Bersama masyarakat Melayu di Bahrain selepas solat Jumaat


Sesi perbincangan setiap hari diadakan selepas Maghrib


Sedang mengikuti siri latihan dakwah melalui pelancongan


Bergambar bersama delegasi lelaki di lobi tempat penginapan




Alhamdulillah, keadaan saya di Juffair, Bahrain baik. Program latihan telah bermula sejak Isnin (14 April 2008). Masa di Bahrain lewat 5 jam daripada Malaysia. Perubahan ini agak sukar disesuaikan pada hari pertama hingga ketiga berada di sini.

Subuh bermula jam 4.00 pagi dan setiap hari kami berjalan kaki sejauh 1km untuk ke masjid dari tempat penginapan. Pada waktu entri ini ditulis, Bahrain baru sahaja dilanda ribut pasir. Ini petanda kepada perubahan cuaca ke musim panas.

Para peserta terlibat majoritinya adalah daripada Malaysia. Selain itu, terdapat beberapa peserta lain daripada China, Mesir dan Bahrain. Suatu pendedahan unik tentang berdakwah melalui pelancongan. InsyaAllah akan saya kongsikan nanti.

Jadual kami penuh dengan aktiviti. Ini merumitkan saya untuk berhubung atau memaklum sebarang info terkini. Harap gambar-gambar ini dapat menceritakan serba sedikit keadaan di sini.

Lagi kisah di http://sahalfikri.blogspot.com
***
Muhammad Suhail Ahmad
Juffair, Bahrain
2.24 pagi

Perasmian Cawangan GPTD yang Pertama

Kota Bahru, 19 April 2008 - GPTD telah berjaya membuka cawangan yang pertama di Kolej Cosmopoint Kota Bahru, Kelantan. Satu Majlis Perasmian telah diadakan di kolej tersebut yang dirasmikan oleh Saudara Najmuddin (Penyelaras GPTD). Lebih kurang 30 orang ahli GPTD Cosmopoint hadir di majlis tersebut. Saudara Najmuddin juga diiringi oleh beberapa orang exco bagi menyerikan majlis tersebut.

Majlis disusuli dengan pengenalan GPTD yang disampaikan oleh Saudara Najmuddin dan persembahan video korporat GPTD. Majlis diteruskan lagi dengan perkongsian pengalaman serta memberikan tips kepada peserta tentang kepentingan hidup sukarelawan dan khidmat sosial yang disampaikan oleh Saudara Hakim menyertai Projek Eksplorasi Korea Jepun.

Insyallah program susulan akan dirancang selepas ini bagi ahli-ahli GPTD Cosmopoint Kota Bahru. Pihak GPTD juga mengucapkan jutaaan terima kasih kepada pihak GPTD Cosmopoint Kota Bahru terutama presidennya Mohd Farid dan rakan-rakan yang terilibat secara langsung atau tidak langsung dan tidak lupa juga kepada ABIM Kelantan, Briged Bakti Negeri Kelantan dan Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK).