Tuesday, August 24, 2010

GPTD dipelawa menjadi guru di Kemboja





Presiden GPTD telah menyertai Misi Bantuan Pakaian Aidilfitri kepada masyarakat Melayu Cham di Kemboja pada 20 - 22 Ogos 2010 bersama Global Peace Mission Malaysia.

Misi kali ini bukan sekadar pemberian pakaian baju Melayu dan baju kurung kepada 300 ahli kampung terlibat, bahkan juga bertujuan mencungkil permasalahan sebenar yang dialami mereka selama ini.




Bagi tujuan itu, Presiden telah berkesempatan menziarahi Muzium Tuol Sleng yang juga dikenali sebagai S-21 untuk memahami sejarah Melayu Cham. Tempat penyeksaaan tahanan politik rejim Pol Pot bermula 1975 hingga 1979 telah mengakibatkan ramai ulama' terbunuh.

Kesan kekejaman rejim itu disifatkan Mufti Kemboja, Sheikh Kamaruddin Yusuf, sebagai penghapusan etnik Melayu Cham yang melemahkan situasi umat sehingga tahun 1990.


Generasi kepimpinan Islam hari ini adalah generasi yang ditinggalkan tanpa kemahiran dan ilmu yang tinggi dalam bidang agama dan lain-lain. Akibatnya generasi muda tak terpimpin dalam sistem yang tersusun baik.

Namun, terdapat segelintir generasi muda Melayu Cham yang inginkan kemahiran dan ilmu dipertingkat dengan lebih baik lagi melalui pendidikan di luar negara. Masalah kefakiran tidak dapat diatasi selagi pendidikan di kalangan masyarakat Kemboja masih terbatas.

Sebaik pulang dari Malaysia atau Timur Tengah, mereka sanggup untuk berkhidmat dengan menjadi guru di sekolah-sekolah agama. Itupun jika ada kelapangan setelah mereka bertani untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan diri dan keluarga.

Mereka tidak digaji dan melakukan khidmat bakti untuk generasi pelapis atas semangat infaq ke jalan Allah. Namun, demi mencari nafkah, sukar untuk mereka konsisten dalam mengajar dan mendidik generasi pelapis ini sekaligus memberi kesan kepada pembelajaran anak murid.

Sudah tentu GPTD juga dipelawa untuk berperanan memenuhi keperluan guru dan lain-lain. Oleh itu, para relawan yang disahkan layak oleh kepemimpinan GPTD Pusat bakal dihantar untuk misi 2 bulan pada bila-bila masa.

Sila pastikan komitmen anda bersama GPTD berterusan agar kami yakin untuk menghantar anda membantu umat Islam di luar sana.