Wednesday, June 04, 2008

Khabar dari Casablanca, Maghribi



Alhamdulillah saya telah sampai ke Casablanca, Maghribi atau Morocco dalam misi untuk masuk ke Sepanyol bagi mencari bahan-bahan bersejarah tamadun Islam Andalus. Ini adalah misi GPTD dalam membantu sebuah syarikat mencari bahan-bahan bersejarah tersebut.

Sebentar lagi saya dan rakan-rakan akan mengembara ke utara menaiki keretapi sebelum memasuki Sepanyol melintasi Selat Gibraltar. Untuk melintasi Selat Gibraltar (Gunung Tariq ibn Ziad) kami akan menaiki feri sebelum sampai ke Kota Granada dan Cordoba yang dikenali sebagai Andalus. Andalus pernah gemilang di bawah Kerajaan Islam selama 800 tahun sebelum tumbang pada 1492 Masihi.

Di Maghribi, juga tidak kurang hebat peninggalan Tamadun Islam terutamanya Kota Fez,Casablanca (Rumah Putih), Rabat dan Marrakesh. Di Kota Fez lahirnya Muhaddith (Pakar Hadis) Sheikh Abdullah Siddiq Al-Ghumari. Selain itu Kota Fez juga merupakan tempat lahirnya Kerajaan Islam pertama di Maghribi. Di Rabat, lahir seorang ilmuwan Islam iaitu Dr. Faroq Hamadah yang pernah datang ke Malaysia tahun lepas sempena Seminar Ahlus Sunnah yang berlangsung di Pahang.Di Maghribi juga lahir dua kerajaan Islam agung iaitu Kerajaan Murabitun dan Muwahhidun.

Selain itu Maghribi merupakan tempat kelahiran Ibn Batuttah, Pengembara Islam terkenal di dunia. InsyaAllah jika berkesempatan kami akan melawat ke maqam Ibn Batuttah di Tangier yang juga merupakan tempat kelahiran Ibn Batuttah. Namun ada setengah riwayat mengatakan bahawa maqam Ibn Batuttah terletak di kawasan sekitar Marakkesh ke bawah. Namun saya yakin pada pepatah Arab, :" Iza Qasadta Wajadta!" yang membawa maksud jika kita rasa yakin maqam Ibn Batuttah terletak di Tangier maka kita akan mendapati di situlah maqam beliau.

Satu ketika dahulu,GPTD mempunyai Grup Maghribi-Perancis namun tidak berjaya kerana kurangnya komitmen bersungguh-sungguh dari grup tersebut. InsyaAllah kali ini kita akan serahkan usaha ini pada Kelab Ibn Batuttah yang baru sahaja menyelesaikan misi menjejaki Ibn Batuttah di Pasai, Indonesia agar meneruskan usaha menjejaki peninggalan Ibn Batuttah di tanahair beliau di Maghribi ini. Krew Jejak Rasul Tv3 baru sahaja menyelesaikan penggambaran jejak Ibn Batuttah di sini. Mungkin Kelab Ibn Batuttah boleh berhubung terus dengan Jejak Rasul bagi berkongsi kajian dan dokumentari yang dibuat oleh mereka. InsyaAllah saya akan turut sama membantu untuk menjayakan hasrat ini.

Mr. Ovidio Salazar dari UK yang pernah datang ke Malaysia baru-baru ini atas undangan Islamic Outreach ABIM untuk program tayangan dokumentari Imam Ghazali juga pernah menghasilkan dokumentari Ibn Batuttah yang boleh dimanfaatkan oleh Kelab Ibn Batuttah.

Sekian,

JUFITRI JOHA
Pengerusi GPTD
Casablanca, Maghribi