Tuesday, March 28, 2006

Artikel GPTD Dalam Utusan - Melayu UK Lancar Projek Pertukaran Belia



28 Mac 2006 - "MELAYU diaspora sudah berkembang ke seluruh dunia. Selain terdapat di nusantara, komuniti Melayu juga tinggal di beberapa buah negara seperti di Sri Lanka, Surinam, Belanda, Afrika Selatan dan tidak ketinggalan di United Kingdom (UK). Walaupun diaspora Melayu tidaklah sehebat diaspora India dan Cina, tetapi taburan komuniti Melayu di seluruh dunia sudah cukup menggambarkan keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri.

Berita mengenai Melayu di UK yang meliputi negara Ireland Utara, Wales, Scotland dan England jarang didengari, namun Melayu di UK tetap merupakan sesuatu yang amat menarik.

Persatuan yang begitu sinonim dengan Melayu di UK ialah Persatuan Masyarakat Melayu UK atau singkatannya Melayu UK. Ia ditubuhkan bagi menyediakan satu platform khusus untuk masyarakat Melayu di UK berinteraksi sesama mereka kerana masyarakat Melayu di UK tinggal bertaburan dan tidak berkumpul setempat.

Melayu UK menjadi medan perjumpaan terbaik untuk mereka merapatkan ukhuwah, beraktiviti dan bertukar-tukar pandangan. Selain itu, Melayu UK merupakan satu wadah untuk mereka terus berusaha mengekalkan identiti dan jati diri sebagai masyarakat Melayu Islam berikutan kekhuatiran terhadap sosialisasi anak-anak yang dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana dan budaya Inggeris yang akan mengikis sedikit demi sedikit identiti keislaman dan budaya Melayu mereka...."


Bacaan lanjut sila layari Ruangan Agama Utusan Malaysia bertarikh 28 Mac 2006 di :
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Artikel ini hasil tulisan saudara Jufitri Joha; Pengerusi GPTD.