Thursday, March 09, 2006

Berita Menarik Minggu Ini

6 Mac 2006 – Kampung Pandan, Kuala Lumpur – Saudara Khairudin Mohd Nor telah mengetuai delegasi GPTD menghadiri temuduga program Pertukaran Belia Antarabangsa dan Program Kapal Belia Asia Tenggara - Jepun di Pejabat Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan. Turut serta saudara Izwan Suhadak Ishak, Timbalan Pengerusi GPTD dan Hidayah, ahli GPTD Mekah. Mereka ini dipilih mewakili GPTD dan ABIM atas prestasi dan komitmen yang tinggi mereka dalam GPTD. Program pertukaran belia ini adalah salah satu “hadiah” dari kepada mereka yang terlibat aktif dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti GPTD.

Program Pertukaran Belia Antarabangsa dan Program Kapal Belia Asia Tenggara – Jepun adalah anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan kepada sesiapa yang terpilih melalui saringan temuduga pemilihan. Program tahunan pertukaran belia yang dianjurkan oleh KBS ini melibatkan beberapa buah negara seperti Fokuoka Jepun, Korea Selatan, Brunei, Indonesia, Thailand, Mesir dan Cuba. KBS juga menghantar belia-belia ke International Youth Forum di China dan Commonwealth Youth Program (CYP). Untuk makluman lanjut sila layari laman web KBS di:www.kbs.gov.my

Sementara itu

7 Mac 2006 – Putrajaya – Pimpinan ABIM Pusat yang telah diketuai Presiden ABIM, saudara Yusri Mohamad telah membuat kunjungan hormat bertemu Menteri Belia dan Sukan Malaysia Dato’ Azalina Othman Said di pejabat beliau di Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Pertemuan ringkas tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperkenalkan pimpinan baru yang rata-rata di bawah umur 40 tahun dan aktiviti-aktiviti ABIM. Dalam pertemuan tersebut Dato’ Azalina telah membuat beberapa saranan kepada ABIM agar mempelbagaikan bentuk program ABIM supaya tidak “stereotype” dan ABIM perlu mencuba membuat program berbentuk sukan. Beliau menambah lagi bahawa ABIM perlu menubuhkan Ngo-Ngo baru agar mempelbagaikan lagi bentuk pendekatan. Beliau juga menyarankan agar ABIM bersama dengan arus perdana supaya ABIM dikenali oleh masyarakat. Beliau juga berminat dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) dan berharap dapat bekerjasama dengan pihak Kementerian dalam usaha mempromosikan aktiviti-aktiviti belia Malaysia di peringkat antarabangsa. Turut serta dalam rombongan ABIM ialah saudara Jufitri Joha, Pengerusi GPTD merangkap Exco Penataran ABIM.