GOMBAK, 10 Jun - Seramai 3 orang wakil penduduk Pulau Kokos, Australia telah mengunjungi GPTD untuk membincangkan beberapa isu berkaitan perkembangan terkini masyarakat Melayu di sana.
Dalam pertemuan itu, pengasas turut menyatakan kebimbangan terhadap Pulau Kokos atas isu pemanasan global yang telah menenggelamkan sebahagian Pulau Kiribati. Selain itu, kami dimaklumkan bahawa sumber ekonomi Pulau Kokos kini dalam keadaan kritikal akibat kelapa-kelapa tua yang terlalu banyak dan tidak dapat diusahakan untuk penghasilan produk lain.
Mereka menawarkan mana-mana pihak yang ingin menghasilkan sebarang produk berasaskan kelapa untuk menghubungi mereka. Masyarakat Melayu Pulau Kokos yang terdiri daripada 500 orang ini juga memohon sumbangan daripada mana-mana pihak untuk pembinaan masjid baru.
Dalam pertemuan itu, GPTD juga telah bersetuju untuk menghantar sukarelawan GPTD secara berkala bagi membantu masyarakat Melayu di sana dalam bidang pendidikan dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan.