Monday, June 02, 2008

Terkini Dari GPTD

Separuh kedua bagi tahun 2008, GPTD diteruskan lagi dengan beberapa projek luar negara.

Grup Sri Lanka baru-baru ini telah bertemu dengan Y.Bhg. Datuk Iskandar Sarudin, bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka. Beliau yang juga kini Timbalan Ketua Setiausaha III, Kementerian Luar Negeri, telah banyak membantu dalam projek pertama GPTD ke Sri Lanka. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Sdr. Najmuddin Mohd Nawi, Ketua Penyelaras GPTD dan Sdr. Ahmad, seorang pelajar yang berketurunan Melayu Sri Lanka.

GPTD Sri Lanka diketuai oleh Sdri. Ain Najwa Badrul Amin serta dianggotai oleh 7 orang sukarelawan yang lain. Kesemua mereka kini menuntut di UIAM.

Pihak GPTD ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Y.Bhg. Datuk dan isteri yang memberikan sokongan dan bimbingan dalam projek kedua ke Sri Lanka. Beliau juga telah bersetuju untuk menjadi Penaung bagi projek ini.

Tahniah diucapkan kepada grup Sri Lanka di atas persetujuan tersebut. Diharapkan agar ruang dan peluang yang ada dapat dimanfaatkan bagi memantapkan lagi gerak kerja grup Sri Lanka.

Pada 9 Jun 2008, GPTD akan menghantar dua orang sukarelawan bagi projek imam muda ke Pulau Krismas selama 3 bulan. Projek ini merupakan kesinambungan bagi projek GPTD terdahlu.

Dua orang sukarelawan tersebut ialah Sdr. Saiful Islam Mohamad Naser dan Sdr. Mohammad Aizat Mohamed Radzi. Sdr. Saiful merupakan bekas pelajar Darul Quran JAKIM, manakala Sdr. Aizat merupakan bekas pelajar Kolej Jaipetra, Kelantan.

Satu lagi projek GPTD ke luar negara adalah projek Kajian Tokoh dan Khidmat Sosial ke Maninjau, Sumatera, Indonesia. Projek ini digerakkan oleh alumni peserta Kem SAKTI 2 melalui grup mereka, Malaysian Youth Global Traveller (MYGT).

Mereka dijangka berlepas ke Maninjau pada bulan Disember tahun ini.

Selain itu, Pengerusi GPTD turut membantu Taman Tamadun Islam Terengganu dalam mendapatkan artifak dan bahan-bahan bagi galeri pameran di sana. Sebelum ini Sdr. Suhail telah membantu bagi mendapatkan bahan-bahan dari Palestin.

Pengerusi GPTD akan membantu bagi mendapatkan bahan-bahan dari Sepanyol dan India.

Selain daripada projek-projek yang dinyatakan di atas, banyak lagi projek yang akan digerakkan oleh GPTD di dalam dan luar negara termasuklah pada tahun hadapan.

Sehubungan dengan itu, GPTD mempelawa semua individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan bagi menggerakkan projek-projek GPTD. Kursus, bimbingan serta latihan akan diberikan bagi memastikan para sukarelawan dapat menggerakkan projek-projek GPTD dengan berkesan.