Bersempena dengan bulan puasa tahun ini, keluarga GPTD telah menganjurkan program "Kembara Ramadhan 1429H". Program ini berbentuk ziarah kepada sukarelawan GPTD dan majlis berbuka puasa serta diisi dengan sesi perkongsian oleh Sdr. Noryzal.
Bermula dengan Kolej Lagenda, Universiti Industri Selangor (UNISEL) menjadi destinasi yang kedua bagi Kembara Ramadhan kali ini.
Kembara 1 (12 Ramadhan 1429H)
Destinasi yang ditujui adalah Kolej Lagenda yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan. Seramai 11 orang telah menyertai rombongan dari GPTD Pusat dalam program yang diadakan pada 12 Ramadhan 1429H ini.
Program dimulakan dengan tadarus al-Quran yang telah diadakan di surau blok penginapan pelajar. Sesudah berbuka dengan santapan ringan, aktiviti diteruskan lagi dengan solat Maghrib secara berjemaah yang diikuti dengan makan malam.
Solat Tarawih telah diimamkan oleh Sdr. Suhail, Pengarah Unit Projek Khas GPTD yang diselangi dengan tazkirah di antara 4 rakaat Solat Tarawih. Tazkirah tersebut disampaikan oleh Sdr. Noryzal, Unit Latihan dan Bimbingan GPTD.
Sebaik selesai Solat Tarawih, satu perjumpaan ringkas telah diadakan dengan penggerak MYGT-GPTD.
Kembara 2 (16 Ramadhan 1429H)
Universiti Industri Selangor (UNISEL) yang terletak di Batang Berjuntai menjadi destinasi kembara yang seterusnya. Rombongan GPTD kali ini disertai oleh 10 orang barisan kepimpinan GPTD.
Sdr. Izwan Suhadak, Pengerusi Kelab Ibnu Batutah telah menjadi tuan rumah kali ini. Selesai Solat Maghrib, hadirin telah dijamu dengan nasi ayam merah bagi mengubati kelaparan.
Selesai menjamu selera, hadirin menunaikan Solat Isyak, diikuti dengan Solat Tarawih di Masjid UNISEL.
Aktiviti diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Sdr. Noryzal. Beliau menyentuh mengenai peranan mahasiswa yang bukan sekadar untuk belajar, tetapi dalam masa yang sama harus menjadi agen pembina kecemerlangan masyarakat dan umat seluruhnya.
Seluruh ahli rombongan ingin menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua tuan rumah. Semoga persaudaraan yang dibina akan berkekalan serta menatijahkan kesan yang baik untuk umat.