Friday, May 16, 2008

Abul Hasan Ali An Nadwi : Suri Teladan Belia




Oleh : Jufitri bin Joha - Pengerusi GPTD

Pada pertemuan dengan grup MyGT GPTD yang lepas di Kolej Lagenda Mantin, Negeri Sembilan saya telah mengambil peluang memperkenalkan seorang tokoh ulama tersohor dari benua India.

Umum ahli GPTD mengetahui bahawa objektif pertama GPTD adalah “Mengkaji Tamadun Dunia”. Makna tamadun ini amat sinonim dengan “human society” atau masyarakat manusia. Sudah tentu antara komponen terpenting yang perlu dikaji oleh ahli GPTD ialah ulama. Ulama merupakan komponen terpenting dalam masyarakat yang menggerakkan kesedaran masyarakat dengan cahaya makrifat ilmu. Dengan sinaran ilmu inilah masyarakat terpandu ke arah membangunkan tamadun yang berpaksikan wahyu Ilahi yang natijahnya melahirkan “baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur” iaitu negara baik yang mendapat keampunan Tuhannya.

Peranan ulama ini juga diabadikan pada motto Universiti Islam Antarabangsa pertama di Cordoba Sepanyol iaitu:

“Learning of the wise,
Justice of the noble,
Prayer of the pious
And valor of the brave”

Motto ini menyifatkan ulama sebagai orang alim yang diharapkan doa mereka ini sebagai tiang seri utama untuk membentuk sebuah negara yang mantap. Bersesuaian dengan ayat Al-Quran yang menyatakan para ulama merupakan hamba Allah yang takut padaNya menjadikan peranan ulama yang signifikan dalam membangunkan negara. Insan istimewa seharusnya mendapat tempat dihati pengkaji tamadun seperti GPTD.

Justeru saya terpanggil untuk memperkenalkan barisan ulama yang berjasa dan kali ini nurani saya berbisik untuk memperkenalkan ulama yang meninggal pada 31 Disember 1999 yang lalu.

Beliau yang dimaksudkan ialah Sheikh Abul Hasan Ali An Nadwi. Beliau yang merupakan permata dunia Islam sudah tentu meninggalkan jasa yang cukup besar dalam dunia Islam. Buku beliau yang berjaya menggegarkan dunia Islam iaitu “Maza Khasiral 'Alam Binhitotil Muslimin” atau "Kerugian Dunia Karena Kemunduran Umat Islam” seharusnya menjadi bahan bacaan wajib kepada penggerak GPTD dan pendokong dakwah. Jika Melvyn Bragg dalam 12 Books That Changed The World menyenaraikan senarai buku pilihan hatinya maka saya menyenaraikan antara 12 buku pilihan saya yang berjaya merubah dunia antaranya yang tidak terlepas ialah buku Sheikh Abul Hasan ini.

Sudah tentu saya tidak mampu mengungkap untaian keseluruhan perjalanan hidup Sheikh Abul Hasan tetapi memadai dengan secebis kisah hidup beliau yang mampu saya coretkan untuk menggerakkan cetusan awal penggerak GPTD mengenali beliau sebagai satu tokoh atau ikon untuk para belia.

Dalam tulisan biografi Sheikh Abul Hasan, Doktor Muhammad Akram An Nadwi menceritakan rantaian nasab Sheikh Abul Hasan yang mulia yang sampai ke Saidina Hasan bin Ali. Ini bermakna Sheikh merupakan ahli keluarga Nabi yang mulia lagi disanjungi di sebelah bapa beliau. Beliau meninggal pada umur 86 tahun yang mana keseluruhan umur beliau dipenuhi dengan perjuangan ilmu dan jihad menyebarkan agama Allah. Beliau meninggal pada penghulu hari iaitu hari Jumaat. Pada hari kewafatan, beliau tutup pengakhiran yang baik. Pada pagi hening Jumaat, 22 Ramadhan 1420 H beliau sempat menyempurnakan wirid dan membaca 13 atau 14 kali surah Yasiin seperti amalan kebiasaan beliau. Satu kebiasaan beliau juga semenjak kecil beliau akan membaca surah Al-Kahfi sebelum Solat Jumaat termasuk pada hari kewafatan beliau. Beliau meminta mushaf untuk membaca Surah Al-Kahfi dan sementara menunggu mushaf beliau membaca Surah Yasiin namun belum sempat menghabiskan bacaan surah Yasiin beliau telah menghembuskan nafas untuk pergi mengadap Tuhan Rabbul Jalil.

Sheikh Abul Hasan menghasilkan kitab yang amat bermanfaat kepada dunia Islam. Antara kisah yang saya amat terkesan tentang beliau ialah seperti yang diceritakan oleh anak murid beliau iaitu Sheikh Ahmad Fahmi Zam-Zam. Beliau menceritkan bagaimana kezuhudan dan kewarakan Sheikh Abul Hasan di mana Sheikh Abul Hasan yang menjadi Rektor selama 42 tahun tidak pernah mengambil satu sen pun duit gaji beliau. Rumah Sheikh Abul Hasan juga lebih daif dari asrama pelajar beliau. Sheikh Ahmad Fahmi menyifatkan gurunya sebagai tokoh ulama yang berjaya membumikan pemikirannya. Ini bermakna pemikirannya berjaya direalisasikan dalam bentuk tindakan yang bermanfaat kepada umat.

Sesungguhnya saya tidak termampu untuk meneruskan kisah mutiara hidup beliau yang soleh yang mengingatkan kita kepada akhlak mulia nenda beliau iaitu Rasulullah Sallahualaihi wasallam. Cukup sekadar saya mencetuskan rasa ingin tahu ahli GPTD kepada peribadi agung ini dan terpulang kepada ahli sekalian untuk terus menggali khazanah perjalanan hidup ulama ini. Sehingga bertemu lagi.