Pertemuan Ukhwah Hari Raya Qurban
Pada hari Selasa tanggal 9 Disember 2008 bersamaan 11 Zulhijjah 1429H, Grup Ibn Battutah bersama sahabat-sahabat dari Rumah Perlindungan Baitul Fiqah dan PEPIAS berpeluang hadir ke Batu Arang, Selangor meraikan penghuni HIV muslim di Rumah Perlindungan HIV sempena hari kedua Raya Qurban.
Rumah Perlindungan HIV ini dikendalikan oleh sebuah NGO yang dikenali sebagai Welcome Home Community. Pengurusnya adalah Father Alex seorang paderi.
Terdapat lebih 70 orang penghuni yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum seperti Melayu, Cina dan India.
Malah ditempatkan juga pelarian Rohingya dari Myanmar, yang tiada tempat bergantung disebabkan polisi UNHCR yang hanya membenarkan mereka didaftarkan sebagai pelarian tanpa dibenarkan berkerja.
Pertemuan yang bermula tepat jam 11 pagi dimulai dengan sesi ta’aruf ringkas bagi mewujudkan rasa mesra sesama penghuni muslim Rumah Perlindungan HIV dan aktivis (Grup Ibn Battutah, Rumah Baitul Fiqah dan turut hadir PEPIAS).
Pertemuan adalah program susulan dan insya Allah pertemuan mingguan diadakan bagi merapatkan masyarakat dengan penghidap virus HIV.
Ini adalah tanggungjawab sosial agar tidak meminggirkan mereka yang pernah terjerumus dalam ambang kehancuran.
Tambahan pula dalam proses pemulihan di Rumah Perlindungan HIV yang diurus-tadbir oleh gerakan Kristian tentulah menjadi suatu kewajiban sebagai aktivis Muslim untuk terus berdamping memberi sokongan dan semangat Islami kepada mereka untuk kembali kepada Fitrah Insan.
Selesai ta’aruf, Sdr. Azali mewakili PEPIAS memberikan pengisian tentang Kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, menyingkap peristiwa ketaatan dan kesabaran para nabi yang diuji oleh Allah SWT untuk membuktikan keimanan mereka kepada yang Esa.
Kemudiannya Sdr. Azali mengajak hadirin mengimbau dan menginsafi peristiwa Siti Hajar dan Anaknya serta kisah Habil dan Qabil.
Diskusi yang berlangsung mirip kepada konsep kaunseling kelompok atau usrah agar hadirin dapat saling berkongsi idea, memberi respon dan bersetuju dengan hasil keputusan untuk tindakan lanjut.
Sdr. Azhar, penghidap HIV positif yang merupakan senior di Rumah Perlindungan HIV memberi sedikit ulasan terhadap input yang telah disampaikan oleh Sdr. Azali dengan menambah pesanan agar penghuni junior yang baru menghuni rumah tersebut dapat melakukan pengorbanan pada diri sendiri iaitu dengan beriltizam untuk merawat diri dan menjauhi najis dadah.
Kemudiannya saya pula menyampaikan Risalah Kepada Pesakit karangan tokoh gerakan Islam di Turki, Badiuzzaman Said Nursi.
Saya membacakan rawatan pertama dan kedua secara berirama. Hadirin khusyuk mendengar dan menghayati maknanya.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 156 yang bermaksud:
"Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Memang menyampaikan mesej sabar dengan ujian sakit adalah sesuatu yang mudah tetapi orang yang menghadapinya sendiri tentu merasa berat sebagaimana kata pepatah, "berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul".
Pun begitu kita mestilah punya keyakinan pada firman Allah SWT dalam Surah Al-Shu’ara, ayat 79-80 yang bermaksud:
"Dan Tuhan Yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum, Dan apabila aku sakit, maka Dia lah Yang menyembuhkan penyakitku."
Petikan daripada Rawatan Pertama yang dipetik daripada Risalah Kepada Pesakit adalah seperti berikut:
"Wahai pesakit! Janganlah anda gelisah. Bersabarlah! Sakit yang anda hadapi bukanlah penyakit buat anda, tetapi ia adalah sejenis rawatan. Ini kerana umur adalah modal seseorang yang sentiasa berkurangan dari masa ke masa.
Jika tidak dilaburkan, ia pasti akan kehabisan juga suatu hari nanti, terutamanya jika ia dihabiskan dengan kerehatan dan kealpaan, tiba-tiba seseorang itu telah tiba dipenghujung jalan (kematian).
Jadi sakit akan memberikan keuntungan yang besar kepada modal yang dimiliki oleh seseorang dan tidak akan membenarkan umurnya dihabiskan dengan segera.
Sakit akan melambatkan perjalanan langkah kehidupan, menahannya, memanjangkan umur dan akhirnya berhenti setelah membuahkan hasil.
Kemudian selepas sakit hilang seseorang itu dapat meneruskan perjalanan kehidupannya.
Oleh itu, masa menjadi panjang disebabkan penyakit, sehingga dikatakan: 'Aduhai! Alangkah panjangnya masa bencana dan alangkah pendeknya masa kemewahan'."
Manakala Rawatan Kedua, Said Nursi menekankan tentang pesakit yang kurang bersabar dengan penyakit yang dihadapinya sebagaimana petikan yang disalin di bawah:
"Wahai Pesakit yang kurang sabar! Bersabarlah! Hiasilah dirimu dengan kesyukuran.
Sakit yang anda alami boleh menukarkan beberapa minit umur anda menjadi beberapa jam ibadah.
Ini adalah kerana ibadah terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama – Ibadah positif iaitu yang dilakukan dengan anggota badan yang tercerna melalui solat, doa dan seumpamanya.
Kedua – Ibadah negatif iaitu yang dilakukan dengan hati. Seseorang yang ditimpa musibah penyakit akan kembali dan meminta perlindungan kepada Allah SWT, Tuhan yang menciptanya, mengharapkan pertolongan-Nya dan memohon bantuan-Nya.
Ini semua bertitik tolak daripada perasaannya yang merasakan dirinya lemah ketika berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit dan musibah.
Dengan tadharru’ tersebut dia akan memperolehi suatu ibadah maknawi yang ikhlas dan bersih suci daripada sebarang perasaan riak.
Memang terdapat beberapa riwayat sahih** yang mengatakan bahawa umur seseorang mukmin yang bercampurkan sakit adalah dianggap sebagai ibadah, tetapi dengan syarat tidak berkeluh kesah dan berputus asa terhadap rahmat daripada Allah SWT.
Beberapa riwayat yang sahih dan kasyaf yang benar telah menunjukkan bahawa daripada kesakitan yang dihadapi oleh sebahagian orang-orang yan bersyukur dan sabar adalah dianggap menyamai satu jam ibadah yang sempurna bagi mereka.
Sebagaimana satu minit daripada kesakitan yang dihadapi oleh sebahagian daripada orang-orang yang telah mencapai tahap kesempurnaan (al-Kamilin) dianggap menyamai satu hari ibadah yang sempurna.
Wahai saudaraku! Janganlah anda merasai ragu dan syak bahawa satu minit daripada kesukaran yang anda hadapi disebabkan sesuatu penyakit boleh menjadi seribu minit dan dapat memanjangkan umur anda! Bahkan anda hendaklah bersyukur.
Diskusi semakin rancak dengan tambahan oleh Kak Liza, aktivis Baitul Fiqah bekas seorang pengamal undang-undang dan Sdr. Zaki seorang penghuni junior yang bersetuju agar kita jangan putus dari rahmat Allah kerana orang mukmin sentiasa mengharapkan rahmat daripada Allah SWT.
Hadirin juga disaran agar selalu bersangka baik pada Allah SWT kerana Dia akan memberikan kepada hambanya berdasarkan sangkaan hambanya.
Oleh itu setiap doa yang dititipkan pada penciptanya perlulah doa yang positif dan yakin dengan ketentuan Ilahi.
Di akhir diskusi, kami dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari yang telah pun dibawa khas oleh Kak Liza dari Baitul Fiqah. Daging qurban masak kari nampak selera dijamu kami bersama-sama.
Penghuni HIV sempat berkongsikan pengalaman hidup mereka secara ringkas sambil menambah lauk pauk yang memang membuka selera mereka.
Biasanya sebelah pagi aktiviti yang akan dilakukan oleh penghuni di sini adalah turun ke kebun yang ditanam dengan Misai Kucing.
Kemudiannya Misai Kucing akan diproses menjadi daunan kering untuk dijadikan sebagai minuman seperti teh. Daun Misai Kucing dipek kemas bersama dengan keterangan cara menghasilkan minuman dan khasiat yang terkandung di dalamnya.
Sdr. Azali yang berminat dengan produk tersebut mendapatkan satu pek untuk dicuba. Itulah antara produk yang dihasilkan untuk mendapatkan dana bagi menampung kehidupan mereka di sini.
Kami bersolat zuhur berjamaah di pertemuan kali ini walaupun hanya beralaskan tikar buruk. Diakhir salam, saya bertakbir diikuti oleh para jamaah.
Alhamdulillah seketika ini sahaja pertemuan kami, insya Allah persetujuan telah tercapai dengan pertemuan berikutnya pada setiap hari Rabu dengan diakhiri zuhur berjamaah. Pertemuan berikutnya lebih kepada pengisian usrah.
Takbir Raya Di Gereja Rumah Putih
Kami teruskan agenda ke Gereja Rumah Putih juga di bawah pengurusan Welcome Home Community yang berhampiran dengan Rumah Perlindungan HIV.
Gereja ini menempatkan pesakit HIV yang kritikal dan memerlukan rawatan rapi. Di sini kami bertemu dengan pesakit HIV muslim seramai lima orang.
Empat orang lagi ada yang balik ke kampung dan ke hospital untuk rawatan khas.
Rumah Perlindungan HIV sebelum ini, ditempatkan penghuni yang mampu menguruskan diri sendiri cuma perlukan pemerhatian bagi mengawal daripada mereka terjerumus kembali ke lembah najis dadah.
Berbeza dengan penghuni di sini, mereka adalah yang dikategorikan sebagai kritikal.
Sebelum ini kami pernah hadir ke gereja ini dan dihimpunkan di sebuah bilik untuk bertemu dengan penghuni muslim.
Tetapi kali ini kami agak terkejut juga kerana rupa-rupanya bilik tersebut adalah ruang yang bersambung dengan Dewan Persidangan bagi penganut Kristian memberikan ceramah.
Sebagaimana suasana dalam gereja yang biasa kita lihat, ada gambar Jesus dan simbol salib pada dinding.
Itulah hakikat yang perlu kami terima, pengurusnya adalah Father Gomez. Kalau dilihat dari luar memang kelihatan sebuah gereja putih yang bertanda salib besar di pintu masuk utamanya.
Jadi suasananya sudah pasti ada unsur-unsur Kristian. Cuma yang dibimbangi adalah penghuni Muslim yang sedang sakit kritikal yang tiada pilihan terpaksa menetap di situ kerana telah dibuang keluarga malah masyarakat.
Inisiatif yang dapat kami lakukan sebagai aktivis sosial Muslim adalah mendekati mereka tanpa meminggirkan setiap jiwa muslim yang tinggal di sini.
Seperti biasa, Kak Liza membawakan air zam zam serta kurma untuk juadah buat mereka yang diraikan sempena Hari Raya Qurban.
Pertemuan kami ringkas, dimulakan dengan Takbir raya dan diikuti oleh mereka selang seli.
Memang syahdu tetapi lebih mengharukan adalah alunan takbir berbunyi indah yang biasa dialunkan di dalam masjid kini dibacakan bersama-sama di dalam sebuah gereja.
Di hujung pertemuan, ada sedikit perbincangan dan permintaan daripada penghuni HIV muslim.
Mereka mengharapkan akan ada sukarelawan yang dapat hadir mengajar mereka soal fardhu ain seminggu sekali.
Alhamdulillah, keputusan yang telah dibuat adalah insya Allah saya dan rakan-rakan daripada Grup Ibn Battutah, ABIM, PKPIM dan PEPIAS akan saling berganding bahu memenuhi hasrat mereka.
Pertemuan akan dibuat pada setiap hari Rabu sebagaimana persetujuan ziarah yang dijanjikan kepada penghuni Rumah Perlindungan HIV.
Harapnya dengan ziarah dan takbir ini dapat merapatkan mereka kepada Allah SWT.
*Grup Ibn Battutah sebelum ini dikenali sebagai Kelab Ibn Battutah
___________________________________________________________________
**Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud jika Allah menguji seseorang hamba muslim pada tubuh badannya, Allah Azzawajalla berkata “tulislah baginya amalan yang soleh. Jika Allah menyembuhkannya daripada penyakit itu, dia akan menjadi bersih dan suci. Tetapi jika Allah mematikannya dengan sebab penyakit itu, Allah akan mengampun dan merahmatinya.” Diriwayatkan oleh Ahmad (Sohih Al Jami’ Al Saghir dan tambahannya)
0 comments:
Post a Comment