Kubang Kerian - 15 Julai 2009 / 22 Rejab 1430 H - GPTD meneruskan tradisi Ziarah Tokoh sebagai salah satu aktiviti utamanya dengan menziarahi Maulana Mohd Asri Yusof dan Darul Kautsar di sini. Ziarah Tokoh adalah penting bagi mengenali tokoh-tokoh Ilmuwan yang berjasa kepada agama dan pembangunan tamadun manusia. Di samping itu peluang untuk mendapat nasihat dan idea-idea baru dari tokoh tersebut amat penting untuk dijadikan pedoman dalam perjuangan.
Dalam ziarah tersebut, Maulana Asri yang merupakan Pengetua Darul Kautsar, berpesan agar gerakan dan pertubuhan Islam tidak mengamalkan sikap taasub kerana ia amat merugikan umat. Selain itu, beliau juga mengenali saudara Yusri Mohamad (Presiden ABIM) dan bertanyakan perkembangan ABIM.
Pertemuan ilmiah tersebut berlangsung selama setengah jam yang turut dihadiri saudara Jufitri (Pengerusi GPTD), Saudara Afzan (Pengerusi GPTD Kelantan), Saudara Zul Amin (Pengerusi Grup Generasi Salahudin al-Ayyubi) dan Saudara Saiful Islam (Pengerusi Grup Ashabulkhafi).
Maulana Asri merupakan lepasan pengajian Hadis dari Madrasah Deoband dan Lucknow, India. Beliau sempat bersama dengan Sheikh Abul Hasan Ali an-Nadwi ketika menimba ilmu di Lucknow. Darul Kautsar boleh dicapai di http://www.darulkautsar.net/.