Tuesday, June 24, 2008

Salam dari Guangzhou


Alhamdulillah saya selamat tiba di Baiyun International Airport semalam (22.6.2008) pada jam 9.55 pagi. Di Guangzhou, saya dijemput oleh salah seorang teman dari Indonesia untuk membantu saya mengembara di sini.

Saya menginap di sebuah hotel bajet setentang Masjid Huai Sheng. Masjid ini dibina pada era pemerintahan Dinasti Tang. Ini adalah masjid tertua di Guangzhou dan dipercayai dibuka oleh Saad bin Abi Waqqas, sahabat Rasulullah.

Saya berkesempatan melawat masjid-masjid lain seperti Masjid Hao Pan dan Masjid Dong Ying. Cuma masjid Saad bin Abi Waqqas sahaja masih belum sempat saya kunjungi. Masjid-masjid ini dibuka pada zaman Dinasti Ming di mana penyebaran agama Islam cukup meluas pada waktu itu.

Ustaz Siddiq, 28 tahun, merupakan imam utama di Masjid Dong Ying. Saya sempat berbual dengannya mengenai Islam di sini sambil menikmati sepotong tembikai yang dihidangkan. Beliau mengakui bahawa golongan muda Muslim di sini masih ramai tak tahu membaca al-Quran dan bersolat. Walaubagaimanapun beliau percaya lama kelamaan mereka akan dapat menguasainya dengan baik kerana kelas pengajian al-Quran ada ditawarkan di Masjid Hao Pan.

Secara kebetulan, saya bertemu dengan 5 orang pelajar UiTM yang datang sendiri melancong secara mengembara. Mereka sangat berminat dengan GPTD apabila saya menerangkan aktiviti yang GPTD lakukan. Dalam kesempatan ini, gambar di atas dapat dirakam sebagai kenangan bersama rakyat Malaysia di sini. Sememangnya di sini sukar untuk berjumpa dengan rakyat Malaysia.

Terima kasih saya ucapkan kepada Anis dan Aishah yang menjadi pembantu saya di sini. Mereka adalah pelajar di Universiti Jinan. Seharusnya penguasaan Bahasa Mandarin amat perlu jika kita berada di sini kerana terlalu sedikit peratusan masyarakat Cina yang boleh berbahasa Inggeris.