Saturday, June 07, 2008

Hembusan Kota Granada, Sepanyol



Granada, Sepanyol - 7 Jun 2008 / 2 Jamadilawal 1428 H. Saya telah pun berada di Kota Granada selepas melintasi Selat Gibraltar (Jabal Tariq Ziad (Lihat Gambar di bawah)) dari Maghribi.



Saya dan rakan-rakan berjaya menemui beberapa barang-barang bersejarah berkaitan dengan Tamadun Islam Andalus. Granada merupakan Kota Islam terakhir di Sepanyol jatuh ke tangan Kristian. Di kota ini juga bersemadi dua tokoh Kristian yang bertanggungjawab merampas Granada daripada Umat Islam iaitu Ratu Isabella dan Ferdinand.Mereka dikuburkan dalam sebuah gereja besar.

Saya juga berkesempatan mengunjungi Pusat Islam dan Masjid Granada dan membuat perbincangan dua hala bersama Imam Masjid Granada iaitu Sheikh Muhammad Kasbi supaya dapat menjalinkan kerjasama antara Belia Muslim Malaysia melalui ABIM dan GPTD dengan Belia Muslim Sepanyol. Beliau ternyata amat gembira dan masih mengenali saya ketika kunjungan pertama pada 2005

Selepas melawat dan membuat catatan di Alhambra, saya tertanya-tanya ke manakah perginya kubur-kubur ulama-ulama hebat yang pernah lahir di Granada seperti Imam Shatibi dan lain-lain? Begitu juga di Cordoba yang telah melahirkan ratusan pemuka ilmu seperti Ibn Rusyd,Imam Qurthubi dan lain-lain. Mungkin kita boleh menjawabnya sendiri.

Sebelum masuk ke Sepanyol iaitu di Maghribi beberapa hari lepas, saya dan rakan-rakan sempat menemui T.Y.T Duta Malaysia di Maghribi Encik Othman Samin yang banyak membantu menjayakan misi kali ini. Beliau merupakan rakan baik Cikgu Sidek Baba.Tidak ketinggalan menemui Dr Driss Bouanou, Pengarah Pergerakan Belia Adalah wa Tanmiyyah Maghribi membincangkan juga kerjasama dua hala yang boleh dilakukan secara bersama antara GPTD, ABIM dan Belia Islam Maghribi.

Sekembalinya dari Sepanyol Isnin ini, InsyaAllah saya akan membuat pertemuan dengan Pelajar Malaysia di Rabat Mahgribi bagi menaikkan semangat mereka untuk terus cemerlang dalam belajar dalam masa yang sama mengingatkan peranan mereka untuk menyumbang bakti kepada Agama Allah. Di Maghribi ada lebih kurang 100 lebih pelajar Malaysia yang sedang menuntut khususnya dalam bidang agama.

Terakhir apabila transit di Dubai pada 11 Jun 2008 / 6 Jamadilawal 1428 H selama 8 jam, saya akan mengambil peluang untuk bertemu dengan Saudara Hasnol, Setiausaha Agung Asian Federation of Muslim Youth (AFMY) bagi meningkatkan hubungan dua hala ABIM dan AFMY.

Sekian dari Kota Gharnatah @ Granada