Sunday, September 13, 2009

Kepulangan Pelajar Tahfiz ke Pulau Kokos, Australia.

Sepang- 12 September 2009 / 22 Ramadhan 1430 - Pelajar tahfiz dari Pulau Kokos Australia dibawah tajaan sepenuhnya ABIM Negeri Sembilan dengan kerjasama Grup Penjejak Muda Tamadun Dunia (GPTD) telah pulang bercuti selama sebulan semalam bermula dari 11 September sehingga 8 Oktober 2009. kepulangan beliau ke Pulau Kokos Australia tersebut bertujuan untuk menguruskan urusan memperbaharui pasport dan juga mengambil kesempatan untuk bercuti sempena Aidil Fitri bersama keluarga di Pulau kokos yang mana pada tahun-tahun sebelum ini, ibu dan bapa beliau akan berkunjung ke Malaysia setiap kali ketibaan Eidul Fitri untuk meraikan ketibaan syawal bersama pelajar tersebut di sini.

Pelajar tersebut Muhd Azri Bin Des ketika ini berumur 14 tahun dan telah berada di Malaysia sejak dari tahun 2004 lagi. Kepulangan beliau ini merupakan kepulangan untuk sekian kalinya setelah 5 tahun menimba ilmu di Maahad Tahfiz Quran di Cheras dan kini di Pusat Tahfiz Al-Quran Al Jazari, Ampang, Selangor.

Menyedari akan kekurangan guru-guru agama terlatih di Pulau Kokos, ibu dan bapa pelajar tersebut mengambil inisiatif untuk membiayai kos perjalanan seorang yang mampu untuk menggalas tanggungjawab memantau perkembangan hafalan anak beliau tersebut selama tempoh bercuti ini. Ekoran dari itu, kepulangan beliau telah diiringi oleh seorang aktivis masyarakat dan juga merupakan seorang pendakwah bebas yang dikenali di Negeri sembilan iaitu Ustaz Mohd Khairil Anuar lulusan dari Universiti Al-Azhar Mesir dipertanggungjawabkan bagi memantau urusan hafalan pelajar tersebut. Selama tempoh 5 tahun ini, pelajar telah pun menghafal sebanyak 5 juzuk Al-Quran serta menguasai beberapa doa-doa dan amalan harian bagi seorang muslim.

Urusan kepulangan beliau ke tanah air sepenuhnya telah di uruskan oleh Saudara Mohd Kamarul Arifin yang merupakan aktivis GPTD pertama ke Pulau Kokos pada tahun 2004 yang lalu dan juga turut merupakan Setiausaha ABIM Negeri Sembilan.

Menyorot kembali sejarah dan kerja khidmat masyarakat oleh aktivis GPTD di bumi Pulau Kokos pada 2004 yang lalu serta tahun-tahun kebelakangan ini , masyarakat Melayu Islam di sana amat mengkagumi aktivis-aktivis GPTD kerana aktivis GPTD tersebut mampu untuk dijadikan contoh terbaik di kalangan anak-anak muda di sana di mana aktivis-aktivis GPTD yang pernah berkhidmat di pulau ini berjaya menonjolkan imej dan kualiti kepimpinan yang baik dan mampu untuk menyeimbangkan antara kehendak dunia dan keperluan akhirat bahkan penduduk Melayu Islam di pulau ini ini juga memuji sistem pendidikan di Malaysia yang memberikan keseimbangan pendidikan keduniaan dan pendidikan agama.

Menyedari keperluan untuk membina generasi muda Pulau Kokos yang mampu menjadi contoh terbaik, dan kepercayaan terhadap sistem pendidikan di Malaysia, GPTD telah mengusulkan agar perlunya anak jati Pulau kokos dihantar untuk menimba ilmu agama di Malaysia. Hasil cetusan minda tersebut maka kini telah pun ada seorang anak muda dari Pulau Kokos yang mengikuti pengajian Tahfiz Al-Quran sepenuh masa di Malaysia.