Saturday, June 05, 2010

Pengasas GPTD berada di Turki


Turki, 4 Jun 2010 - Pengasas GPTD, Tn Hj Ahmad Azam Abdul Rahman bersama delegasi Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH)telah menyertai setengah juta rakyat Turki dalam solat jenazah pada hari Khamis, di Istanbul. Jenazah sembilan aktivis keamanan yang dibunuh oleh Israel dalam konvoi ke Gaza telah di bawa ke masjid di Masjid Fatih selepas autopsi dijalankan oleh Majlis Perubatan Forensik Turki.

Lapan kali solat telah didirikan untuk lapan daripada sembilan jenazah tersebut dengan diiringi ceramah ringkas dan laungan gemuruh dalam bahasa Turki yang mengutuk kekejaman Israel. Solat jenazah itu telah disertai oleh beberapa orang menteri dan kenamaan lain termasuk Menteri Tenaga iaitu Taner Yıldız, İstanbul, Governor Huseyin Avni Mutlu, Datuk Bandar İstanbul, Kadir Topbaş, tokoh pimpinan Felicity Party (SP) iaitu Numan Kurtulmuş and Bülent Yıldırım.

Mereka yang terkorban dalam konvoi keamanan ke Gaza itu ialah Cevdet Kılıçlar (38), Necdet Yıldırım (32), İbrahim Bilgen (61), Ali Heyder Bengi (39), Cengiz Akyüz (41), Cengiz Topçuoğlu (54), Cengiz Songür (47), Fahri Gündüz (43) dan Furkan Doğan yang berusia 19 tahun, warga Turki-Amerika yang baru sahaja berhijrah semula ke Turki iaitu di wilayah Kayseri.

Kebanyakan jenazah dihantar pulang ke kampung halaman mereka untuk disemadikan sebaik selesai solat. Seorang jenazah dikebumikan di Makam Syahid Edirnekepi, di Istanbul. Seorang lagi yang disolatkan di tempat lain iaitu di Masjid Beyazit juga disemadikan di Makam Syahid tersebut.


Menurut Tn Hj Azam Abdul Rahman, pengalaman menyertai perhimpunan ratusan ribu rakyat Turki untuk memberi penghormatan kepada aktivis-aktivis keamanan yang terkorban dan untuk mengutuk kekejaman Israel amatlah bermakna kerana dapat menyaksikan pengorbanan dan semangat perpaduan yang begitu tinggi terhadap masalah umat Islam di Palestin.

[Kedatangan pengasas dan delegasi WADAH ke Turki adalah sempena sambutan pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fatih]