Alhamdulillah, saya telah tamat menjalani kem pemilihan untuk International Youth Exchange Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan. Kem yang dijalankan pada 18 hingga 20 April tersebut telah diadakan di Akademi Pembangunan Belia Malaysia, Port Dickson. Seramai lebih kurang 80 orang peserta yang hadir daripada 250 calon yang terpilih. Mereka ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, dan organisasi.
Kem tersebut menjadi tempat untuk menonjolkan diri agar berjaya terpilih sebagai Duta Kecil Malaysia ke luar negara. Saya melihat pelbagai gelagat peserta dengan kelebihan masing-masing. Daripada satu sudut, ia sememangnya satu persaingan yang sihat di antara peserta. Namun, di sudut yang lain pula, kita tidak mengetahui niat disebalik semua yang dilakukan. Pada program tersebut, Encik Mod Nazri, alumni KABESA (Kapal Belia Asia), telah menceritakan pengalaman sebelum ini dimana peserta akan menunjukkan kebolehan dan komitmen yang luar biasa semasa kem pemilihan, tetapi yang sebaliknya setelah terpilih mewakili negara.
Di antara aktiviti yang dijalankan sepanjang kem tersebut adalah 'group binding', perbincangan berkumpulan, sesi debat, persembahan kebudayaan, 'public speaking' dan 'amazing race'. Tujuan utama aktiviti-aktiviti tersebut adalah untuk melihat kerjasama di antara kumpulan, dan kebolehan dan kefasihan bertutur dalam bahasa Inggeris. Alhamdulillah, saya telah berjaya memberikan kerjasama yang terbaik sepanjang program.
Sepanjang program tersebut, pihak penganjur menitikberatkan kepada para peserta tentang peranan yang akan dimainkan oleh mereka yang akan terpilih ke luar negara iaitu sebagai rakyat Malaysia dan memperkenalkan kebudayaan Malaysia di luar negara. Akan tetapi, saya sendiri merasakan bahawa, jika saya terpilih, saya bukan sahaja memegang peranan sebagai rakyat Malaysia bahkan juga sebagai seorang Muslim. Ini kerana, di sepanjang program, rakan-rakan berbangsa india dan cina sentiasa menanyakan mengenai agama Islam samada tentang perkara asas fardhu ain mahupun isu-isu yang besar.
Pihak GPTD telah memberikan saya tanggungjawab yang besar sewaktu menyerahkan borang penyertaan kepada saya. InsyaAllah, jika saya terpilih untuk menyertai program pertukaran ini, saya akan melaksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin.
Ain NajwaBadrul Amin
Biro Latihan & Sukarelawan
Friday, May 02, 2008
SELECTION CAMP FOR THE INTERNATIONAL YOUTH EXCHANGE PROGRAM
10:06 AM