Wednesday, December 31, 2008

Catatan Ketua Penyelaras (Disember ’08)

4 Disember

- Mesyuarat Khas Penubuhan Briged Bakti Malaysia (turut hadir)


5 Disember

- Mengisi slot ‘Diskusi Intelektual’ di Program T.O.T. Briged Bakti Negeri Kelantan bersama Pengerusi GPTD

- Perbincangan dengan sukarelawan GPTD dari Cosmopoint Kota Bharu – satu projek telah dipersetujui mereka gerakkan: Projek Ko Samui 2009 (Misi Bahasa Inggeris dan Pembelajaran Komputer)


6 – 9 Disember (‘Idul-Adha)

- Bersama-sama Setiausaha Biro Multimedia, Sdr. Hakim, ke Pattani sebagai sukarelawan untuk membuat kerja-kerja dokumentasi program Qurban untuk yang Memerlukan kelolaan Global Peace Mission (GPM) Malaysia


10 Disember
- Perbincangan dengan pihak di Kedah untuk menubuhkan GPTD Kedah
- Menziarahi Ahli Parlimen Kuala Kedah, YB Tn. Hj. Ahmad Kassim


18 Disember

- Menerima kunjungan rombongan Persatuan Pemuda Muslim Thailand (YMAT) (yang turut diiringi oleh pegawai kerajaan Thailand) ke Sekretariat GPTD


23 Disember

- Persembahan USRATIKA di Majlis Makan Malam sempena Pelancaran Majlis Permuafakatan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan


25 Disember

- Mesyuarat Agung Khas Briged Bakti Negeri Kelantan
- GPTD dijemput bekerjasama untuk projek khidmat sosial bersama para pelajar USM Kelantan


26 Disember

- Sesi perbincangan dengan ahli-ahli GPTD Kelantan dari Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST)
- Menziarahi Sdr. Zahidin, jurulatih / motivator berbincang mengenai pendekatan kepada generasi muda

27 – 31 Disember
- Proses perpindahan sementara Sekretariat GPTD dari Anjung Rahmat ke FEDEC, Kampung Melayu Ampang

Misi Rumah Putih

Ziarah Ilmu di Rumah Putih
Misi Grup Ibn Battutah diteruskan seperti rutin sebelumnya. Program yang bersifat ziarah ilmu bagi merapatkan ukhwah Islamiyyah sesama masyarakat dan pesakit HIV muslim.

Saya suka katakan program berkala ini sebagai satu misi. “Misi Rumah Putih” yang diambil sempena daripada nama sebuah Rumah Perlindungan HIV di Batu Arang bernama White House. Rumah bercirikan sebuah gereja Kristian berwarna putih salju terletak gah tinggi di atas lereng bukit.

Misi Rumah Putih adalah bermatlamat untuk mengembalikan jiwa hamba kepada fitrah insan. Agar penghuni muslim yang sakit HIV hanya tinggal di sini sebagai tempat Agar penghuni muslim yang sakit HIV hanya tinggal di sini sebagai tempat persinggahan dan peringatan daripada Allah SWT.

Mereka tiada apa-apa lagi, masyarakat Muslim telah membuang mereka malah keluarga juga meminggirkan. Mereka dikutip oleh aktivis Kristian di tepi-tepi jalan dan hospital-hospital kerajaan.

Seperti biasa saya tiba awal sekitar jam 10.45 pagi. Kali ini pagar utama White House tidak ditutup, tiada pengawal keselamatan. Kelihatan Father Gomez sudah di laman sedang berbual dengan pekerjanya mungkin.

Sebaik saya keluar daripada VIVA, Father Gomez terus menyapa dengan mengatakan, “Saya baru teringatkan you, sekarang sudah datang.” Saya sengih sahaja dan membalas sapaan dengan bertanya, “Tak cuti Krismas ke?” Beliau menjawab ringkas,”Petang ini I terus pulang ke Klang, my home town."

Saya terus ke bahagian kaunter tetamu untuk mengisi buku rekod tetamu. Catatan saya minggu lepas pada buku tersebut telah ditandakan menggunakan highlighter kuning dengan ditambahkan perkataan kaunseling.

Saya kembali ke kereta kerana terlupa mengambil buku dan kamera. Kemudian disapa Sdr. Amin meminta kad nama daripada saya untuk diberikan kepada Penyelia yang baru sahaja mula bertugas.

Tiba-tiba muncul penyelia tersebut memberikan kad nama. Henry Christopher itulah namanya. Seorang berbangsa India dan pasti beragama kristian.

Saya berbual ringkas dengan Henry, sementara Father Gomez sedang sibuk mengarahkan kakitangannya supaya penghuni Muslim berkumpul di tempat biasa. Begitu juga Sdr. Amin asyik membantu Father Gomez menyusun kerusi di bilik khas.

Saya menamatkan perbualan dengan Henry setelah mengetahui sedikit latarbelakangnya yang sebelum ini bertugas di sebuah kilang, ibunya adalah tukang masak bagi pihak White House.

Saya melangkah perlahan ke bilik yang sudah tersedia kerusi yang disusun secara bulatan. Father Gomez memaklumkan bahawa ada penghuni Muslim baru dan memperkenalkan saya kepada Razali. Saya bersalaman dengan Razali, tetapi dia nampak agak lemah dan suram.

Father Gomez menambah, Razali sudah tiada ibu bapa lagi cuma tinggal kakak yang sudah memutuskan perhubungan keluarga dengannya dan dia baru sampai semalam. Saya mengucapkan terima kasih kepada Father Gomez atas penyediaan yang diberikan.

Apabila sudah sedia semuanya saya mengajak hadirin untuk membaca Al-Fatihah untuk sedekahkan pahalanya kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, sahabat-sahabat Baginda dan dua orang rakan mereka yang baru meninggal pada minggu lepas di Hospital Sg. Buluh. Marilah bersama-sama mengikhlaskan niat kita semata-mata kerana Allah SWT dan mohon agar ditambahkan ilmu.

Hari ini dua orang tidak dapat hadir iaitu Sdr. Razak dan Sdr. Osmera kerana mendapatkan rawatan di Hospital Sg. Buloh. Pada minggu lepas Sdr. Razak sudah dilihat kurang dari segi kesihatannya.

Saya meneruskan dengan membaca secara bersyair Rawatan Keempat yang dikutip daripada Risalah Kepada Pesakit karangan Badiuzzaman Said Nursi tokoh gerakan Islam dari Turki ketika Era Kejatuhan empayar Turki Othmaniyyah. Berikut adalah salinan semula yang telah dilakukan:

"Wahai pesakit yang mengadu kesakitan! Ketahuilah bahawa anda tidak berhak untuk mengadu. Bahkan anda berkewajipan untuk bersyukur dan bersabar sahaja. Kerana anggota tubuh badan luaran dan dalaman anda, bahkan diri anda sendiri bukanlah milik anda. Anda tidak membuat atau menciptanya sendiri. Anda juga tidak membelinya daripada mana-mana syarikat atau kilang. Oleh itu, ia adalah milik yang lain. Pemiliknya boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakinya terhadap barangan miliknya. Ini sebagaimana yang telah diterangkan dalam Kalimah Kedua Puluh Enam yang khusus membincangkan tentang qadar.

Dalam kalimah tersebut dinyatakan: Terdapat seorang ahli kraftangan yang amat mahir dan kaya telah mengupah seorang lelaki miskin untuk menjadi model bagi mempamerkan barangan yang diperbuatnya. Untuk menampilkan hasil buatannya yang indah dan pengalamannya yang luas, dia memakaikan lelaki itu pakaian yang berhias dan dilengkapkan dengan pelbagai perhiasan yang ditenunnya dengan peniuh ketelitian dan keindahan. Dia juga melakukan pelbagai perkara dalam usaha untuk memperindah dan mencantikkan hasil buatannya dengan kemahiran tinggi yang demikiannya. Dia mula menggunting, menukarkan jenis kain yang digunakan, memanjang, memendek dan sebagainya pada pakaian tersebut, semasa ia dipakai oleh lelaki miskin tadi.

Pada pendapat anda adakah lelaki miskin yang mengambil upah itu berhak untuk berkata kepada lelaki ahli kraftangan yang mahir itu: “Anda telah merosakkan ketampanan saya yang terserlah ketika mengenakan pakaian ini kerana anda sentiasa menyuruh saya kadang-kadang tunduk, berdiri dan duduk. Anda juga telah merosakkan saya kerana selalu menggunting, memendek dan menjangkan bahagian-bahagian tertentu pada pakaian ini.”

Begitulah juga keadaannya dengan Tuhan Yang Maha Mencipta yang telah memakaikan pakaian jasad kepada anda, wahai pesakit! Dia juga telah memberikan kepada anda pancaindera nurani yang ditatahkan pada tubuh badan anda, seperti mata, telingan dan akal. Oleh itu anda dapati Allah SWT menukar balikkan keadaan anda dan mempelbagaikan hal ehwal anda demi untuk memperlihatkan kepada anda kesan-kesan buatan-Nya melalui al-asma’ al-husna. Sebagaimana anda dapat memahami dan mendalami hekikat pengertian al-Razzaq (yang memberikan rezeki) melalui pengalaman yang anda lalui ketika menghadapi kelaparan dan kebuluran, maka begitu juga anda akan dapat memahami dan mendalami hakikat pengertian al-Shafi (yang menyembuhkan) ketika anda menghadapi sebarang penyakit.

Sebahagian daripada hikmat al-asma’ al-husna akan tersingkap dan terdedah melalui sakit dan musibah yang dihadapi. Ia juga akan memancarkan cahaya keindahan yang menampilkan tompokan hikmah dan kilasan rahmat. Ketika hijab disingkap, maka di sebalik penyakit yang tidak disukai itu, anda akan menemui hakikat mendalam, indah dan disenangi oleh jiwa anda. Itulah yang terkandung di sebalik penyakit yang anda hadapi."


Saya mengulas mudah bardasarkan intipati yang ingin disampaikan oleh Said Nursi dalam Rawatan Keempat. Apa yang dapat difahami bahawa perumpamaan manusia adalah seperti seorang model diserikan pakaian yang tersendiri dan unik oleh pereka fesyen yang hebat.

Kadang-kadang si model kurang setuju dengan rekabentuk yang telah dibuat oleh pereka fesyen yang mungkin akan memburukkan rupanya. Tetapi tiadalah upaya untuk dia membantah arahan dan rekabentuk sang pereka fesyen kerana si model hanyalah seorang model berkerja dengan tuannya.

Begitulah keadaannya manusia, Allah SWT yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa menyediakan pakaian jasad untuk disarungkan kepada tubuh Roh manusia. Maka tiadalah manusia punya hak untuk mempertikaikan dan memperlekehkan sifat jasad yang telah dikurniakan oleh Penciptanya. Kerana manusia daripada tiada kepada ada.

Malah roh juga diciptakan Allah, roh dan jasad hanya dipinjamkan oleh yang Maha Esa supaya boleh manusia dapat menjalankan amanahnya sebagai Khalifah di muka bumi.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah Shaad, 38 ayat 26 yang bermaksud:
“... Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (Hukum Syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”

Diskusi dibuka kepada hadirin untuk direspon. Namun nampaknya tiada lagi yang bersedia untuk menyatakan pendapat masing-masing. Oleh itu saya menarik perhatian mereka dengan mengulangkaji diskusi minggu lepas tentang perbuatan wuduk. Masih ada yang teragak-agak untuk memberikan jawapan yang tepat.

Berbeza dengan Sdr. Shahabuddin dan Sdr. Muzamin yang punya keyakinan dan tepat ketika diminta menyebutkan perbuatan wuduk. Sdr. Muzamin sebelum ini pernah mengikuti Jamaah Tabligh dan sempat mendapat tarbiyyah daripada pergerakan tersebut. Dia kalau bercakap cukup lancar dengan hujah serta berselang seli dengan potongan ayat Quran dan Hadis.

Tetapi yang agak mendukacitakan apabila di tanya tentang solat. Alasan tidak dapat mendirikan solat berulang akan terpacul daripada mulut dia seperti “Suasana tak ada”, “Iman lemah senipis kulit bawang”, “Saya waswas”,“Saya tak berapa ingat sebab penyakit ini” dan lain-lain lagi.

Geram juga apabila mendengarkan alasannya. Pun begitu saya akan cuba untuk membimbing mereka kepada kehidupan Islami, sejauh yang termampu.

Pengisian diteruskan dengan Rukun Islam. Saya meminta Sdr. Muzamin mulakan dengan Rukun Islam yang pertama. Seperti yang saya jangka dia dapat menjawab dengan tepat hampir mirip kepada teks yang terdapat dalam Panduan Asas Fardhu Ain (PAFA) di sekolah.

Diikuti berikutnya saya tudingkan jari telunjuk meminta Sdr. Shahabuddin meneruskan dengan Rukun Islam yang kedua. Dia juga dapat terangkan dengan baik tentang perkara solat.

Jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain, dialah yang paling alim (jaga solat) selalu berkopiah putih. Seterusnya giliran Sdr. Husin warga Myanmar, namun tiada yang terucap.

Saya minta pula Sdr. Izan membantu tapi juga begitu. Lalu biar saya sahaja yang menerangkan setiap satu Rukun Islam yang lima. Berulang-ulang kali saya menyebut agar mereka ingat dan faham.

Kemudiannya saya minta Sdr. Razali mula untuk menyebut kelima-lima Rukun Islam tadi. Walaupun tidak sempurna tertibnya tetapi sekurang-kurangnya cukup rukunnya. Begitu juga rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, saya rasa cukup buat ketika ini bersoal-jawab tentang rukun Islam.

Saya lanjutkan diskusi dengan berkongsi harapan atau azam setiap seorang sempena tahun baru hijrah yang akan tiba pada tanggal 29 Disember 2008. Setiap seorang akan punya tiga senarai utama. Antara azam mereka yang saya sempat catatkan adalah seperti berikut:

Sdr. Shahabuddin
+ Ingin sertai Jamaah Tabligh untuk mendapatkan tarbiyyah diri.
+ Kembali berjalan seperti sedia kala (sekarang bertongkat besi berkaki empat).
+ Mengajak rakan-rakan senasib kearah kebaikan.

Sdr. Amin
+ Ingin sempurnakan solat sehari semalam.
+ Membantu rakan-rakan yang sedang sakit di Rumah Putih.
+ Belajar mengaji Al-Quran.

Sdr. Husin
+ Beri semangat kepada pesakit HIV agar tidak putus asa.
+ Sempurnakan solat harian.
+ Ingin mengikuti Jamaah Tabligh menyampaikan dakwah.

Sdr. Mahmud
+ Sempurnakan solat lima kali sehari semalam.
+ Agar dapat kembali kepada keluarga.
+ Ingin berpuasa ganti dan sunat.

Sdr. Razali
+ Mohon agar di bukakan hati agar mudah untuk solat.
+ Sihat kembali seperti biasa.
+ Kembali membina kerjaya dan keluarga.

Sdr. Sarizan
+ Berazam untuk membaiki diri.
+ Dapat sempurnakan solat 5 waktu.
+ Kembali normal, keluar daripada Rumah Putih.

Saya juga tidak melepaskan ruang dan peluang untuk menyatakan azam dan harapan saya pada tahun 1430H.

Pertama, mohon Allah SWT beri kekuatan agar dapat istiqamah dan sabar dengan usaha ini. Kedua, moga Allah pertingkat kefahaman ilmu dan amal islami saya dan terakhir saya berazam untuk menjadi seorang bapa yang soleh kerana bulan April nanti isteri saya akan melahirkan seorang puteri yang dinamakan Ijlah Sabirah (penghormatan orang yang bersabar) insya Allah.

Saya mengajak agar rakan-rakan yang hadir dapat mendoakan azam dan harapan rakan mereka. Kerana sebuah hadis nabi yang mafhumnya, Allah akan memakbulkan doa seorang sahabat kepada sahabatnya tanpa sahabatnya tahu bahawa dia telah didoakan oleh sabahatnya. Saya terus menutup majlis dengan bacaan tasbih kifarah mohon ampun kepada-Nya dan surah al-Asr dengan menghayati maknanya.

Saya kemudian mengajak Sdr. Amin dan Sdr Husin membantu mengambil air teh kotak dan roti. Oleh kerana masa sudah jam 12 tengah hari, makanan tengah hari sudah siap terhidang, mereka menyimpan bekalan yang saya berikan dan terus ke meja makan.

Saya bergegas ke kereta untuk ke House Seven (Rumah 7) untuk pertemuan berikutnya. Sementara itu saya mengucapkan terima kasih kepada Henry yang sedang melihat-lihat kereta Wira SE berwarna hitam. Beliau mengucapkan juga mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi datang.

Katanya “sokongan spiritual penting untuk memberi semangat kembali hidup”, saya mengiakan sahaja. Saya meminta diri beransur awal dan tidak berniat untuk melanjutkan perbualan bersama Henry yang petah berkata-kata.

Bimbang kelewatan saya terus memacu VIVA, meluncur ke bawah kaki lereng bukit sambil mengangkat tangan kepada Uncle pengawal keselamatan yang saya tidak tahu namanya. Mungkin ziarah minggu hadapan saya boleh berkenalan dengan lebih rapat lagi. Rumah Putih memang tersergam indah di atas bukit di tepi selekoh bersimpang tiga dan laluan jalannya memang agak bahaya.

Tiba saja saya di Rumah Tujuh, suasana sunyi, tiada keluarga Rohingya yang kelihatan. Suara anak-anak juga tidak kedengaran. Biasanya kalau masuk sahaja VIVA ke laman Rumah Tujuh anak-anak kecil adik beradik pasti berebut-rebut bersalaman dengan saya.

Muncul di pintu kelibat tiga orang penghuni yang tersenyum. Sdr. Nasaruddin, Sdr. Rosli (Muda) dan Sdr. Rosli (Tua) sahaja yang ada untuk majlis pengisian kali ini.

Rancak bersoal-jawab
Sdr. Nasaruddin menyapa saya dengan mesra sambil berjabat tangan, memaklumkan Sdr. Manaf dan Sdr. Azhar ada urusan di Rawang. Rakan-rakan lain juga ada yang balik ke kampung dan ke hospital membuat rawatan susulan.

Kami duduk atas kerusi dengan posisi bulatan supaya lebih erat. Majlis di buka dengan bacaan Fatihah, kemudian saya susuli bacaan secara bersyair Rawatan Ke-4 daripada kitab Risalah Kepada Pesakit sebagaimana saya sampaikan di Rumah Putih pagi tadi.

Perbincangan di buka selepas saya kupas ringkas intipati mesej tokoh gerakan, Said Nursi. Kali ini Sdr. Nasaruddin lebih awal membuka bicara memberi pandangan dan perkongsian.

Dia bersetuju pandangan Said Nursi tentang perumpamaan pereka fesyen dan sang model. Kehidupannya pun begitu apabila bila terjebak dengan najis dadah. Badan tidak berdaya, mata mula kabur, adalah perkara biasa apabila mula mengambil ubat bagi melawan virus HIV. Dia tetap sabar dan bersyukur kerana Allah SWT telah memberikan peluang hidup selepas ‘mati’. Itu hikmahnya, rasa kehidupan kini lebih bermakna kerana punya misi kehidupan.

Sdr. Rosli (Tua) pula banyak kemusykilan di minda yang perlu diuraikan dengan bijaksana. Lalu diskusi selanjutnya lebih kepada soal-jawab. Sdr. Rosli (Tua) bertanya, “Saya telah banyak berbuat dosa kepada ibu bapa saya dan tidak sempat memohon ampun kepada mereka. Adakah dosa saya diampunkan oleh Allah?”.

Saya terkebil-kebil, apabila soalan itu ditanya. Saya rasa macam jadi pakar rujuk fikah. Pada anak mata Sdr. Rosli (Tua) berkaca-kaca menunggu-nunggu jawapan daripada saya.

Saya mulakan bicara dengan mengingatkan bahawa saya mungkin tidak dapat menjawab dengan tepat. Saya alu-alukan rakan-rakan lain untuk memberi respon.

Respon awal saya, “Marilah kita bersangka baik pada Allah SWT agar dosa kesalahan kita selama ini diampunkan-Nya. Tiadalah jua kita ketahui sama ada ibu bapa mengampunkan kita atau tidak, cuma apa yang kita boleh buat adalah mendoakan kebahagiaan mereka di akhirat kelak. Berbuat baiklah kepada sesiapa sahaja terutama sekali kepada mereka yang seusia dengan ibu bapa kita jika dia masih hidup.”

Kemudianya Sdr. Rosli (Muda) pula yang menimbulkan kemusykilan tentang kaum keluarganya yang telah membuang dirinya. Bapanya sudah tidak boleh menerimanya lagi, malah berkata di dalam talian telefon pun tidak dilayannya. Seolah-oleh bapanya rasakan bahawa dia sudah mati.

Sdr. Rosli (Muda) kelihatan hiba dan putus asa selepas meluahkan isi hatinya.

Saya perlahan-lahan mengungkapkan kisah Rasulullah SAW yang tetap berbuat baik kepada seorang perempuan Yahudi tua walaupun dia selalu mengganggu laluan ke rumah baginda dengan melemparkan najis dan sampah.

Akhirnya apabila perempuan Yahudi tua itu jatuh sakit, Rasulullah SAW yang menziarahinya dan menyantuninya sehingga perempuan itu menerima risalah Islam.

Insya Allah tiadalah kita tahu bila dan di mana titik perubahan akan berlaku. Tetapi yang lebih penting usaha-usaha istiqamah kitalah yang akan dinilai pada sisi Allah SWT.

Saya mencadangkan agar Sdr. Rosli (Muda) boleh cuba menulis surat kepada ayahnya. Luahkan isi hati kepadanya.

Tuliskan rasa penyesalan yang teramat sangat kerana telah melukakan hati ayah dan menghancurkan harapan kaum keluarga. Tulis dengan hati sebagaimana kata-kata seorang tokoh Republik Indonesia, Pak Natsir katanya “Kata-kata yang datang dari hati akan turun ke hati”.

Kadang-kadang kita tidak jangka kemungkinan yang Allah ingin tunjukkan kepada hambanya. Sdr. Nasaruddin bersetuju dengan saya kerana rakannya pernah melakukan perkara yang sama.

Suasana sunyi sekejap, semua diam merenung lantai sekali-sekala menjeling-jeling rakan sebelah. Kemudiannya Sdr. Rosli (Tua) berkongsikan pengalaman kehilangan seorang isteri tercinta.

Sepanjang kehidupan berkeluarga, isterinya telah melakukan pengorbanan yang sungguh besar. Menjaga urusan diri dia dan sering mengingatkan perkara ruhaniyyah. Solat dan puasa dilaksanakan dengan baik, tidak tinggal dan lupa.

Tetapi apabila ditakdirkan Allah SWT menarik nyawa isterinya. Kehidupannya terus berubah tidak tentu hala. Sesekali juga pernah terdetik dan terfikir kenapa Allah memberikan segala takdir tersebut? Kenapa tidak diberikan kepada orang lain?

Sedangkan orang yang jahat bertambah kaya dan berjaya. Dirinya yang sederhana tetapi diuji dengan kehilangan orang paling disayanginya. Gelap hidup ini, hati panas marahkan takdir Ilahi. Akhirnya terjebak dengan najis dadah dan hanyut.

Termangu saya mendengar bicara hati Sdr. Rosli (Tua) seolah-olah seperti sebuah drama. Kisah yang sekali-sekali kita dengar di majalah dan televisyen, manusia yang baik dan alim tetapi akhirnya apabila Allah uji tiada lagi sistem kepercayaan kepada berTuhan. Rasa seperti Tuhan telah menzalimi diri dan kaum keluarganya.

"Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" (Surah 23 Al-Mukminun ayat 115).

Itulah sahaja yang mampu saya jawab atas apa yang telah diluahan oleh Sdr. Rosli (Tua). Kerana sesungguhnya kita datang daripada-Nya kepada Dia tempat kita kembali.

“Adakah Sdr. Rosli nak lihat kaum keluarga dan orang yang menyayangi bersikap tidak redha jika Sdr. Rosli sendiri yang pergi terlebih dahulu?”, saya timbulkan persoalan. Dia menggeleng-gelengkan kepala perlahan seakan berat.

Kita kenalah menerima hakikat sebagaimana petikan Allah lah yang menjadikan pakaian jasad kepada roh kita. Jadi Dia berkuasa untuk mengambilnya kembali pada bila-bila masa.

Janganlah kita kecewa dan mengeluh, kerana diri kita sendiri juga bukanlah milik kita. Walaupun kita bangga dengan rupa wajah kita yang cantik. Badan yang tegap dan sasa. Mampu bergerak ke sana ke mari. Tetapi hakikatnya kita daripada tiada kepada ada.

Kami teruskan soal-jawab dengan Sdr. Rosli (Muda) bertanya adakah sah solatnya jika tatoo masih di badan. Saya menjawab ringkas berdasarkan beberapa bacaan buku fikah.

Sah, kerana kalau dibuang tatoo dengan cara memotong sebahagian daging sudah tentu mencacatkan dan merosakan anggota badan. Tetapi kenalah berniat dan berusaha jika ada peluang atau teknologi untuk menghilangkan tatoo tersebut maka bereskan berdasarkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Soalan yang terakhir ditanyakan, “Adakah boleh meletakkan kaca atau besi pada anggota sulit bagi tujuan seksual.” Dia terlibat dengan semua ini ketika berada di dalam penjara.

Saya kurang arif dalam persoalan ini, namun saya cuba memberi respon dan berjanji akan merujuk orang yang lebih pakar.

Dari segi sunnah sudah dilanggari kerana ketika memasukkan kaca ke dalam anggota sulit juga sudah rasa sakit. Sepatutnya jika hendak dikeluarkan juga lebih wajar. Saya cadangkan bertanya dahulu kepada doktor perubatan sama ada kemudaratan.

Macam-macam persoalan yang diketengahkan, nampaknya kena banyaklah lagi buku yang perlu ditelaah dan kuliah yang perlu diikuti dan usrah yang perlu dirancakkan dengan diskusi seumpamanya. Kami akhiri pertemuan tersebut dengan meminta setiap seorang mengucapkan azam tahun baru. Berikut adalah senarai azam mereka:

Sdr. Nasaruddin
+ Istiqamah dalam proses rawatan pemulihan.
+ Mendalami ilmu agama.
+ Kembali bekerjaya.

Sdr. Rosli (Muda)
+ Istiqamah dengan perkara positif dan sihat tubuh badan.
+ Merapatkan ukhwah dengan keluarga kembali.
+ Belajar mengaji.

Sdr. Rosli (Tua)
+ Membina kekuatan spiritual melalui ilmu, iman dan amal.
+ Bantu rakan-rakan yang senasib membina semangat.
+ Mendekatkan diri kepada Allah.

Bacaan kafaratul majlis dan surah al-Asr dilafazkan bersama-sama sebagai tanda tamatnya perbincangan dan bersedia untuk bersolat Zuhur berjamaah.

IZWAN SUHADAK ISHAK
Pengerusi,
Grup Ibn Battutah
24 Disember 2008 | Bestari Jaya
http://www.alrihlah.com/ @ http://gptd.blogspot.com


* Grup Ibn Battutah dahulunya dikenali sebagai Kelab Ibn Battutah

Thursday, December 25, 2008

GPTD di Kelantan

Pengerusi GPTD, Sdr. Jufitri dan Ketua Penyelaras, Sdr. Najmuddin berada di Kelantan dari 25 hingga 26 Disember.

Wakil GPTD berada di Kelantan bersempena dengan Mesyuarat Agung Khas Briged Bakti Negeri Kelantan yang akan dipinda menjadi Briged Bakti Malaysia. GPTD bertindak sebagai rakan NGO kepada Briged Bakti. Ahli-ahli Briged Bakti juga akan ditawarkan ruang untuk mengikuti latihan dan gerak kerja GPTD di luar negara.

Sehubungan dengan itu, GPTD ingin menawarkan ruang untuk bekas-bekas ahli Briged Bakti yang berada di IPT untuk sama-sama menyumbang kepada umat melalui GPTD.

Monday, December 22, 2008

Sehari Bersama Ahli Parlimen

Baru-baru ini beberapa exco GPTD telah berkunjung ke Kedah negeri Jelapang Padi untuk mengadakan pertemuan dengan pelajar Institut Kemahiran MARA dan pejabat ABIM Negeri Kedah untuk membincangkan penubuhan cawangan GPTD serta penubuhan Briged Bakti Negeri.Mereka berkesempatan membuat lawatan ke rumah ahli Parlimen Kuala Kedah, YB Ahmad Kassim serta mengadakan sedikit perbincangan apa yang boleh dibangunkan di Negeri Kedah. Antara cadangannya ialah membuat Program Pelancongan Tamadun yang mana objektifnya untuk menarik pengunjung mengenali Negeri Kedah serta memperolehi serba sedikit tentang sejarah melayu terdapat di negeri ini secara khususnya serta sejarah Malaysia amnya. Mereka juga telah dibawa oleh YB ke Muzium Padi yang terletak di Kuala Kedah. Di muzium tersebut kita boleh saksikan bagaimana proses padi dari zaman dahulu hingga sekarang. Muzium ini hanya satu-satunya di Malysia yang mempunyai pemandangan lukisan bergerak 360 darjah menyaksikan rakyat negeri Kedah dalam perusahaan padinya.

Thursday, December 18, 2008

Ziarah Ilmu ke Rumah Putih & Tujuh

Ziarah ke Rumah Putih
Grup Ibn Battutah sekali lagi turun ziarah ke Batu Arang untuk bertemu dengan penghuni HIV muslim.

Tepat jam 11 pagi saya terus berhenti di hadapan pintu pagar utama Gereja Rumah Putih. Pengawal keselamatan berbangsa India memaklumkan kepada saya, pagar terpaksa dikunci untuk mengelakkan penghuni dariapda keluar.

Kadang kala beliau menjalankan tugas meronda di sekitar gereja untuk meninjau kalau-kalau ada penghuni yang berkeliaran kerana itulah pagar di kunci. Saya mengiyakan sahaja dengan memandu kereta VIVA masuk ke laman utama gereja.

Sebaik keluar saya terlihat Sdr. Izan sedang duduk di atas kerusi roda sendirian. Dia menyapa seolah tidak pernah bertemu.

Saya cuba mengingatkan dia, bahawa saya pernah datang bersama sahabat-sahabat daripada ABIM dan Baitul Fiqah pada minggu lepas sempena Raya Qurban. Dia masih tidak ingat dengan alasan penyakit (HIV) yang sedang dia hadapi.

Kemudian saya terus ke dalam gereja terus mengisi ruang buku pelawat di meja kaunter dan bertemu Pengurus, Father Gomez. Beliau mengalu-alukan kehadiran saya sambil mengarahkan pembantunya untuk memanggil penghuni HIV muslim.

Saya meninjau bilik pesakit melalui kaca lutsinar, kelihatan Sdr. Shaharudin sedang bangkit dari tidurnya. Saya senyum kepadanya sambil dia tersengih. Mungkin masih ingat janji saya pada minggu lepas semasa meraikan mereka sempena Raya Qurban.

Saya terus ke bilik perbincangan untuk bertemu dengan penghuni yang lain. Alhamdulillah hari ini kami dapat berkumpul seramai lapan orang tidak termasuk saya. Kali ini hanya saya sahaja yang berkelapangan untuk bertemu dengan mereka kerana sahabat-sahabat saya sibuk dengan tugasan lain.

Selepas semua berkumpul, saya mengajak hadirin memulakan majlis dengan membaca Umul Kitab, Al Fatihah.

Kemudiannya saya melagukan Rawatan Ketiga yang dipetik daripada Risalah Untuk Pesakit karangan Badiuzaman Said Nursi tokoh gerakan Islam dari Turki.

Berikut adalah petikan Rawatan Ketiga yang diambil daripada Risalah Untuk Pesakit karangan tokoh gerakan Islam dari Turki:

"Wahai pesakit yang tidak mampu bersabar! Tujuan kedatangan manusia ke dunia ini bukanlah untuk bernikmat-nikmat dan berlazat-lazat. Buktinya: Anda dapati setiap yang hidup akan meninggalkan dunia ini. Setiap orang muda akhirnya akan menjadi tua.

Setiap orang pasti akan merasakan kehilangan dan perpisahan dengan orang yang tersayang. Dalam masa yang sama anda dapati manusia adalah makhluk bernyawa yang paling sempurna, mulia dan mempunyai bekalan yang paling mencukupi, bahkan dia adalah tuan kepada seluruh makhluk yang lain.

Tetapi pelbagai penyakit dan kesakitan tetap menerjah kehidupannya ketika dia memikirkan tentang kelazatan-kelazatan yang diperolehinya pada masa lalu dan bala bencana yang akan dihadapinya pada masa hadapan.

Lalu dia terpaksa menjalani kehidupannya dalam keadaan kekeruhan dan kesulitan serta mencampakkan dirinya ke lembah yang lebih hina daripada kedudukan haiwan. Oleh itu, manusia datang ke dunia ini bukan untuk menghabiskan kehidupan dalam keadaan mewah dan tenggelam dalam hembusan bayu yang merehatkan dan menyegarkan, bahkan kedatangannya ke dunia ini bertujuan agar dia memperolehi kebahagian hidup yang abadi. Kebahagiaan hidup yang abadi itu boleh diperolehi melalui jalan perniagaan dengan menjadikan umurnya sebagai modal yang besar.

Jika tidak mengalami sakit, seseorang itu akan hidup dalam keadaan alpa kerana sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat. Dunia pada pandangannya adalah suatu yang indah dan lazat.

Ketika itu, dia akan ditimpa penyakit lupakan akhirat. Dia menjadi benci untuk mengingati mati dan kubur. Dia mensia-siakan modalnya yang amat berharga itu. Dengan itu, datangnya penyakit dapat membukakan matanya serta merta.

Seolah-olah penyakit itu berkata: ”Anda tidak kekal hidup dan anda tidak dibiarkan begitu sahaja. Bahkan anda dipertanggungjawabkan untuk menunaikan satu tugas. Janganlah anda terpedaya. Ingatilah sentiasa Tuhan yang mencipta anda...Ketahuilah bahawa anda sedang menuju ke kubur. Persiapkan dan sediakan diri anda untuk menghadapinya.”

Maka penyakit mengambil peranan sebagai seorang penasihat dan pemberi peringatan. Oleh itu, tidak perlulah anda merasa keluh kesah jika penyakit mendatangi anda. Bahkan anda hendaklah bernaung di bawah bayangan kesyukuran. Jika penyakit yang anda hadapai itu terlalu kuat, maka hendaklah anda banyak bersabar."


Ketika menyampaikan pengisian kelihatan Sdr. Razak agak kurang sihat, lalu saya menyarankan kepadanya agar berehat sahaja jika tidak selesa. Sdr. Amin rakan sebelah menolak kerusi roda yang menampung Sdr. Razak ke bilik rehat.

Saya meneruskan pengisian dengan soal-jawab wuduk. Pendekatan yang diambil adalah “sedia belajar, mengajar dan diajar” semasa mengendalikan diskusi tersebut.

Saya meminta Sdr. Amin untuk berkongsikan cara mengambil wuduk kepada rakan-rakannya. Sdr. Amin adalah seorang pesakit HIV muslim yang berasal daripada Myanmar tetapi fasih berbahasa Melayu.

Dia terus menerangkan dengan menyatakan, “mulakan dengan niat, basuh tangan, berkumur, basuh muka, kedua belah tangan.”

Kemudian saya minta Sdr. Shaharudin menyambung perbuatan wuduk tersebut. Sdr. Shaharudin duduk tersengih dan tangannya terpaut pada tongkat berkaki dua sambil merespon, “sebahagian kepala dan kedua belah kaki”.

Saya meminta Sdr. Osmera yang sedang duduk khusyuk membuat demonstrasi membasuh kedua belah kaki dalam berwuduk. Dia dengan selamba menunjukkan pada bahagian lutut hingga kaki.

Saya ulas mudah, apa yang ditunjukkan oleh Sdr. Osmera tidak salah. Saya tambah, boleh basuh dari lutut tapi pastikan hingga ke hujung kaki. Lebih afdal ialah pergelangan kaki iaitu bahagian atas buku lali dan kebawah.

Sementara itu, Sdr. Izan menambah sebelum kaki, dibasuh dahulu kedua belah telinga. Saya menerangkan dengan jelas anggota wuduk, perbuatan wajib dan sunat agar mereka faham dan tidak keliru lagi sambil menunjukkan praktikalnya.

Sebelum majlis ditamatkan, saya memberikan peluang kepada hadirin yang hadir (untuk bertanya atau mengulas) bermula sebelah kanan saya iaitu Sdr. Amin.

Dia menanyakan arah kiblat yang sebenarnya kepada saya. Macam-macam arah di tunjukkan oleh hadirin yang lain. Ada yang arah utara, timur dan selatan. Cuma Sdr. Shaharudin sahaja yang menuding ke arah barat.

Saya pun agak ragu juga, kerana dalam pertemuan sebelum ini, bila di tanya soal solat semua menjawab solat. Saya memaklumkan kepada Sdr. Amin, insya Allah pada minggu hadapan saya akan bawakan kompas kiblat.

Sdr. Amin juga memohon kalau dapat disumbangkan buku panduan solat yang ringkas supaya boleh dijadikan rujukan. Saya cuma katakan, insya Allah mudah-mudahan.

Saya sangat khuatir untuk berjanji, takut-takut tidak dapat dikotakan. Seterusnya giliran Sdr. Shaharudin, dia menyampaikan salam kepada sahabat-sahabat daripada Baitul Feqah dan PEPIAS serta mengucapkan terima kasih kerana sudi hadir untuk menziarahi mereka.

Berikutnya hanya menggeleng-gelengkan kepala masing-masing. Saya memberikan air kotak dan roti berkrim yang telah dipesan oleh Kak Liza.


Ziarah diteruskan ke Rumah Tujuh

Saya terus turun ke Rumah 7, kerana jam telah menunjukkan 12.05 tengah hari. Saya risau jika penghuni HIV muslim di sana tunggu lama pula.

Alhamdulillah mereka sudah sedia menyambut kehadiran saya dengan susunan kerusi dalam bulatan. Anak-anak Myanmar Muslim (Rohingya) berebut-rebut bersalaman dengan saya. Saya kemudian berjabat tangan dengan penghuni yang sudah sedia menunggu.

Penghuni senior, Sdr. Azhar dan junior juga sudah duduk di kerusi masing-masing. Seolah-olah tidak sabar untuk mulakan program diskusi.

Sebagaimana saya lakukan diskusi di Gereja Rumah Putih, begitu jugalah kaedahnya. Selepas mula majlis, saya lagukan kembali Risalah Kepada Pesakit dengan petikan Rawatan Ketiga.

Kali ini, seorang penghuni junior baru datang lima hari yang lepas. Berdasarkan raut wajahnya usianya sudah menjangkau 50an saya kira. Namanya Rosli, saya membiasakan dengan gelaran Sdr. Rosli.

Perbincangan awal telah dihangatkan oleh Sdr. Azhar senior mereka. Berdasarkan petikan Rawatan Ketiga, dia mengaitkan dengan pengalaman hidupnya.

Sdr. Azhar lebih menghargai hidupnya selepas mendapat tahu tentang penyakir HIV yang dihidapinya. Jadi dia menyarankan kepada junior agar tidak berkeluh kesah kerana hidup perlu diteruskan.

Sdr. Rosli pula bertanya tentang pelbagai dosa yang telah dia dilakukan dan bagaimana dia ingin bertaubat, adakah taubatnya akan diterima Allah?

Saya menegaskan kepada hadirin bahawa, saya bukanlah ‘Ustaz’ yang boleh menjawab setiap persoalan yang diajukan. Tetapi saya hanya memberikan respon berdasarkan sedikit ilmu yang saya belajar, malah saya mohon kepada hadirin juga dapat memberikan pandangan masing-masing.

Saya ungkapan kembali hadis sohih yang bermaksud:
“Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud jika Allah menguji seseorang hamba muslim pada tubuh badannya, Allah Azawajala berkata “tulislah baginya amalan yang soleh. Jika Allah menyembuhkannya daripada penyakit itu, dia akan menjadi bersih dan suci. Tetapi jika Allah mematikannya dengan sebab penyakit itu, Allah akan mengampun dan merahmatinya.” Diriwayatkan oleh Ahmad (Sohih Al Jami’ Al Saghir dan tambahannya) bagi menjawab kemusykilan.

Sdr. Rosli bertanya lagi, ada adakah dia berdosa jika tidak sempat memohon ampun dan maaf kepada ibunya yang telah meninggal dunia kerana banyak kesilapan yang dia lakukan kepada ibunya.

Saya termenung seketika, sedikit cemas dan sedang memikirkan apakah jawapan yang sesuai untuk dinyatakan?

Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang juga Maha Pengampun. Taubat kita akan diterima selagi mana nafas kita tidak sampai di hujung nyawa. Kesempatan yang ada kita gunakanlah untuk bertaubat dan berbuat baik. Tidak dapat berbuat baik kepada ibu bapa sendiri, berbuatlah baik kepada ibu bapa orang lain. Moga-moga dengan keihklasan kita Allah ampunkan dosa dan terima taubat kita.

Sdr. Azhar mohon saya mengulas soal prejudis dalam Islam. Sebelum itu dia menyatakan masyarakat melihat serong kepada pesakit HIV kerana HIV adalah sakit yang kronik malah tiada ubatnya. Dia menambahkan sakit Hepatitis juga berjangkit tidak dapat disembuhkan. Tetapi kenapa hanya pesakit HIV sahaja kena dipinggirkan.

Sdr. Azhar agak kecewa dengan tanggapan masyarakat khususnya muslim kerana mereka disambut baik oleh orang Kristian walaupun mereka penghidap sakit HIV. Dia menegaskan pihak pengurusan (Pengurus – Bro. Alex) tidak memaksa pun soal kepercayaan yang dianuti oleh penghuni yang tinggal di sini.

Saya hanya senyap membisu mendengar penuh teliti. Kemudian saya memberikan respon selepas Sdr. Azhar kelihatan tenang. Dalam Islam tiada prejudis terhadap penganutnya mahupun agama lain.

Malah Rasulullah SAW telah melahirkan akhlaknya yang mulia melalui kisah seorang perempuan tua Yahudi yang merupakan jiran nabi. Perempuan tua sering membuang kotoran di laluan ke rumah nabi. Tetapi nabi menziarahinya ketika perempuan tua sakit di rumah. Sehingga perempuan tua akhirnya terpikat dengan budi perkerti nabi.

Ini menggambarkan bahawa, kita sebagai muslim kena berbuat baik juga kepada bukan Islam malah berbuat baik kepada muslim adalah suatu kewajipan.

Jam di tangan saya menunjukkan pukul 1 petang, saya menberi peluang kepada setiap hadirin yang ada untuk menyatakan apa-apa respon jika ada. Nampaknya semuanya gelangkan kepala tanda tiada idea kecuali Sdr. Zaki yang di duduk di sebelah kiri saya.

Dia mencadangkan agar ABIM dan Baitul Fiqah atau lain-lain pertubuhan dapat menggerakkan satu wadah yang dapat menghimpunkan pesakit HIV muslim agar mereka dibimbing sebagaimana yang telah dilakukan oleh pihak Kristian.

Seminggu sekali turun ke Lorong Chow Kit memberi sebungkus nasi untuk penagih yang tiada upaya dan mengharapkan belas ehsan. Walaupun nampak kecil tetapi pada mereka sebagai penagih amatlah bermakna.

Sdr. Azhar menambah, kadang-kadang pihak sukarelawan Kristian datang ke lorong-lorong di ibu kota mencucikan luka-luka yang ada pada badan penagih.

Tiada kata dapat saya ungkapkan melainkan, insya Allah! Dengan harapan besar dan penuh tanggungjawab marikah kita sama-sama bercita-cita memikul amanah tersebut melalui wadah yang kita sama-sama bina bersama.

Kalau boleh mereka sendiri yang akan menjadi perintis kepada wadah yang diimpikan bersama. Memberi peluang kepada rakan-rakan penagih kembali membina hidup Islami.

Saya tutup majlis tersebut dengan menyampaikan analogi mudah tentang ‘Power Rangers’. Power Rangers itu terdiri daripada individu-individu yang punyai pelbagai keunikan dan kelebihan. Mereka berlawan dengan makhluk asing yang kecil tetapi kuat. Kekuatan mereka akan lebih hebat dan berdaya tenaga jika mereka bergabung menjadi sebuah robot yang dapat menewaskan raksasa besar dan luar biasa yang sering mengganggu-gugat masyarakat.

Begitulah juga kita, jika pesakit HIV muslim dapat kembali membina kekuatan masing-masing lalu berganding bahu insya Allah, apa yang dicita-citakan untuk menumpaskan pengkhianat manusia dan membina jiwa merdeka.

Kami solat Zuhur berjamaah sebelum bersurai.


Disediakan oleh,
IZWAN SUHADAK ISHAK
Pengerusi,
Grup Ibn Battutah



*Grup Ibn Battutah dahulunya dikenali sebagai Kelab Ibn Battutah

Tuesday, December 16, 2008

TAKBIR RAYA DI GEREJA RUMAH PUTIH

Pertemuan Ukhwah Hari Raya Qurban
Pada hari Selasa tanggal 9 Disember 2008 bersamaan 11 Zulhijjah 1429H, Grup Ibn Battutah bersama sahabat-sahabat dari Rumah Perlindungan Baitul Fiqah dan PEPIAS berpeluang hadir ke Batu Arang, Selangor meraikan penghuni HIV muslim di Rumah Perlindungan HIV sempena hari kedua Raya Qurban.

Rumah Perlindungan HIV ini dikendalikan oleh sebuah NGO yang dikenali sebagai Welcome Home Community. Pengurusnya adalah Father Alex seorang paderi.

Terdapat lebih 70 orang penghuni yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum seperti Melayu, Cina dan India.

Malah ditempatkan juga pelarian Rohingya dari Myanmar, yang tiada tempat bergantung disebabkan polisi UNHCR yang hanya membenarkan mereka didaftarkan sebagai pelarian tanpa dibenarkan berkerja.

Pertemuan yang bermula tepat jam 11 pagi dimulai dengan sesi ta’aruf ringkas bagi mewujudkan rasa mesra sesama penghuni muslim Rumah Perlindungan HIV dan aktivis (Grup Ibn Battutah, Rumah Baitul Fiqah dan turut hadir PEPIAS).

Pertemuan adalah program susulan dan insya Allah pertemuan mingguan diadakan bagi merapatkan masyarakat dengan penghidap virus HIV.

Ini adalah tanggungjawab sosial agar tidak meminggirkan mereka yang pernah terjerumus dalam ambang kehancuran.

Tambahan pula dalam proses pemulihan di Rumah Perlindungan HIV yang diurus-tadbir oleh gerakan Kristian tentulah menjadi suatu kewajiban sebagai aktivis Muslim untuk terus berdamping memberi sokongan dan semangat Islami kepada mereka untuk kembali kepada Fitrah Insan.

Selesai ta’aruf, Sdr. Azali mewakili PEPIAS memberikan pengisian tentang Kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, menyingkap peristiwa ketaatan dan kesabaran para nabi yang diuji oleh Allah SWT untuk membuktikan keimanan mereka kepada yang Esa.

Kemudiannya Sdr. Azali mengajak hadirin mengimbau dan menginsafi peristiwa Siti Hajar dan Anaknya serta kisah Habil dan Qabil.

Diskusi yang berlangsung mirip kepada konsep kaunseling kelompok atau usrah agar hadirin dapat saling berkongsi idea, memberi respon dan bersetuju dengan hasil keputusan untuk tindakan lanjut.

Sdr. Azhar, penghidap HIV positif yang merupakan senior di Rumah Perlindungan HIV memberi sedikit ulasan terhadap input yang telah disampaikan oleh Sdr. Azali dengan menambah pesanan agar penghuni junior yang baru menghuni rumah tersebut dapat melakukan pengorbanan pada diri sendiri iaitu dengan beriltizam untuk merawat diri dan menjauhi najis dadah.

Kemudiannya saya pula menyampaikan Risalah Kepada Pesakit karangan tokoh gerakan Islam di Turki, Badiuzzaman Said Nursi.

Saya membacakan rawatan pertama dan kedua secara berirama. Hadirin khusyuk mendengar dan menghayati maknanya.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 156 yang bermaksud:
"Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Memang menyampaikan mesej sabar dengan ujian sakit adalah sesuatu yang mudah tetapi orang yang menghadapinya sendiri tentu merasa berat sebagaimana kata pepatah, "berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul".

Pun begitu kita mestilah punya keyakinan pada firman Allah SWT dalam Surah Al-Shu’ara, ayat 79-80 yang bermaksud:
"Dan Tuhan Yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum, Dan apabila aku sakit, maka Dia lah Yang menyembuhkan penyakitku."

Petikan daripada Rawatan Pertama yang dipetik daripada Risalah Kepada Pesakit adalah seperti berikut:

"Wahai pesakit! Janganlah anda gelisah. Bersabarlah! Sakit yang anda hadapi bukanlah penyakit buat anda, tetapi ia adalah sejenis rawatan. Ini kerana umur adalah modal seseorang yang sentiasa berkurangan dari masa ke masa.

Jika tidak dilaburkan, ia pasti akan kehabisan juga suatu hari nanti, terutamanya jika ia dihabiskan dengan kerehatan dan kealpaan, tiba-tiba seseorang itu telah tiba dipenghujung jalan (kematian).

Jadi sakit akan memberikan keuntungan yang besar kepada modal yang dimiliki oleh seseorang dan tidak akan membenarkan umurnya dihabiskan dengan segera.

Sakit akan melambatkan perjalanan langkah kehidupan, menahannya, memanjangkan umur dan akhirnya berhenti setelah membuahkan hasil.

Kemudian selepas sakit hilang seseorang itu dapat meneruskan perjalanan kehidupannya.

Oleh itu, masa menjadi panjang disebabkan penyakit, sehingga dikatakan: 'Aduhai! Alangkah panjangnya masa bencana dan alangkah pendeknya masa kemewahan'."


Manakala Rawatan Kedua, Said Nursi menekankan tentang pesakit yang kurang bersabar dengan penyakit yang dihadapinya sebagaimana petikan yang disalin di bawah:

"Wahai Pesakit yang kurang sabar! Bersabarlah! Hiasilah dirimu dengan kesyukuran.

Sakit yang anda alami boleh menukarkan beberapa minit umur anda menjadi beberapa jam ibadah.

Ini adalah kerana ibadah terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama – Ibadah positif iaitu yang dilakukan dengan anggota badan yang tercerna melalui solat, doa dan seumpamanya.

Kedua – Ibadah negatif iaitu yang dilakukan dengan hati. Seseorang yang ditimpa musibah penyakit akan kembali dan meminta perlindungan kepada Allah SWT, Tuhan yang menciptanya, mengharapkan pertolongan-Nya dan memohon bantuan-Nya.

Ini semua bertitik tolak daripada perasaannya yang merasakan dirinya lemah ketika berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit dan musibah.

Dengan tadharru’ tersebut dia akan memperolehi suatu ibadah maknawi yang ikhlas dan bersih suci daripada sebarang perasaan riak.

Memang terdapat beberapa riwayat sahih** yang mengatakan bahawa umur seseorang mukmin yang bercampurkan sakit adalah dianggap sebagai ibadah, tetapi dengan syarat tidak berkeluh kesah dan berputus asa terhadap rahmat daripada Allah SWT.

Beberapa riwayat yang sahih dan kasyaf yang benar telah menunjukkan bahawa daripada kesakitan yang dihadapi oleh sebahagian orang-orang yan bersyukur dan sabar adalah dianggap menyamai satu jam ibadah yang sempurna bagi mereka.

Sebagaimana satu minit daripada kesakitan yang dihadapi oleh sebahagian daripada orang-orang yang telah mencapai tahap kesempurnaan (al-Kamilin) dianggap menyamai satu hari ibadah yang sempurna.

Wahai saudaraku! Janganlah anda merasai ragu dan syak bahawa satu minit daripada kesukaran yang anda hadapi disebabkan sesuatu penyakit boleh menjadi seribu minit dan dapat memanjangkan umur anda! Bahkan anda hendaklah bersyukur.


Diskusi semakin rancak dengan tambahan oleh Kak Liza, aktivis Baitul Fiqah bekas seorang pengamal undang-undang dan Sdr. Zaki seorang penghuni junior yang bersetuju agar kita jangan putus dari rahmat Allah kerana orang mukmin sentiasa mengharapkan rahmat daripada Allah SWT.

Hadirin juga disaran agar selalu bersangka baik pada Allah SWT kerana Dia akan memberikan kepada hambanya berdasarkan sangkaan hambanya.

Oleh itu setiap doa yang dititipkan pada penciptanya perlulah doa yang positif dan yakin dengan ketentuan Ilahi.

Di akhir diskusi, kami dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari yang telah pun dibawa khas oleh Kak Liza dari Baitul Fiqah. Daging qurban masak kari nampak selera dijamu kami bersama-sama.

Penghuni HIV sempat berkongsikan pengalaman hidup mereka secara ringkas sambil menambah lauk pauk yang memang membuka selera mereka.

Biasanya sebelah pagi aktiviti yang akan dilakukan oleh penghuni di sini adalah turun ke kebun yang ditanam dengan Misai Kucing.

Kemudiannya Misai Kucing akan diproses menjadi daunan kering untuk dijadikan sebagai minuman seperti teh. Daun Misai Kucing dipek kemas bersama dengan keterangan cara menghasilkan minuman dan khasiat yang terkandung di dalamnya.

Sdr. Azali yang berminat dengan produk tersebut mendapatkan satu pek untuk dicuba. Itulah antara produk yang dihasilkan untuk mendapatkan dana bagi menampung kehidupan mereka di sini.

Kami bersolat zuhur berjamaah di pertemuan kali ini walaupun hanya beralaskan tikar buruk. Diakhir salam, saya bertakbir diikuti oleh para jamaah.

Alhamdulillah seketika ini sahaja pertemuan kami, insya Allah persetujuan telah tercapai dengan pertemuan berikutnya pada setiap hari Rabu dengan diakhiri zuhur berjamaah. Pertemuan berikutnya lebih kepada pengisian usrah.

Takbir Raya Di Gereja Rumah Putih
Kami teruskan agenda ke Gereja Rumah Putih juga di bawah pengurusan Welcome Home Community yang berhampiran dengan Rumah Perlindungan HIV.

Gereja ini menempatkan pesakit HIV yang kritikal dan memerlukan rawatan rapi. Di sini kami bertemu dengan pesakit HIV muslim seramai lima orang.

Empat orang lagi ada yang balik ke kampung dan ke hospital untuk rawatan khas.

Rumah Perlindungan HIV sebelum ini, ditempatkan penghuni yang mampu menguruskan diri sendiri cuma perlukan pemerhatian bagi mengawal daripada mereka terjerumus kembali ke lembah najis dadah.

Berbeza dengan penghuni di sini, mereka adalah yang dikategorikan sebagai kritikal.

Sebelum ini kami pernah hadir ke gereja ini dan dihimpunkan di sebuah bilik untuk bertemu dengan penghuni muslim.

Tetapi kali ini kami agak terkejut juga kerana rupa-rupanya bilik tersebut adalah ruang yang bersambung dengan Dewan Persidangan bagi penganut Kristian memberikan ceramah.

Sebagaimana suasana dalam gereja yang biasa kita lihat, ada gambar Jesus dan simbol salib pada dinding.

Itulah hakikat yang perlu kami terima, pengurusnya adalah Father Gomez. Kalau dilihat dari luar memang kelihatan sebuah gereja putih yang bertanda salib besar di pintu masuk utamanya.

Jadi suasananya sudah pasti ada unsur-unsur Kristian. Cuma yang dibimbangi adalah penghuni Muslim yang sedang sakit kritikal yang tiada pilihan terpaksa menetap di situ kerana telah dibuang keluarga malah masyarakat.

Inisiatif yang dapat kami lakukan sebagai aktivis sosial Muslim adalah mendekati mereka tanpa meminggirkan setiap jiwa muslim yang tinggal di sini.

Seperti biasa, Kak Liza membawakan air zam zam serta kurma untuk juadah buat mereka yang diraikan sempena Hari Raya Qurban.

Pertemuan kami ringkas, dimulakan dengan Takbir raya dan diikuti oleh mereka selang seli.

Memang syahdu tetapi lebih mengharukan adalah alunan takbir berbunyi indah yang biasa dialunkan di dalam masjid kini dibacakan bersama-sama di dalam sebuah gereja.

Di hujung pertemuan, ada sedikit perbincangan dan permintaan daripada penghuni HIV muslim.

Mereka mengharapkan akan ada sukarelawan yang dapat hadir mengajar mereka soal fardhu ain seminggu sekali.

Alhamdulillah, keputusan yang telah dibuat adalah insya Allah saya dan rakan-rakan daripada Grup Ibn Battutah, ABIM, PKPIM dan PEPIAS akan saling berganding bahu memenuhi hasrat mereka.

Pertemuan akan dibuat pada setiap hari Rabu sebagaimana persetujuan ziarah yang dijanjikan kepada penghuni Rumah Perlindungan HIV.

Harapnya dengan ziarah dan takbir ini dapat merapatkan mereka kepada Allah SWT.

*Grup Ibn Battutah sebelum ini dikenali sebagai Kelab Ibn Battutah

___________________________________________________________________
**Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud jika Allah menguji seseorang hamba muslim pada tubuh badannya, Allah Azzawajalla berkata “tulislah baginya amalan yang soleh. Jika Allah menyembuhkannya daripada penyakit itu, dia akan menjadi bersih dan suci. Tetapi jika Allah mematikannya dengan sebab penyakit itu, Allah akan mengampun dan merahmatinya.” Diriwayatkan oleh Ahmad (Sohih Al Jami’ Al Saghir dan tambahannya)

Wednesday, December 10, 2008

Bill Clinton di Malaysia

Pada 5 Disember baru-baru ini, saudari Puteri Nur Azwa, exco GPTD dan Pn Azini staf ABIM berpeluang menghadiri syarahan sulung bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dalam peringatan BC Sekhar di Dewan Plennary, Kuala Lumpur Convention Centre.Program anjuran Yayasan Sekhar dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) . Ribuan yang hadir untuk mendengar syarahan beliau walaupun program bermula agak lewat kerana sebelum itu beliau telah mengadakan kunjungan hormat di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya. Dalam syarahannya, beliau berkata, dunia hari ini akan menjadi satu tempat lebih baik dan aman jika semua manusia mengamalkan apa yang rakyat pelbagai lapisan di Malaysia buat iaitu toleransi dan belajar untuk hidup secara bersama. Menurutnya, rakyat negara ini juga membuktikan bahawa konflik atau percanggahan pendapat berkaitan politik dalam sebuah negara pelbagai kaum dan agama tidak boleh dipandang sebagai sesuatu yang buruk semata-mata jika ia diuruskan dengan baik.Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petra dan Pengerusi Yayasan Sekhar, Datuk Vinod B. Sekhar, http://www.petragroup.net

Clinton berkata, ada satu perkara yang harus diingat dalam perdebatan politik iaitu tidak ada sesiapa pun yang sentiasa betul sepanjang masa.

Oleh itu, jelas beliau, perlu ada semangat terbuka untuk mendengar pandangan pihak lain dan situasi itu akan membawa banyak faedah secara bersama. Sebelum program berakhir diadakan sesi soal jawab berkaitan isu semasa.

Dalam majlis yang sama beliau telah menerima Pingat BC Sekhar bagi Kepimpinan Perubahan, anugerah baru yang diberikan kepada individu yang menunjukkan komitmen sepanjang hayat dalam mewujudkan perubahan positif yang praktikal di dunia. Datuk Vinod berkata anugerah itu diberikan kepada Clinton kerana penat jerihnya menangani penyebab utama kemiskinan di dunia.

Info Terkini GPTD

Assalamualaikum wrh. wbt.

TaqabbalalLahu Minna wa Minkum
Salam 'Idul-Adh-Ha 1429
Kullu 'Aam wa Antum biKhair

1. AlhamdulilLah, sukarelawan GPTD yang menyertai misi dokumentasi Qurban 1429H di wilayah Pattani telah selamat kembali ke tanah air.

2. Hasil mesyuarat GPTD Pusat dengan sukarelawan GPTD, projek baru ke Ko Samui, Surat Thani, Thailand telah diwujudkan. Projek ini dianggotai oleh sukarelawan GPTD dari Cosmopoint Kota Bharu.

3. Pengerusi dan 3 orang AJK GPTD akan berada di Kedah untuk bertemu wakil Institut Kemahiran MARA bagi membincangkan penubuhan GPTD Cawangan Kedah.

Sekian dimaklumkan.
Selamat Menghayati Ibadah Haji dan Qurban.

Terima kasih, wassalam.


NAJMUDDIN MOHD NAWI
Ketua Penyelaras GPTD

Saturday, December 06, 2008

GPTD di Selatan Thai

6 Disember 2008, Yala - GPTD telah menghantar 2 orang wakil untuk menyertai Misi Korban Aidiladha di bawah Global Peace Mission (GPM) dan Zakat Foundation of America di Yala, Selatan Thai. Mereka akan berada di sana selama 3 hari untuk membuat dokumentasi dan menyertai program korban di Selatan Thai ini. Antara tujuan lain membantu GPM mendapatkan maklumat tentang penerima agihan korban untuk dijadikan bahan dokumentasi.

Program seperti ini salah satu misi kita menghantar sukarelawan-sukarelawan GPTD membantu sahabat-sahabat GPTD seperti GPM supaya mereka ini dapat didedahkan dengan khidmat sosial, semangat kesukarelawanan dan sebagainya. Mereka yang dihantar ini juga telah mengikuti beberapa siri latihan GPTD yang telah dirancang bagi memastikan tahap ketahanan fizikal dan juga mental di tahap yang stabil supaya dapat mengatasi segala masalah dengan sebaik-baiknya.

Friday, December 05, 2008

Pengerusi GPTD di RTM 1

Pengerusi GPTD, Sdr. Jufitri Joha telah diundang ke program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di RTM 1. Slot beliau akan bermula pada jam 8:00 pagi, Ahad 7 Disember 2008.

Sdr. Jufitri akan membicarakan tajuk "Pengorbanan Generasi Muda dalam Membangunkan Negara". Beliau turut diberi ruang untuk memperkenalkan GPTD.

Nantikan kemunculan beliau di kaca televisyen!

Thursday, December 04, 2008

4 Disember 2008, Pengkalan Chepa - Saudara Najmudin (Penyelaras GPTD) & Saudara Hakim (Unit Media GPTD) telah menghadiri Mesyuarat Khas II Penubuhan Briged Bakti Malaysia yang diadakan di pejabat Operasi ABIM Kelantan. Mesyuarat ini bertujuan menubuhkan Briged Bakti di peringkat kebangsaan yang mana sebelum ini hanya ditubuhkan di Negeri Kelantan sahaja. Melihat kepada perkembangan yang memberangsangkan mesyuarat ini diadakan bagi merialisasikan hasrat penubuhan di peringkat Malaysia.
Turut hadir saudara Jufitri (Exco ABIM & Pengerusi GPTD). Insyallah mereka akan berada selama lebih kurang 2 hari disamping jadual yang telah diatur. Antara agenda yang akan dijalankan ialah mengisi slot Program "Training of Trainer (TOT) Kelab PROSTAR Kota Bharu di Sri Nipah Beach Resort, Bachok. Pada keesokkan harinya mereka akan mengisi slot Program TOT 2 Briged Bakti Negeri Kelantan di Rumah Putera Harapan. Pada sesi petangnya pula, Program Ramah Mesra bersama GPTD Kelantan.

Tuesday, December 02, 2008

Pada 2 Disember yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menerima kunjungan daripada dua persatuan yang digerakkan oleh masyarakat Islam di Thailand, iaitu Young Muslim Association of Thailand dan Muslim Attorney Centre.Kunjungan tersebut disambut telah oleh Timbalan Presiden ABIM, Dr Mohd Farid Shahran serta beberapa pimpinan ABIM. GPTD turut diwakili oleh Saudara Firdaus Hamsin, Unit Dokumentasi & Penerbitan.

Sepanjang pertemuan tersebut, rombongan dari kedua-dua persatuan tersebut telah dipertontonkan dengan tayangan video yang menerangkan latar belakang ABIM di samping memperolehi kesempatan untuk menerangkan serba sedikit akan keadaan semasa yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam di Thailand.

Wednesday, November 26, 2008

Muslim HIV di rumah Mubaligh Kristian

26hb November 2008, Batu Arang – ABIM telah menyertai rombongan dari Pusat Jagaan Baitul Fiqah ke rumah penempatan pesakit yang menghidapi penyakit HIV yang ditempatkan di rumah Mubaligh Kristian yand dinamakan ‘Welcome Community Home’. Rombongan turut disertai oleh beberapa sukarelawan GPTD dan pelajar-pelajar UNISEL. Apa yang menariknya di sini majoriti pesakitnya adalah muslim tetapi ia diletakkan di bawah jagaan mubaligh kristian itu. Tujuan kami ke sini adalah untuk berkenalan dan berkongsikan pengalaman bersama mereka serta mendapatkan info tentang mereka untuk diberikan bantuan susulan.
Rata-rata mereka adalah sudah berkeluarga tetapi telah ditinggalkan. Ada juga di antara mereka yang telah berkahwin dan mempunyai anak tetapi tidak boleh bersekolah kerana status kerakyatan dan sebagainya. Oleh itu, menjadi peranan kita sebagai umat Islam yang berkemampuan membantu sesama muslim seperti mereka supaya mereka dapat di jaga dan di pantau terutamanya dari segi akidah mereka kerana mereka berada di bawah jagaan mubaligh tersebut.

Tuesday, November 25, 2008

KEM KEPIMPINAN SMAP KAJANG 2008

Baru- baru ini telah berjalan Kem Kepimpinan SMAP Kajang yang telah berlangsung di Sukida Resort, Semenyih yang lalu telah dihadiri oleh seramai 100 orang pelajar tingkatan 1 dan 2. Program tersebut adalah hasil kerjasama I-Transcend Human Development Sdn. Bhd dibawah Biro Latihan GPTD dan SMAP Kajang. Pengerusi GPTD Jufitri Joha turut mengisi slot di program tersebut selaku bekas pelajar SMAP Kajang.
Secara keseluruhannya, program berjalan dengan baik tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Rata-rata pelajar menyifatkan program tersebut sebagai berjaya dan ingin program sebegitu diadakan setiap tahun. Pada dasarnya, segala kemudahan dan kelengkapan yang disediakan adalah mencukupi dan selesa. Resort tersebut dilengkapi dengan peralatan yang berfungsi dan agak memuaskan. Majlis penutup program di sempurnakan oleh Tn Hj Rezazali, Guru Akademik SMAP Kajang. InsyaAllah I Trancsend berharap kerjasama yang lebih erat akan terjalin di antara kedua pihak.

Thursday, November 20, 2008

KLD Tunas Samudera

Alhamdulillah, seramai 24 belia dari seluruh negara melalui pengalaman berharga selama 10 hari di Laut China Selatan bersama Kapal Diraja (KLD) Tunas Samudera dikendalikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Kumpulan itu memulakan pelayaran sejak 4 NOvember lalu dari Kota Kinabalu, Sabah dan berakhir di pangkalan TLDM Tanjung Gelang. GPTD diwakili oleh saudara Azym Muhammad yang sedang menuntut di Kolej Kumpulan Lagenda.

Wednesday, November 19, 2008

GPTD @ Kolej PTPL



Sungai Congkak, Hulu Langat - Pengerusi GPTD, saudara Jufitri Joha telah dijemput menyampaikan ceramah bertajuk Pengenalan Kepada Gerak Kerja Kesukarelaan dan Belia. Ceramah ini bertujuan untuk memperkenalkan gerak kerja kesukarelaan dan belia serta mengambil peluang memperkenalkan ABIM, PKPIM dan GPTD kepada lebih 30 peserta daripada Pelajar Kolej PTPL Ampang dan Kolej PTPL Seremban. Program ini turut disertai wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Pihak GPTD juga berharap agar sayap operasi GPTD dikembangkan ke Kolej PTPL sebagai satu usaha serius menawarkan sesuatu yang bermanfaat pada generasi muda.

Sebelum ini Pengerusi GPTD telah menjelajah ke beberapa buah institut pengajian atas objektif yang sama seperti UNISEL, Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim Rembau, Sekolah Menengah Tinggi Agama Hishamuddin Kelang dan UTM Skudai.


Saturday, November 15, 2008

Misi Kesukarelaan ke Sri Lanka

AlhamdulilLah, setelah pelbagai rintangan dan dugaan ditempuhi, akhirnya Grup GPTD Sri Lanka berjaya meneruskan Misi Kesukarelaan ke Sri Lanka dengan izin-Nya.

Grup Sri Lanka yang terdiri dari Syah, Fahmi, Nadzifatul, Ain Najwa, Balqis dan Dyll berlepas dari KLIA jam 0830, 15 November 2008. Grup Sri Lanka selamat mendarat di Colombo kira-kira jam 0925 waktu tempatan.


Terlebih dahulu, Grup Sri Lanka telah mengikuti Kursus Induksi sehari sebelumnya. Dalam sesi Bersama Pengasas, Tn. Hj. Ahmad Azam telah menggariskan beberapa tindakan yang perlu diambil dalam memastikan kejayaan misi kali ini.


Dalam sesi Amanat Presiden ABIM pula, Sdr. Yusri Mohamad menekankan agar semua ahli grup dapat memainkan peranan yang berkesan, tatkala kebanyakan umat Islam di seluruh dunia memandang tinggi warga Muslim Malaysia. Kursus diakhiri dengan sesi bersama Pengerusi GPTD, Sdr. Jufitri Joha.

Seluruh warga GPTD mendoakan kejayaan misi ke Sri Lanka. Semoga misi kali ini dapat memberikan hasil terbaik buat semua.

(Perkembangan Grup Sri Lanka juga boleh diikuti di sini.)

Tuesday, November 11, 2008

Suhail @ Pulau Kokos: Travelog

Kali ini aku mahu cerita tentang kerja aku. Setiap hari pada jam 8.30 - 10.30 pagi aku ditugaskan mengajar orang tua membaca al-Quran. Macam pernah aku ceritakan pada entri lepas.

Jarak rumah tempat aku menginap ke markaz tempat aku mengajar ialah 600 meter. Setiap hari aku pasti berjalan kaki ulang alik 3 kali. Sekalipun aku makan banyak, aku rasa rutin ini dapat mengekalkan bentuk fizikal badan aku.


(Baca lanjut di sini)

Saturday, November 08, 2008

Salam dari Turki


Bismillahirrahmanirrahim..

Didoakan semoga ikhwan semua berada di dalam kandungan Rahmat Allah sekalian Alam. Bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, kita masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup udara dan menikmati segala nikmat yang ada di alam buana ini.

Elhamdulillah doa dan hajat ana untuk mempelajari Bahasa Turki di Istanbul dimakbulkan Allah S.W.T. Atas nasihat dan cadangan ikhwan yang berada di Istanbul, serta musyawarah bersama ikhwan di Konya, ana telah mengambambil keputusan untuk mempelajari Bahasa Turki di Istanbul di Institusi Bab-ı Alem (sebuah institusi khusus yang memberi pendidikan dan biasiswa kepada pelajar-pelajar antarabangsa).

Di samping dapat menghadiri kursus Bahasa Turki secara formal di Istanbul, ana juga berkesempatan untuk mengikuti usrah dan halaqah sahabat-sahabat di Küçük Çekmece dalam Bahasa Inggeris. Keberadaan ana di Istanbul tidak disia-siakan dan ana dimanfaatkan untuk mengajar Bahasa Inggeris kepada sahabat-sahabat semadrasah di Madrasah Suleymaniye (madrasah tertua dan terawal yang pernah wujud di Kota Istanbul).

Mudah-mudahan kita semua diberi kekuatan iman dan semangat dalam berjuang di jalanNya, menuju kepada yang Haq.

Semoga kita semua tergolong dikalangan hamba-hambaNya yang bersyukur. Salam perantauan daripadaku buat ikhwan semua di Malaysia.

FAIZ ALI
8 Nov 2008
Istanbul, Turki.

Monday, November 03, 2008

Kunjungan Ukhuwwah : Imam Pulau Krismas



Alor Gajah - Kumpulan Jejak Warisan 2003 iaitu kumpulan projek sulung GPTD ke Pulau Krismas, Australia telah membuat kunjungan ukhuwwah ke rumah Ustaz Ghaffar bin Ismail, iaitu Imam Masjid Pulau Krismas. Ustaz Ghaffar bersama keluarga beliau sedang bercuti di Malaysia dan menghabiskan masa bersama ibu ayah dan saudara - mara di Melaka.

Di samping mengambil kesempatan berhari raya, kumpulan Jejak Warisan yang diketuai saudara Kamarul Arifin turut berbincang mengenai masa depan projek GPTD dan ABIM di Pulau Krismas dan penerusan hubungan baik antara GPTD dan ABIM dengan masyarakat Islam Melayu Pulau Krismas.

Saudara Jufitri Joha, Pengerusi GPTD yang turut serta dalam kunjungan ini, mempelawa Ustaz Ghaffar berkunjung ke Pejabat GPTD dan ABIM di Kuala Lumpur bagi melanjutkan perbincangan dan sebagai kunjungan balas.



Sunday, November 02, 2008

Suhail @ Pulau Kokos: Cerita Bergambar


Cerita kali ini bergambar. Sebelum tiba di Pulau Kokos, aku kena transit di Pulau Krismas. Pulau Krismas pernah aku kunjungi selama sebulan setengah pada tahun 2005.

Transit selama 2 jam cukup menjadikan aku subjek tumpuan di situ. Sebaik saja aku melangkah keluar, makcik-makcik di situ memanggil aku. Puas berbual dengan mereka. Dan yang pasti aku akan transit 2 hari bila nak balik nanti.

Kalau tadi naik MAS, kali ini naik National Jet [gambar di atas]. Lebih senyap dan selesa. Makan minum disediakan untuk sejam setengah perjalanan. Bila nak dihidangkan sandwich, aku tanya apa isinya? Takut-takut ayam/daging yang tak disembelih.

"You want MOML?"
"What is MOML?"
"Yeah, MOML.."

Eh, dia tak menjawab soalan aku. Lalu aku tanya pakcik sebelah. Dia pun tolong aku dengan meminta sandwich untuk vegetarian. Dan pramugari itu pun berikan aku sandwich dengan tanda MOML.

Aku tanya pakcik tadi MOML itu apa? Dia gelengkan kepala. Tak siapa pun tahu maksud MOML. Aku agak.. Mmm.. Moslem Meal (MOML). Mungkin kot..

-----Sayang aku tak dapat seat tepi tingkap. Dapat tengok Pulau Kokos sikit-sikit saja. Berbeza daripada Pulau Krismas, pulau ini hanya tanah rata. Tiada bukit langsung. Dikelilingi air laut dan di dalamnya terbentuk lagun yang sangat besar. [Tanya kimi maksud lagun]

Sebaik saja kaki melangkah keluar dari National Jet, angin bertiup nyaman tak berhenti. Sempat aku ketik sekeping dua gambar selepas turun. Gambar ini diketik sewaktu berjalan menuju lapangan terbangnya yang kecil.

----

Untuk ke kampung Melayu di Pulau Gangsa (Home Island), kami perlu menaiki feri. Jeti terletak di Pulau Panjang (West Island), tempat di mana terletaknya lapangan terbang.


Pulau Kokos adalah nama bagi kesemua 27 pulau di sini. Penempatan hanya wujud di dua pulau tadi. Pulau-pulau lain sekadar tempat bersantai dan pelihara ayam.

Setibanya feri di jeti Pulau Gangsa, ramai ahli masyarakat sudah menunggu. Ketibaan kami disambut meriah. Rumah di mana aku ditempatkan menjadi tumpuan. Seorang demi seorang datang membawa lauk. Lebih 20 lauk yang terhidang untuk jamuan ketibaan ini.


Dahsyat tabiat makan orang-orang sini. Mungkin saiz perut mereka lebih besar. Aku masih terkejut dan belum boleh makan banyak. Tapi, aku takkan lepaskan peluang merasa makanan yang tiada di Malaysia.

Kimah dan kepala biola [Nanti aku tangkap gambar..tak sempat hari tu] sangat menyelerakan. Dimakan bersama sayur campur, memang kegemaranku. Aku tak rasa makhluk yang tersembunyi dalam cengkerang dan ditangkap secara menyelam ini boleh dijumpai di Malaysia.

Wednesday, October 29, 2008

Projek GPTD Sri Lanka

Seramai 6 orang sukarelawan gptd (2 lelaki, 4 Perempuan) akan menjayakan Misi Kesukarelaan ke Sri Lanka.

- Raja Nurul Balqis Raja Md Arif
- Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
- Nadzifatul Huda Sabri
- Syahrir Azfar Saleh
- Siti Nur Dalila Melatu Samsi
- Ain Najwa Badrul Amin
Misi ini bertujuan untuk untuk membuat jaringan hubungan bersama masyarakat Melayu di Sri Lanka dan mengenal pasti belia-belia melayu yang berpotensi untuk diberi latihan dakwah di Malaysia seterusnya dapat menabur jasa pada masyarakat Melayu dan Islam di Sri Lanka terutamanya di sekitar Colombo, Kurunegala, dan Hambantota.

InsyaAllah akan berlepas ke Sri Lanka pada 12 November 2008 dan pulang pada 30 November 2008.
Kepada mereka yang berminat untuk menyumbang dalam misi ini, sumbangan boleh disalurkan ke

Butiran akaun - Nama : Tabung Kebajikan dan Pendidikan ABIM
No. Akaun : 14-023-01-0011188
Nama Bank : Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
Untuk maklumat lanjut, sila layari sawang GPTD Sri Lanka.

Suhail @ Pulau Kokos: Kelas Bermula

Di sini ajaran Islam adalah ikut-ikutan. Tiada sistem pembelajaran yang teratur. Bacaan solat contohnya dipelajari secara dengar-sebut.

Pernah tak korang bermain modul dengar-sebut? Seorang diberikan satu mesej untuk dihafal. Kemudian suruh dia beritahu kawan sebelahnya mesej yang sama. Begitu juga dengan orang-orang seterusnya. Akhirnya, barulah orang terakhir itu membacakan mesejnya.

Kebiasaannya, mesej yang diterima di akhir tu tak sama dengan yang diberikan. Jadi, sama jugalah nasib kebanyakan orang di sini yang ada bacaan solatnya tidak berapa tepat.

Aku diminta ajar orang-orang tua dan anak-anak kecil al-quran, fardhu ain dan hadis. Aku mulakan dengan asas huruf hijaiyyah yang rupa-rupanya masih belum dikuasai. Memang cabarannya dahsyat kerana mengajar orang-orang tua seperti dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Tambahan pula, bahasa mereka tak serupa kita. Walaupun seakan-akan bahasa Indonesia, ianya sangat berlainan. Ada betik, ciku, sukun. Tapi namanya lain : katis, sauh, pigu.

Onde-onde kita tak sama dengan onde-onde sini. Mereka panggil 'kontol bebek'. Kalau Onde-onde, di negara kita dipanggil kuih rengas. Tengok, lain bukan? Apapun aku di sini dijamu macam2 makanan. Sedap. Fresh. Silap haribulan, aku balik korang tak kenal. Orang2 sini kebanyakannya gemuk2. 2 bulan tak jadi macam tu kot..

Oklah, nanti kita ketemu lagi ya!

- Cocos Island (11.10 pagi)

Tuesday, October 28, 2008

GPTD @ UNITEN



Bangi - GPTD telah dijemput menghadiri pelancaran 3 sahabat di bawah Persatuan Pengajian Islam dan Peradaban, Masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). GPTD diwakili oleh Pengerusi Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) saudara Jufitri bin Joha. Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Encik Ahmad Zaki Abdul Rashid, Ketua Unit Kerajaan dan Komuniti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Encik Ahmad Zaki telah melancarkan 3 sahabat iaitu Sahabat Unicomserve (program khidmat masyarakat), Sahabat Al-Farabi (program nasyid dan hiburan) dan Sahabat Al-Quran) (program mencintai Al-Quran).

GPTD dijangka bekerjasama dengan pihak Sahabat bagi mempopularkan idea, objektif dan aktiviti GPTD di UNITEN melalui 'Sahabat Unicomserve' bagi membangunkan mahasiswa sebagai modal insan berminda kelas pertama.

TRAGEDI HITAM DI KASHMIR : DIMANAKAH PENGHUJUNGNYA?

Dalam wacana sempena memperingati tragedi 27 Oktober 1947 ataupun lebih dikenali sebagai Kashmir Black Day baru-baru ini, Prof Arif Zakaullah menegaskan bahawa kemelut yang masih melanda Kashmir sehingga ke hari ini tidak seharusnya dilihat dari perspektif sempit, konflik di antara India dan Pakistan mahupun antara komuniti Islam serta Hindu semata-mata.

Sebaliknya, tragedi yang telah meragut ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa itu seharusnya dilihat sebagai sebuah simbol kegagalan masyarakat antarabangsa menangani krisis kemanusiaan yang berlaku di Kashmir . Sebagai contoh, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) telah mengeluarkan tiga resolusi pada 1948, 1949, serta 1957, ia sekadar terhad di atas kertas semata-mata tanpa ada sebarang usaha yang berkesan yang dilakukan untuk melaksanakannya.

Sebagai contoh, Resolusi 122 yang dikeluarkan pada 1957 telah memberikan kebebasan kepada penduduk-penduduk Kashmir untuk menentukan hala tuju politik mereka sendiri sepertimana yang tertera dibawah,
“The Final disposition of the State of Jammu and Kashmir will be made in accordance with the will of the people expressed through the democratic method of a free and impartial plebiscite conducted under the auspices of the United Nations.”

Kegagalan PBB serta pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang berkenaan untuk memainkan peranan secara aktif di dalam kemelut yang sekian lama membelenggu masyarakat Kashmir , secara langsung menyerlahkan sikap pilih bulu di kalangan pengamal-pengamal politik di peringkat antarabangsa yang sering melaungkan retorik untuk memperjuangkan hak asasi manusia!

Persoalannya, apakah tanda aras yang digunakan oleh para pengamal politik antarabangsa ini untuk mengenakan sebarang tindakan serta tekanan kepada pihak yang sengaja melanggar batasan hak asasi manusia, yang telah ditetapkan oleh masyarakat antarbangsa melalui pelbagai piagam serta undang-undang, untuk dilaksanakan badan-badan bertindak antarabangsa seperti PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), mahupun Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)?

Untuk negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (A.S) pula, adakah pertimbangan geopolitik membabitkan India serta Pakistan dalam kempen memerangi keganasannya membuatkan A.S mengambil pendekatan membisu, walhal kemelut yang melanda Kashmir itu berada dalam ruang lingkup promosinya untuk menegakkan keadilan sejagat!

Demokrasi tidak sahaja akan memberikan kuasa kepada penduduk Kashmir untuk membina serta menetapkan masa depan mereka sendiri. Sebaliknya demokrasi juga merupakan pengantara yang berkesan untuk meleraikan sebarang kekusutan serta konflik yang berlaku di kalangan pihak yang bertelagah di Kashmir . Kegagalan berbuat demikian tidak sahaja akan meneruskan situasi tegang yang sedang melanda wilayah tersebut serta di antara India dan Pakistan khususnya.

Sebaliknya ia juga akan menjejaskan kestabilan serta keamanan di seluruh benua Asia Selatan yang sinonim dengan siri-siri konflik di antara kaum dan agama, yang sering membayangi kerapuhan institusi-institusi politik di kalangan negara-negara di benua tersebut.

Kemelut yang melanda Kashmir sehingga kini, bermula ketika proses kemerdekaan membabitkan India dan Pakistan pada 1947. Menerusi Akta Kemerdekaan India dan Rancangan Pembahagian yang diluluskan oleh Parlimen British pada ketika itu, negara India yang majoritinya terdiri daripada penganut agama Hindu serta Pakistan dan Bangladesh (Pakistan Timur pada ketika itu) yang majoritinya penduduk beragama Islam telah dibentuk, walaupun tidak dipersetujui oleh tokoh kemerdekaan India, Mahatma Ghandi.

Pembahagian tersebut nyata telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap hubungan di antara kedua-dua negara tersebut. Kesan tersebut jelas kelihatan dalam konflik yang berlaku di Kashmir di antara India dan Pakistan . Pada 27 Oktober 1947, India telah menghantar tenteranya untuk menduduki Kashmir yang pada ketika itu belum memutuskan untuk menjadi sebahagian daripada India ataupun Pakistan .

Tindakan itu nyata bertentangan dengan kenyataan Mahatma Ghandi yang dikeluarkan sejurus sebelum serangan tersebut, yang menghormati hak penduduk di Kashmir untuk menentukan masa depan politik mereka.

Sehingga kini beberapa siri peperangan, telah berlaku diantara India, Pakistan dan China, yang menguasai sebahagian kecil daripada wilayah itu berhampiran dengan sempadan Tibet. Pada hari ini Kashmir telah dibahagikan dua wilayah utama yang berasingan serta ditadbir oleh dua pentadbir yang berbeza (India dan Pakistan).

Disediakan oleh Sekretariat Antarabangsa ABIM

Siri Jelajah Dakwah : Pulau Kokos



Sukarelawan sepenuh masa GPTD, Sdr. Suhail kini telahpun berada di Pulau Kokos bagi menjayakan projek imam muda di Pulau Kokos (Keeling), Australia bagi tempoh 2 bulan.

Beliau yang dijadualkan ke China Oktober lalu terpaksa menangguhkan sementara projeknya berikutan terdapat sedikit kesulitan. Beliau dijangka menyambung kembali misi ke China pada Februari 2009.

Seluruh warga GPTD mendoakan keselamatan, kejayaan dan keberkatan beliau di sana.
Perkembangan lanjut beliau boleh diikuti di sini.

Usrah & Mesyuarat AJK

Usrah AJK GPTD telah dijalankan pada Jumaat 24 Syawal yang lalu. Sdr. Yusni, Pengarah Unit Kajian dan Penerbitan GPTD telah mengisi sesi dengan membawakan pengalaman peribadi beliau 'berinteraksi' dengan al-Quran. Usrah turut dihadiri oleh penggerak grup Sri Lanka. Mesyuarat AJK menyusul selepas solat Isyak berjemaah.

Monday, October 27, 2008

Suhail @ Pulau Kokos: Selamat Tiba

Walaupun terdapat kesulitan pada awal penerbangan kerana visa tidak disediakan agen penerbangan, alhamdulillah berkat doa semua, visa sempat disiapkan di saat-saat akhir.

Internet connection di sini limited. Jadi, kemungkinan untuk selalu update tentang keadaan di sini agak sukar. Saya selamat tiba di Pulau Kokos pada 27.10.2008 jam 6.00pagi (7.30 malam waktu Malaysia).

Masyarakat di sini sangat beradab dan suka mengamalkan solat berjemaah. Orang tua sangat disenangi dan anak muda sangat menghormati mereka. Kecil sahaja pulaunya. Cantik. Nanti ada kesempatan saya embed gambarnya, InsyaAllah.

Itu sahaja setakat ini. Kepada semua, terima kasih atas dokongan dan sokongan. Doakan semuanya baik-baik belaka. Untuk tempoh seminggu ini mungkin saya belum bertugas sepenuhnya. Sekadar mengenali dahulu.

- Home Island, Cocos Island

Thursday, October 23, 2008

Kashmir Black Day 2008 - ABIM's Media Statement 22nd October 2008 / 22 Syawal 1429H


Kashmir Black Day, the annual commemoration of the landing of Indian security forces in Srinagar on Oct. 27, 1947, is being observed to highlight the plight of Kashmiris caused by India’s deployment of 700,000 troops in the valley. Thousands of its inhabitants had been martyred. The Jammu and Kashmir dispute is one of the oldest unresolved issues of the world and one that has always remained a top priority for the Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM).

ABIM reaffirms full solidarity and support with the Kashmiri people in their legitimate struggle for self-determination through peaceful means and in accordance with the relevant UN resolutions. We appreciate the commitment made for an early, peaceful and negotiated settlement of this dispute by Pakistan and hope that India demonstrates the same determination in order to give the peace process a significant push.

India’s illegal occupation of Kashmir is a dark chapter in the history of human rights. A continued denial of the right to self-determination to the Kashmiri people is morally unacceptable, economically unsustainable and politically inadmissible with regard to any scheme aimed at ensuring global and regional peace, stability and security. Kashmir can never be resolved without the participation and consensus of the people of Kashmir. Contrary to prevailing mythology, Kashmir is not merely a border quarrel between India and Pakistan. Its central concern is the self-determination and human rights of the Kashmiri people that have been scorned, mocked, and trampled on for more than 60 years.

The chilling suffering and misery of the Kashmiri people continues every day a peaceful resolution is deferred. We believe that the way to a peaceful settlement of the Kashmir issue lies in tripartite negotiations between India, Pakistan and the accredited leadership of the people of Jammu & Kashmir from both sides of the Cease-fire Line.

ABIM, together with Global Peace Malaysia, friends and sympathizers of the Kashmir cause in Malaysia and the region will be organizing a “Kashmir Black Day” in solidarity with the oppressed of Jammu & Kashmir people. Their sufferings over the past six decades will be highlighted during mini exhibitions and speeches planned to mark the day. Come and join us along with your family and friends to express solidarity with the people of Kashmir on Saturday 25th October 2008, 3pm at the Cititel Express Hotel, 449, Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur. For more information, please contact: GPM at Tel: 03-6188 8409; Fax: 03-6188 8470; Shakir: 013-3877722 E-mail: gpmhq@yahoo. com


Azril Mohd Amin
Vice President (International)
Muslim Youth Movement of Malaysia