SINGAPURA, 22-24 Februari 2008 - Sdr Jufitri Joha (Pengerusi GPTD) dan Sdr Muhammad Suhail Ahmad (Sukarelawan GPTD) baru-baru ini telah ke Singapura bersama-sama delegasi Islamic Outreach ABIM (IOA) untuk mengeratkan hubungan antarabangsa dengan persatuan-persatuan Islam di sana.
Selain itu, kunjungan ini juga bertujuan untuk diskusi lanjut berkenaan Projek Khidmat Sosial dan Kajian Ketamadunan China bersama Mariah Mah, seorang cina Muslim yang mengendalikan MM China Silaturrahim Tours.
Mariah yang telah menjayakan beberapa siri kunjungan ke China melalui syarikatnya ini sejak 1994 sangat arif tentang China khususnya berkenaan komuniti Islam di sana.
Penginapan sukarelawan GPTD di sana telah disediakan oleh Masjid Ba'alawi yang dipimpin oleh Habib Hasan Muhammad Salim al-Attas. Kemudahan yang disediakan masjid ini amat mengagumkan. Antaranya ialah 7 bilik tetamu dan ruang makan yang luas dan selesa seperti di hotel.
Terdapat juga satu mini muzium yang menempatkan kitab-kitab lama simpanan peribadi ayah Habib Hasan. GPTD cukup bertuah kerana diberi peluang melawat mini muzium ini yang jarang-jarang dibuka kepada orang awam.
Layanan Habib Hassan kepada tetamunya sangat istimewa. Maka, tidak hairanlah Habib Hasan sangat disenangi ramai termasuk para pemimpin agama-agama lain di Singapura.
GPTD turut berpeluang mengunjungi Darul Arqam, institusi yang telah diberi kepercayaan oleh kerajaan Singapura untuk menguruskan pengislaman saudara-saudara baru. Darul Arqam kini telah mengambil alih tapak pawagam sebagai kompleks pentadbiran mereka. Ini adalah antara perubahan besar dalam gerakan mereka ke arah penyebaran dakwah yang meluas.
Masjid Sultan adalah antara destinasi kunjungan GPTD yang menarik. Masjid yang menjadi tumpuan umum ini amat mengalu-alukan kedatangan bukan Islam untuk mengetahui tentang ajaran Islam.
Oleh itu, program 'dosen' diperkenalkan Masjid Sultan.Sukarelawan-sukarelawan dilantik menjadi dosen atau pemandu pelancong bagi menerangkan tentang Islam sambil membawa para pelancong melawat kawasan masjid. Program ini berjaya menarik perhatian golongan belia untuk turut serta.
Di masjid ini, GPTD juga berpeluang bertukar pandangan dan pendapat dengan Mufti Singapura, Syeikh Isa Semait yang meluangkan masa selama 2 jam bersama delegasi.
GPTD seterusnya telah berkunjung ke Rumah Kanak-kanak Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura (PERTAPIS). Uniknya di sini, dana untuk menjalankan aktiviti dan pengurusan PERTAPIS turut disumbang oleh persatuan-persatuan bukan Islam. Keharmonian antara agama adalah antara faktor utama kepada perkembangan Islam yang sihat di Singapura.
Masjid Jamek (Chulia) yang dikunjungi GPTD juga menarik. Kedudukannya terletak bersebelahan kuil Hindu dan tokong Buddha namun tidak pernah berlaku sebarang perselisihan faham. Masjid ini diuruskan oleh masyarakat India Muslim berketurunan Chulia (India Selatan). Lumrah masjid yang dikendalikan masyarakat India mengikut mazhab Hanafi tetapi di sini mereka bermazhab Shafie.
Kunjungan ini benar-benar telah memberi inspirasi kepada GPTD untuk bergerak lebih aktif dalam kerja-kerja sukarelawan dan melebarkan sayap rahmat ke seluruh dunia. GPTD mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat melicinkan perjalanan program ke Singapura. GPTD juga berharap agar hubungan terjalin semakin erat dari semasa ke semasa.