Baru-baru ini delegasi Phuket Mosque Network (PMN) dari Thailand telah mengadakan kunjung hormat ke Anjung Rahmat khususnya ABIM. Saudara Jufitri Joha Exco ABIM merangkap Pengerusi GPTD telah menyambut kehadiran mereka. Selain itu beliau bertindak sebagai pengerusi majlis bagi meraikan delegasi tersebut. Tujuan kunjungan PMN adalah untuk membina jaringan baru generasi muda antara 2 negara. Turut serta dalam delegasi adalah Dr. Sukri Lang Puteh, Dekan Universiti Islam Pattani.
Saudara Jufitri juga mengambil peluang menerangkan kepada delegasi bahawa pihak GPTD pernah menghantar satu pasukan ke sana untuk melaksanakan Kem Bahasa Melayu dan Terapi Trauma Tsunami bersama masyarakat Melayu di sana pada tahun 2005 yang diketuai oleh saudara Shakir Fahmi, pimpinan tertinggi GPTD.
Pemuda PMN berharap agar program GPTD di sana diteruskan agar hubungan belia antara dua buah negara diteruskan dan dibugarkan kembali.
Setakat ini GPTD telah melaksanakan beberapa program khidmat sosial dan kemasyarakatan di Thailand merangkumi Pattani, Narathiwat, Phuket, Panga dan lain-lain.
Selain Phuket, satu lagi tempat yang GPTD berhasrat menorakai adalah di Pulau Koh Samui iaitu di sebelah Pantai Timur Thailand yang mana di sana terdapat masyarakat Melayu yang menarik untuk dikaji dan dilaksanakan kerja-kerja khidmat sosial.