Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Thursday, December 05, 2013

Kelas Bahasa Turki Telah Bermula!


Bermula 03 Disember 2013, kelas bagi Kursus Intensif Bahasa Turki telah dimulakan. 

Seramai 35 orang peserta telah mendaftar bagi siri pertama kursus ini. Kursus yang dijadualkan berjalan selama 14 minggu ini dijangka tamat menjelang Mac 2014. Kelas yang dibimbing oleh Hoca Muhammad ini diadakan di Lantai Tiga Sekretariat GPTD, Gombak.

Kepada anda yang berminat untuk mengikuti Kursus Intensif Bahasa Turki bagi siri seterusnya, nantikan pengumuman dari pihak GPTD.

Saturday, June 09, 2012

Wisata Madani Turki 2012




Alhamdulillah, Wisata Madani Turki 2012 telah selamat diadakan dari 21 Mei hingga 04 Jun yang lalu. Program kali ini memfokuskan kepada penghasilan mini-dokumentari berkisar mengenai Fatih Sultan Mehmed, Sultan Abdul Hamid II, dan Bediuzzaman Said Nursi.

Grup kali ini dianggotai oleh Sdr. Muhammad Huzaifah Ahmad (Setiausaha Agung) yang bertindak sebagai Penyelaras Program / Pengarah Kreatif, serta dibantu oleh Sdr. Najmuddin dan Sdr. Md Izham.

Turut sama dalam program kali ini adalah wakil Grup Peguam ABIM (GPA), En. Khairul Anwar Ismail (yang juga merupakan AJKP ABIM) dan En. Hadi. 

Bagi tujuan tersebut, grup tersebut telah melawat sekitar Istanbul dan Ankara. Bagi yang berminat untuk mendapatkan mini-dokumentari tersebut, bolehlah menghubungi pihak Sekretariat GPTD melalui e-mel untuk tempahan awal. Bahan tersebut dijangka siap dalam tempoh 4 bulan.

Selain daripada itu, grup ini juga telah berkesempatan hadir ke Simposium Antarabangsa Bediuzzaman dan Risale-i Nur kali ke-5 di Ankara serta Mesyuarat Agung Kesatuan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan Dalam Dunia Islam (UNIW) di Istanbul.

Sunday, November 07, 2010

XPDC Wali Songo Bantu Mangsa Merapi


KLATEN, 1 November / 24 Dzul Qa'idah - Aktivis GPTD seramai tujuh orang yang sedang mengikuti XPDC Wali Songo telah berpeluang menghulurkan tangan memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana letusan Gunung Merapi.



Bantuan tenaga relawan telah diberikan melalui Global Peace Mission Malaysia (GPM) dengan kerjasama Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia (DDII) yang telah membuka Posko Peduli Merapi di Ngrancah Bumiharjo Kemalang Klaten.

Pengagihan selimut, bantal, tuala, tikar dan alas tidur kepada mangsa bagi keselesaan mereka di kawasan pengungsian adalah antara bantuan tenaga yang telah diberikan.

Kesempatan yang tidak diduga ini pasti meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila kesemua aktivis GPTD yang terlibat dapat merasakan sendiri kepayahan hidup masyarakat di negara jiran yang tinggal berdekatan garisan gunung berapi.


Antara masalah yang dihadapi para mangsa bencana ialah anak-anak mereka tidak bersekolah disebabkan sekolah-sekolah berdekatan telah dijadikan pusat pengungsian. Hanya terdapat sebuah sekolah yang dinamakan Sekolah Darurat.

Di sini aktivis GPTD akan mengadakan aktiviti menarik bagi pengisian minda dan rohani anak-anak yang berusia sekitar enam hingga 12 tahun.

Thursday, November 04, 2010

XPDC WALI SONGO PULAU JAWA


1 November 2010 / 24 Zulkaeda 1431 H -GPTD UNISEL telah berlepas ke Pulau Jawa Indonesia bagi merialisasikan program yang dirancang iaitu XPDC Wali Songo. Mereka yang dijangka berada di sana selama 2 minggu akan menggunakan sepenuh masa untuk gerak kerja mengkaji Wali Songo serta melakukan kerja-kerja kemanusiaan yang diperlukan di sana.



Seramai 5 aktivis GPTD UNISEL menyertai XPDC kali ini. Turut serta mengiringi mereka ialah Naib Presiden GPTD, Saudara Izwan Suhadak dan Exco Pusat GPTD Saudari Siti Nur Dalila. Untuk mengikuti jejak XPDC ini boleh layari blog GPTD UNISEL.

Semoga misi ini berjaya dan mendapat keberkatan dariNYA.

Friday, October 15, 2010

Misi ke Gaza sudah berlepas




SEPANG, 13 Oktober / 11 Dzul Qa'idah- Saudara Abdul Hakim Shahbuddin, Penolong Setiausaha Agung GPTD telah terpilih untuk menyertai Misi Kemanusiaan ke Gaza anjuran ABIM dan Global Peace Mission (GPM) dalam rangka meneruskan projek membangunkan kilang roti di sana.

Hakim bersama Setiausaha Agung ABIM dan Pengarah Operasi Kemanusiaan GPM telah berlepas ke Kaherah hari ini pada pukul 9.20 malam dengan diiringi oleh pemimpin ABIM dan GPM serta rakan-rakan GPTD yang turut menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

GPM menjangkakan Hakim akan berada di sana selama dua bulan dan akan diganti dengan dua sukarelawan lain untuk tempoh empat bulan selepas itu. Pengarah Operasi Kemanusiaan GPM juga dijangka berada di sana dalam tempoh enam bulan untuk memantau perjalanan operasi kilang roti tersebut.

Peluang yang sama akan ditawarkan kepada mana-mana relawan GPTD yang telah menunjukkan komitmen padu dalam aktiviti-aktiviti GPTD setelah mendapat persetujuan pihak tertinggi. Oleh yang demikian, GPTD menyeru para relawan khususnya mereka yang menyertai Himpunan Relawan 2010 untuk tidak melepaskan peluang ini.

Tuesday, August 24, 2010

GPTD dipelawa menjadi guru di Kemboja





Presiden GPTD telah menyertai Misi Bantuan Pakaian Aidilfitri kepada masyarakat Melayu Cham di Kemboja pada 20 - 22 Ogos 2010 bersama Global Peace Mission Malaysia.

Misi kali ini bukan sekadar pemberian pakaian baju Melayu dan baju kurung kepada 300 ahli kampung terlibat, bahkan juga bertujuan mencungkil permasalahan sebenar yang dialami mereka selama ini.




Bagi tujuan itu, Presiden telah berkesempatan menziarahi Muzium Tuol Sleng yang juga dikenali sebagai S-21 untuk memahami sejarah Melayu Cham. Tempat penyeksaaan tahanan politik rejim Pol Pot bermula 1975 hingga 1979 telah mengakibatkan ramai ulama' terbunuh.

Kesan kekejaman rejim itu disifatkan Mufti Kemboja, Sheikh Kamaruddin Yusuf, sebagai penghapusan etnik Melayu Cham yang melemahkan situasi umat sehingga tahun 1990.


Generasi kepimpinan Islam hari ini adalah generasi yang ditinggalkan tanpa kemahiran dan ilmu yang tinggi dalam bidang agama dan lain-lain. Akibatnya generasi muda tak terpimpin dalam sistem yang tersusun baik.

Namun, terdapat segelintir generasi muda Melayu Cham yang inginkan kemahiran dan ilmu dipertingkat dengan lebih baik lagi melalui pendidikan di luar negara. Masalah kefakiran tidak dapat diatasi selagi pendidikan di kalangan masyarakat Kemboja masih terbatas.

Sebaik pulang dari Malaysia atau Timur Tengah, mereka sanggup untuk berkhidmat dengan menjadi guru di sekolah-sekolah agama. Itupun jika ada kelapangan setelah mereka bertani untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan diri dan keluarga.

Mereka tidak digaji dan melakukan khidmat bakti untuk generasi pelapis atas semangat infaq ke jalan Allah. Namun, demi mencari nafkah, sukar untuk mereka konsisten dalam mengajar dan mendidik generasi pelapis ini sekaligus memberi kesan kepada pembelajaran anak murid.

Sudah tentu GPTD juga dipelawa untuk berperanan memenuhi keperluan guru dan lain-lain. Oleh itu, para relawan yang disahkan layak oleh kepemimpinan GPTD Pusat bakal dihantar untuk misi 2 bulan pada bila-bila masa.

Sila pastikan komitmen anda bersama GPTD berterusan agar kami yakin untuk menghantar anda membantu umat Islam di luar sana.

Friday, July 23, 2010

GPTD mendapat kunjungan Persatuan Muslim Perancis


Kuala Lumpur, 8 Julai 2010 - Satu pertemuan telah diatur dengan En Abderrahmane Bouaffad dari Persatuan Muslim Perancis (CMF) bersama Setiausaha Agung ABIM dan Presiden GPTD bertempat di Hotel Ancasa, Puduraya.

Hubungan dengan CMF telah diwujudkan oleh Sdr Jufitri Joha, Pengerusi GPTD, sewaktu beliau berkunjung ke Perancis baru-baru ini. ABIM dan GPTD adalah NGO Asia yang pertama mendapat perhatian CMF untuk kerjasama dakwah.

En Abderrahmane Bouaffad adalah Presiden CMF untuk selatan Perancis. Beliau aktif berdakwah sejak berusia 21 tahun. Dalam usia begini beliau sudah berjaya mendirikan masjid atas inisiatif sendiri sehingga beliau ditangkap polis.

Tangkapan dibuat kerana polis hairan beliau yang mampu menggerakkan masyarakat secara sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak luar. Semangat yang dimiliki beliau membuatkan pihak polis berjaga-jaga dengan pergerakan CMF.

Beliau yang dilahirkan di Algeria turut mempunyai hubungan baik dengan komuniti Muslim terpencil di Afrika seperti di Burkina Faso, Mali, Senegal dan Mauritania. Beliau mencadangkan relawan GPTD untuk menziarahi Muslim di sana bagi tujuan pemantapan jatidiri pendakwah.

Semangat yang menyemarak dalam diri beliau sebenarnya disebabkan kunjungan beliau ke negeri-negeri Afrika tersebut. Ini kerana kebanyakan Muslim di sana tiada jaminan makanan yang cukup dan kehidupan serba dhaif, namun semangat memperjuangkan Islam lebih hebat dan sungguh-sungguh berbanding mereka di Perancis yang lebih senang dan mewah.

Hubungan rapat beliau dengan ulama tersohor, Sheikh Tariq Ramadhan juga membuatkan beliau lebih komited dalam menggerakkan dakwah di Perancis yang sering mendapat tekanan kerajaan secara tidak langsung.

Beliau atas nama CMF mempelawa GPTD untuk membina kerjasama aktiviti pada masa akan datang dalam apa jua bentuk yang memberi manfaat buat Muslim di Perancis dan Afrika.

Saturday, July 17, 2010

E-zine KEMBARA Khas diterbitkan



Sempena Himpunan Relawan 2010 (HR2010) baru-baru ini, GPTD telah menerbitkan e-zine KEMBARA khas untuk tatapan semua ahli. Pada 10 Julai yang lalu, e-zine ini buat pertama kalinya dicetak untuk bacaan peserta.

Bagi mereka yang tak berkesempatan hadir ke HR2010, sila klik pada gambar untuk membaca e-zine KEMBARA Edisi Khas ini.

Semoga semua mendapat manfaatnya.

Thursday, June 17, 2010

KOSMO! menyambut baik kedatangan GPTD

Kuala Lumpur, 16 Jun 2010 - Seramai enam orang kepemimpinan GPTD telah mengadakan kunjungan rasmi ke pejabat operasi akhbar KOSMO! di Jalan Chan Sow Lin di sini diketuai oleh Presiden GPTD, Sdr Muhammad Suhail Ahmad.

Kunjungan selama dua jam tersebut telah diraikan dengan baik oleh Penolong Pengarang 1 KOSMO, En Mohd Nor Ab Samad; Penolong Pengarang Rencana, En Hamzah Abdul Hamid dan En Zamri Rambli; dan wartawan, En Mohd Faizal Zakaria sebelum dibawa melawat stesen kerja mereka.

Dalam sesi perkenalan, pihak KOSMO dan GPTD sempat bertukar pandangan mengenai penglibatan generasi muda belia dalam kerja-kerja kesukarelawanan.

Budaya kerja NGO bagi graduan universiti masih belum boleh diterima masyarakat di Malaysia kerana masa depan mereka dirasakan tidak terjamin.

Ini adalah cabaran besar bagi GPTD untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa kerja ini membawa pulangan yang besar kepada diri, keluarga dan masyarakat.

En Mohd Nor juga berpesan agar relawan GPTD menambahkan siri penjelajahan ke luar negara bagi mengumpul pengalaman berharga yang pastinya berguna suatu hari nanti.

KOSMO! turut menyatakan kesediaan untuk memberi liputan kepada aktiviti GPTD supaya lebih dikenali selain membantu GPTD memberi kesedaran kepada masyarakat awam khususnya belia tentang kepentingan semangat kesukarelawanan melalui kerja-kerja NGO.

Saturday, June 05, 2010

Pengasas GPTD berada di Turki


Turki, 4 Jun 2010 - Pengasas GPTD, Tn Hj Ahmad Azam Abdul Rahman bersama delegasi Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH)telah menyertai setengah juta rakyat Turki dalam solat jenazah pada hari Khamis, di Istanbul. Jenazah sembilan aktivis keamanan yang dibunuh oleh Israel dalam konvoi ke Gaza telah di bawa ke masjid di Masjid Fatih selepas autopsi dijalankan oleh Majlis Perubatan Forensik Turki.

Lapan kali solat telah didirikan untuk lapan daripada sembilan jenazah tersebut dengan diiringi ceramah ringkas dan laungan gemuruh dalam bahasa Turki yang mengutuk kekejaman Israel. Solat jenazah itu telah disertai oleh beberapa orang menteri dan kenamaan lain termasuk Menteri Tenaga iaitu Taner Yıldız, İstanbul, Governor Huseyin Avni Mutlu, Datuk Bandar İstanbul, Kadir Topbaş, tokoh pimpinan Felicity Party (SP) iaitu Numan Kurtulmuş and Bülent Yıldırım.

Mereka yang terkorban dalam konvoi keamanan ke Gaza itu ialah Cevdet Kılıçlar (38), Necdet Yıldırım (32), İbrahim Bilgen (61), Ali Heyder Bengi (39), Cengiz Akyüz (41), Cengiz Topçuoğlu (54), Cengiz Songür (47), Fahri Gündüz (43) dan Furkan Doğan yang berusia 19 tahun, warga Turki-Amerika yang baru sahaja berhijrah semula ke Turki iaitu di wilayah Kayseri.

Kebanyakan jenazah dihantar pulang ke kampung halaman mereka untuk disemadikan sebaik selesai solat. Seorang jenazah dikebumikan di Makam Syahid Edirnekepi, di Istanbul. Seorang lagi yang disolatkan di tempat lain iaitu di Masjid Beyazit juga disemadikan di Makam Syahid tersebut.


Menurut Tn Hj Azam Abdul Rahman, pengalaman menyertai perhimpunan ratusan ribu rakyat Turki untuk memberi penghormatan kepada aktivis-aktivis keamanan yang terkorban dan untuk mengutuk kekejaman Israel amatlah bermakna kerana dapat menyaksikan pengorbanan dan semangat perpaduan yang begitu tinggi terhadap masalah umat Islam di Palestin.

[Kedatangan pengasas dan delegasi WADAH ke Turki adalah sempena sambutan pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fatih]

Monday, May 31, 2010

Teruskan boikot Israel



Jom terus memboikot Israel dengan sehabis baik. Mereka semakin berani mengganas tanpa mempedulikan sensitiviti negara dunia lain. Tidak cukup dengan Palestin, mereka cuba membunuh rakyat negara lain. Mari kita bersatu PERASAAN dan SEMANGAT, lantas berdoa seTULUSnya moga Allah bantu mereka yang teraniaya. AllahuAkbar!

Sunday, May 30, 2010

Himpunan Relawan 2010


[Sila klik pada iklan untuk paparan lebih jelas]

Nantikan kemunculannya.
Pendaftaran dibuka sekarang!

Sunday, May 02, 2010

Misi Terapi Trauma di Posko Sg Batang, Maninjau







Susulan Misi Tinjauan, aktivis Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah ke Posko Sg Batang bagi menyalurkan bantuan segera sejumlah RM2000.00 untuk 111 keluarga dari 3 lokasi ditimpa bencana iaitu Pandan, Galapung dan Batu Nanggai. GPM dengan kerjasama Aksi Cepat Tanggap (ACT) telah menganjurkan Trauma Terapi bersama anak-anak bagi mengembirakan mereka disamping permainan Islamik buat pendidikan. Jajan / Ole-ole buat anak-anak disampaikan kepada semua sebagai pengubat kesedihan. Aktivis GPM akan bertanyakan soalan-soalan asas tentang pengetahuan Islam kepada anak-anak, bagi yang berjaya akan diberikan hadiah. Anak-anak berlumba-lumba mengangkat tangan untuk menjawab soalan. Program ini dijalankan di dalam Mussola dan di sini jugalah mereka bertumpu dan tinggal kerana belum ada khemah atau pun rumah sementara disumbangkan kepada mereka. GPM adalah NGO pertama daripada Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan ke Maninjau.

IZWAN SUHADAK BIN ISHAK
Aktivis
Global Peace Mission Malaysia

Saturday, May 01, 2010

Pandan musnah dahsyat di timpa batu, tanah




Maninjau, 1 Mei 2010 - Misi Tinjauan GPM yang pertama telah sampai di Maninjau. Pemerhatian dilapangan agak mengharukan dek kondisi tempat kejadian. Jalan darat terputus antara Pandan dan Galapung. Tanah runtuh kali ini sangat dahsyat buat penduduk Pandan kerana gelongsoran yang besar membawa batu dan tanah dari gunung terus ke dalam danau. Banyak rumah yang musnah ditimpa dan dihanyutkan tanah runtuh. Aktivis GPM, Sdr Muhammad Suhail diiringi Bapak Zainul Ariffin, Pengurus Pondok Pesantren Prof Dr Hamka telah berjalan hampir 3 kilometer untuk melihat secara dekat situasi sebenar di sini. Setakat ini yang jumlah mangsa yang telah didaftarkan seramai 461 orang. 14 orang dilaporkan luka ringan, 5 orang parah, 2 orang meninggal dan satu mangsa masih hilang. Seramai 29 keluarga daripada Galapong, 77 keluarga daripada Pandan dan 3 daripada Batu Nanggai. Rekod daftar dijangka bertambah kerana masih ada ramai lagi terperangkap di Galapong dan Batu Nanggai kerana jalan terputus. Kerja-kerja pembaikan jalan sedang digerakkan oleh pemerintah dan masyarakat. Dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.

Thursday, April 29, 2010

Misi Tinjauan ke Maninjau

Gombak, 29 April 2010 - Global Peace Mission Malaysia (GPM) dengan kerjasama GPTD telah menghantar misi tinjauan kejadian tanah runtuh di Daerah Pandan dan beberapa lokasi lain. Sdr. Muhammad Suhail Ahmad mewakili GPTD terlibat mengetuai. Misi pertama ini bertujuan memberi bantuan segera kepada kurang lebih 90 buah keluarga. Dua orang dilaporakan mati tertimbus. Rakan kerjasama di sana bersama Pondok Pesantren Prof Dr Hamka dan Dewan Da'wah.

Dana tanah runtuh diperlukan!

Menurut maklumat yang di terima dari rakan rakan di Maninjau; pada sebelah malam hari Ahad 25 April baru-baru ini telah terjadi kejadian tanah runtuh di Maninjau.

2 orang terbunuh, hampir 60 orang cedera dan 40 buah rumah hancur. Seramai 285 orang dari 95 keluarga kini mengungsi di Sg Batang.

Alhamdulillah warga pesantren Prof Dr Hamka di laporkan selamat. GPM dijangka akan menghantar bantuan untuk membantu mangsa terbabit.

Yang ingin menyumbang boleh menghantar terus ke pejabat GPM seperti alamat di bawah
ATAU
dimasukkan ke akaun di bawah (sila maklumkan butir sumbangan ke GPM).

Global Peace Mission
Bank Islam Malaysia Berhad - No Akaun 14 023 01 002922 4 atau
Maybank - No Akaun 564 221 611 602


2-2A Jalan GJ 2
Batu 5 1/2 Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA
Tel: +603-6188 3230, Fax: +603-6188 3233

MOHD HALIMI
EXCO GPM

Ikuti laporan akhbar tempatan DI SINI.

Wednesday, April 28, 2010

Peranan Mahasiswa terhadap Isu Kalimah Allah

Bestari Jaya, 27 April 2010 - Pidato Lorong Tengah (Pilot) kali ini telah membawa tajuk Isu Kalimah Allah Satu Penjelasan di LT FELS, Unisel Kampus Bestari Jaya. Pemidato pertama, Sdr Muhammad Faisal, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menyampaikan pidatonya tentang peranan mahasiswa dalam memahami isu dan respon terhadapnya. "Besar implikasinya jika penggunaan kalimah Allah dibenarkan kepada bukan Islam", kata Faisal. Dalam pidatonya juga diberitahu tentang Lawrence, Editor Herald menyatakan sebab mereka menggunakan kalimah Allah kerana hendak memastikan Islam tidak dilaksanakan di Malaysia. "Jika kedai makan bukan muslim selepas ini."Di Sabah telah ada penamaan gereja kepada Rumah Pondok Allah. Ini akan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat", tambah Faisal lagi. Oleh kerana itu, mahasiswa perlu terlibat dalam NGO yang berprinsip non-partisan supaya kita dapat memberikan pandangan yang berbeda kepada parti politik dengan berlandaskan ilmu.

Pemidato kedua, Dr Farid Shahran pula merangkumkan dalam 3 aspek iaitu bahasa, dakwah dan akidah. Beliau menerangkan istilah Allah adalah kata nama khas berbeda dengan istilah Tuhan yang merupakan kata nama am. Kata nama khas tidak boleh diterjemahkan kepada bahasa yang lain sebagaimana nama orang. Dalam soal dakwah pula, kristian memang menggunakan pendekatan yang menyuaikan agama kepada kebudayaan sesuatu kaum walaupun bercanggah dengan prinsip asas agama mereka. Dalam Islam, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Kebudayaan yang tidak bercanggah dengan syariat maka ia boleh dikekalkan."Isu ini jika dilihat dalah soal akidah kita boleh rujuk surah Al-Ikhlas sebagai panduan wahyu", jelas Dr Farid dalam pidatonya. "Kalimah Allah yang bukan Islam gunakan tidak sama makna sebenar dalam agama Islam kerana Allah bersifat Esa", tambah Dr Farid.

Beberapa hadirin juga mengambil kesempatan untuk memberi respon dan bertanya soalan kepada pemidato jemputan. Kehadiran kurang lebih 30 kepemimpinan mahasiswa menghangatkan dewan kuliah. Antara yang hadir adalah Mohd Azim Kasim, YDP MPP Unisel dan beberapa barisan exco. Sdr Muhammad Izzat Chiairil Anuar, Presiden GPTD Unisel juga sempat memberikan ucapan dalam penutupan program.

- Unit Media

Friday, March 26, 2010

Siri Pilot GPTD @Unisel


Bestari Jaya, 25 Mac 2010 - Siri Pilot Grup Pengkaji Tamadun Dunia, Pidato Lorong Tengah bertemakan Idealisme Anak Muda Merentas Sempadan berjaya dilaksanakan di Dewan Biru, Pusat Komuniti Pelajar, Unisel Kampus Bestrai Jaya dengan lebih daripada 40 orang peserta yang hadir untuk mendengar Sdr Muhammad, Wakil Gamis UKM menyampaikan pidato yang bertajuk Meneladani Ketokohan Sultan Muhammad al-Fateh. Pemidato kedua, Sdr Faiz Ali, aktivis GPTD Turki pula berkongsi pengalaman beliau sebagai aktivis pelajar di Turki. Turut hadir dua orang teman daripada Turki berkongsikan ketokohan Badiuzaman Said Nursi yang telah mengarang karya Risalah an-Nur. Presiden GPTD Pusat juga, turut hadir untuk bertemu dengan aktivis Grup Cheng Ho berbincang tentang projek ke China.

Siri Pilot akan datang telah menjemput YB Nik Nazmi & Sdr Jufitri Joha untuk membincangkan tajuk Membina & Memimpin Masyarakat Madani. Program ini akan dilaksanakan pada tanggal 7 April 2010, Rabu di Dewan Biru, Unisel Kampus Bestari Jaya. Semua warga Unisel dan peminat pencerahan minda dijemput hadir. Untuk maklumat lanjut boleh berhubung dengan Sdr. Nor Hafiz di talian 0136287903. Masuk adalah percuma.

-Unit Media

Thursday, March 04, 2010

XPDC HAMKA II @Jakarta

Kuala Lumpur, 4 Mac 2010 - Naib Presiden, Sdr Izwan Suhadak akan ke Jakarta untuk meneruskan misi Grup Hamka meneladani pemikiran melalui XPDC HAMKA II pada hujung minggu ini. Program ini adalah susulan XPDC HAMKA di Maninjau, Sumatra Barat pada awal tahun. Turut serta adalah Sdr. Muhammad Izzat, Sdr Asmawi dan Sdr Muhamad Anuar yang merupakan mahasiswa di Universiti Industri Selangor. Rakan kerjasama GPTD kali ini adalah bersama Ust Irfan daripada Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia (DDII). Beberapa pertemuan penting telah diatur oleh Ust Irfan antaranya adalah ziarah ke masjid al-Azhar dan silaturahimi bersama pimpinan, ziarah ke Makam Buya Hamka, pertemuan dengan pimpinan Penerbitan Panji Mas (anak Hamka), ziarah ke kediaman Pak Rusydi (anak Hamka) dan singgah ke Pesta Buku Jakarta, di Istora Senaya, yang akan berlangsung pada 5-14 Mac 2010. Laporan dari masa ke semasa akan dilaporan dari Jakarta.

Friday, January 15, 2010

Presiden berkunjung ke USIM

Nilai, 10 Januari 2010 - Presiden GPTD, Muhammad Suhail Ahmad dan isteri nya selaku EXCO Publisiti, Nur Nadzifa Ahmad Azam, telah berkunjung ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat pertama kali untuk berkenalan dan berbincang dengan ahli-ahli GPTD.

USIM mempunyai dua grup utama iaitu GPTD Syria dan GPTD Maghribi. Grup ini terdiri daripada 7 dan 8 orang ahli komited yang merancang untuk memulakan eksplorasi awal ke negara projek pertengahan tahun ini.

Kunjungan awal dan terakhir sebelum Presiden kembali meneruskan misinya di China sempat memberi ruang untuk berkongsi pengalaman dan memberi pesanan bagi mengembalikan semangat dan kekuatan yang tersimpan dalam diri.

GPTD Syria diketuai oleh Sdr Shahrul manakala GPTD Maghribi diketuai oleh Sdr Hussein masing-masing mendapat bimbingan terus daripada Ustaz Rumaizuddin dan Ustaz Shamsul, selaku penggerak kuat ABIM Negeri Sembilan.

Di akhir pertemuan itu, Presiden sangat berharap agar komitmen semua ahli yang terlibat kekal kuat sehingga ke akhir hayat kerana tanggungjawab dakwah tertanggung atas kita selagi kita masih bernafas.

Dijangkakan semua ahli GPTD Syria dan GPTD Maghribi akan menghadiri 'Kem Pemantapan Jatidiri' yang bakal diadakan pada 29-30 Januari 2010. Semoga perkenalan sebentar itu menyeret diri ke pengenalan yang lebih panjang tentang kehidupan seorang pendakwah.