Wednesday, December 31, 2008

Misi Rumah Putih

Ziarah Ilmu di Rumah Putih
Misi Grup Ibn Battutah diteruskan seperti rutin sebelumnya. Program yang bersifat ziarah ilmu bagi merapatkan ukhwah Islamiyyah sesama masyarakat dan pesakit HIV muslim.

Saya suka katakan program berkala ini sebagai satu misi. “Misi Rumah Putih” yang diambil sempena daripada nama sebuah Rumah Perlindungan HIV di Batu Arang bernama White House. Rumah bercirikan sebuah gereja Kristian berwarna putih salju terletak gah tinggi di atas lereng bukit.

Misi Rumah Putih adalah bermatlamat untuk mengembalikan jiwa hamba kepada fitrah insan. Agar penghuni muslim yang sakit HIV hanya tinggal di sini sebagai tempat Agar penghuni muslim yang sakit HIV hanya tinggal di sini sebagai tempat persinggahan dan peringatan daripada Allah SWT.

Mereka tiada apa-apa lagi, masyarakat Muslim telah membuang mereka malah keluarga juga meminggirkan. Mereka dikutip oleh aktivis Kristian di tepi-tepi jalan dan hospital-hospital kerajaan.

Seperti biasa saya tiba awal sekitar jam 10.45 pagi. Kali ini pagar utama White House tidak ditutup, tiada pengawal keselamatan. Kelihatan Father Gomez sudah di laman sedang berbual dengan pekerjanya mungkin.

Sebaik saya keluar daripada VIVA, Father Gomez terus menyapa dengan mengatakan, “Saya baru teringatkan you, sekarang sudah datang.” Saya sengih sahaja dan membalas sapaan dengan bertanya, “Tak cuti Krismas ke?” Beliau menjawab ringkas,”Petang ini I terus pulang ke Klang, my home town."

Saya terus ke bahagian kaunter tetamu untuk mengisi buku rekod tetamu. Catatan saya minggu lepas pada buku tersebut telah ditandakan menggunakan highlighter kuning dengan ditambahkan perkataan kaunseling.

Saya kembali ke kereta kerana terlupa mengambil buku dan kamera. Kemudian disapa Sdr. Amin meminta kad nama daripada saya untuk diberikan kepada Penyelia yang baru sahaja mula bertugas.

Tiba-tiba muncul penyelia tersebut memberikan kad nama. Henry Christopher itulah namanya. Seorang berbangsa India dan pasti beragama kristian.

Saya berbual ringkas dengan Henry, sementara Father Gomez sedang sibuk mengarahkan kakitangannya supaya penghuni Muslim berkumpul di tempat biasa. Begitu juga Sdr. Amin asyik membantu Father Gomez menyusun kerusi di bilik khas.

Saya menamatkan perbualan dengan Henry setelah mengetahui sedikit latarbelakangnya yang sebelum ini bertugas di sebuah kilang, ibunya adalah tukang masak bagi pihak White House.

Saya melangkah perlahan ke bilik yang sudah tersedia kerusi yang disusun secara bulatan. Father Gomez memaklumkan bahawa ada penghuni Muslim baru dan memperkenalkan saya kepada Razali. Saya bersalaman dengan Razali, tetapi dia nampak agak lemah dan suram.

Father Gomez menambah, Razali sudah tiada ibu bapa lagi cuma tinggal kakak yang sudah memutuskan perhubungan keluarga dengannya dan dia baru sampai semalam. Saya mengucapkan terima kasih kepada Father Gomez atas penyediaan yang diberikan.

Apabila sudah sedia semuanya saya mengajak hadirin untuk membaca Al-Fatihah untuk sedekahkan pahalanya kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, sahabat-sahabat Baginda dan dua orang rakan mereka yang baru meninggal pada minggu lepas di Hospital Sg. Buluh. Marilah bersama-sama mengikhlaskan niat kita semata-mata kerana Allah SWT dan mohon agar ditambahkan ilmu.

Hari ini dua orang tidak dapat hadir iaitu Sdr. Razak dan Sdr. Osmera kerana mendapatkan rawatan di Hospital Sg. Buloh. Pada minggu lepas Sdr. Razak sudah dilihat kurang dari segi kesihatannya.

Saya meneruskan dengan membaca secara bersyair Rawatan Keempat yang dikutip daripada Risalah Kepada Pesakit karangan Badiuzzaman Said Nursi tokoh gerakan Islam dari Turki ketika Era Kejatuhan empayar Turki Othmaniyyah. Berikut adalah salinan semula yang telah dilakukan:

"Wahai pesakit yang mengadu kesakitan! Ketahuilah bahawa anda tidak berhak untuk mengadu. Bahkan anda berkewajipan untuk bersyukur dan bersabar sahaja. Kerana anggota tubuh badan luaran dan dalaman anda, bahkan diri anda sendiri bukanlah milik anda. Anda tidak membuat atau menciptanya sendiri. Anda juga tidak membelinya daripada mana-mana syarikat atau kilang. Oleh itu, ia adalah milik yang lain. Pemiliknya boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakinya terhadap barangan miliknya. Ini sebagaimana yang telah diterangkan dalam Kalimah Kedua Puluh Enam yang khusus membincangkan tentang qadar.

Dalam kalimah tersebut dinyatakan: Terdapat seorang ahli kraftangan yang amat mahir dan kaya telah mengupah seorang lelaki miskin untuk menjadi model bagi mempamerkan barangan yang diperbuatnya. Untuk menampilkan hasil buatannya yang indah dan pengalamannya yang luas, dia memakaikan lelaki itu pakaian yang berhias dan dilengkapkan dengan pelbagai perhiasan yang ditenunnya dengan peniuh ketelitian dan keindahan. Dia juga melakukan pelbagai perkara dalam usaha untuk memperindah dan mencantikkan hasil buatannya dengan kemahiran tinggi yang demikiannya. Dia mula menggunting, menukarkan jenis kain yang digunakan, memanjang, memendek dan sebagainya pada pakaian tersebut, semasa ia dipakai oleh lelaki miskin tadi.

Pada pendapat anda adakah lelaki miskin yang mengambil upah itu berhak untuk berkata kepada lelaki ahli kraftangan yang mahir itu: “Anda telah merosakkan ketampanan saya yang terserlah ketika mengenakan pakaian ini kerana anda sentiasa menyuruh saya kadang-kadang tunduk, berdiri dan duduk. Anda juga telah merosakkan saya kerana selalu menggunting, memendek dan menjangkan bahagian-bahagian tertentu pada pakaian ini.”

Begitulah juga keadaannya dengan Tuhan Yang Maha Mencipta yang telah memakaikan pakaian jasad kepada anda, wahai pesakit! Dia juga telah memberikan kepada anda pancaindera nurani yang ditatahkan pada tubuh badan anda, seperti mata, telingan dan akal. Oleh itu anda dapati Allah SWT menukar balikkan keadaan anda dan mempelbagaikan hal ehwal anda demi untuk memperlihatkan kepada anda kesan-kesan buatan-Nya melalui al-asma’ al-husna. Sebagaimana anda dapat memahami dan mendalami hekikat pengertian al-Razzaq (yang memberikan rezeki) melalui pengalaman yang anda lalui ketika menghadapi kelaparan dan kebuluran, maka begitu juga anda akan dapat memahami dan mendalami hakikat pengertian al-Shafi (yang menyembuhkan) ketika anda menghadapi sebarang penyakit.

Sebahagian daripada hikmat al-asma’ al-husna akan tersingkap dan terdedah melalui sakit dan musibah yang dihadapi. Ia juga akan memancarkan cahaya keindahan yang menampilkan tompokan hikmah dan kilasan rahmat. Ketika hijab disingkap, maka di sebalik penyakit yang tidak disukai itu, anda akan menemui hakikat mendalam, indah dan disenangi oleh jiwa anda. Itulah yang terkandung di sebalik penyakit yang anda hadapi."


Saya mengulas mudah bardasarkan intipati yang ingin disampaikan oleh Said Nursi dalam Rawatan Keempat. Apa yang dapat difahami bahawa perumpamaan manusia adalah seperti seorang model diserikan pakaian yang tersendiri dan unik oleh pereka fesyen yang hebat.

Kadang-kadang si model kurang setuju dengan rekabentuk yang telah dibuat oleh pereka fesyen yang mungkin akan memburukkan rupanya. Tetapi tiadalah upaya untuk dia membantah arahan dan rekabentuk sang pereka fesyen kerana si model hanyalah seorang model berkerja dengan tuannya.

Begitulah keadaannya manusia, Allah SWT yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa menyediakan pakaian jasad untuk disarungkan kepada tubuh Roh manusia. Maka tiadalah manusia punya hak untuk mempertikaikan dan memperlekehkan sifat jasad yang telah dikurniakan oleh Penciptanya. Kerana manusia daripada tiada kepada ada.

Malah roh juga diciptakan Allah, roh dan jasad hanya dipinjamkan oleh yang Maha Esa supaya boleh manusia dapat menjalankan amanahnya sebagai Khalifah di muka bumi.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah Shaad, 38 ayat 26 yang bermaksud:
“... Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (Hukum Syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”

Diskusi dibuka kepada hadirin untuk direspon. Namun nampaknya tiada lagi yang bersedia untuk menyatakan pendapat masing-masing. Oleh itu saya menarik perhatian mereka dengan mengulangkaji diskusi minggu lepas tentang perbuatan wuduk. Masih ada yang teragak-agak untuk memberikan jawapan yang tepat.

Berbeza dengan Sdr. Shahabuddin dan Sdr. Muzamin yang punya keyakinan dan tepat ketika diminta menyebutkan perbuatan wuduk. Sdr. Muzamin sebelum ini pernah mengikuti Jamaah Tabligh dan sempat mendapat tarbiyyah daripada pergerakan tersebut. Dia kalau bercakap cukup lancar dengan hujah serta berselang seli dengan potongan ayat Quran dan Hadis.

Tetapi yang agak mendukacitakan apabila di tanya tentang solat. Alasan tidak dapat mendirikan solat berulang akan terpacul daripada mulut dia seperti “Suasana tak ada”, “Iman lemah senipis kulit bawang”, “Saya waswas”,“Saya tak berapa ingat sebab penyakit ini” dan lain-lain lagi.

Geram juga apabila mendengarkan alasannya. Pun begitu saya akan cuba untuk membimbing mereka kepada kehidupan Islami, sejauh yang termampu.

Pengisian diteruskan dengan Rukun Islam. Saya meminta Sdr. Muzamin mulakan dengan Rukun Islam yang pertama. Seperti yang saya jangka dia dapat menjawab dengan tepat hampir mirip kepada teks yang terdapat dalam Panduan Asas Fardhu Ain (PAFA) di sekolah.

Diikuti berikutnya saya tudingkan jari telunjuk meminta Sdr. Shahabuddin meneruskan dengan Rukun Islam yang kedua. Dia juga dapat terangkan dengan baik tentang perkara solat.

Jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain, dialah yang paling alim (jaga solat) selalu berkopiah putih. Seterusnya giliran Sdr. Husin warga Myanmar, namun tiada yang terucap.

Saya minta pula Sdr. Izan membantu tapi juga begitu. Lalu biar saya sahaja yang menerangkan setiap satu Rukun Islam yang lima. Berulang-ulang kali saya menyebut agar mereka ingat dan faham.

Kemudiannya saya minta Sdr. Razali mula untuk menyebut kelima-lima Rukun Islam tadi. Walaupun tidak sempurna tertibnya tetapi sekurang-kurangnya cukup rukunnya. Begitu juga rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, saya rasa cukup buat ketika ini bersoal-jawab tentang rukun Islam.

Saya lanjutkan diskusi dengan berkongsi harapan atau azam setiap seorang sempena tahun baru hijrah yang akan tiba pada tanggal 29 Disember 2008. Setiap seorang akan punya tiga senarai utama. Antara azam mereka yang saya sempat catatkan adalah seperti berikut:

Sdr. Shahabuddin
+ Ingin sertai Jamaah Tabligh untuk mendapatkan tarbiyyah diri.
+ Kembali berjalan seperti sedia kala (sekarang bertongkat besi berkaki empat).
+ Mengajak rakan-rakan senasib kearah kebaikan.

Sdr. Amin
+ Ingin sempurnakan solat sehari semalam.
+ Membantu rakan-rakan yang sedang sakit di Rumah Putih.
+ Belajar mengaji Al-Quran.

Sdr. Husin
+ Beri semangat kepada pesakit HIV agar tidak putus asa.
+ Sempurnakan solat harian.
+ Ingin mengikuti Jamaah Tabligh menyampaikan dakwah.

Sdr. Mahmud
+ Sempurnakan solat lima kali sehari semalam.
+ Agar dapat kembali kepada keluarga.
+ Ingin berpuasa ganti dan sunat.

Sdr. Razali
+ Mohon agar di bukakan hati agar mudah untuk solat.
+ Sihat kembali seperti biasa.
+ Kembali membina kerjaya dan keluarga.

Sdr. Sarizan
+ Berazam untuk membaiki diri.
+ Dapat sempurnakan solat 5 waktu.
+ Kembali normal, keluar daripada Rumah Putih.

Saya juga tidak melepaskan ruang dan peluang untuk menyatakan azam dan harapan saya pada tahun 1430H.

Pertama, mohon Allah SWT beri kekuatan agar dapat istiqamah dan sabar dengan usaha ini. Kedua, moga Allah pertingkat kefahaman ilmu dan amal islami saya dan terakhir saya berazam untuk menjadi seorang bapa yang soleh kerana bulan April nanti isteri saya akan melahirkan seorang puteri yang dinamakan Ijlah Sabirah (penghormatan orang yang bersabar) insya Allah.

Saya mengajak agar rakan-rakan yang hadir dapat mendoakan azam dan harapan rakan mereka. Kerana sebuah hadis nabi yang mafhumnya, Allah akan memakbulkan doa seorang sahabat kepada sahabatnya tanpa sahabatnya tahu bahawa dia telah didoakan oleh sabahatnya. Saya terus menutup majlis dengan bacaan tasbih kifarah mohon ampun kepada-Nya dan surah al-Asr dengan menghayati maknanya.

Saya kemudian mengajak Sdr. Amin dan Sdr Husin membantu mengambil air teh kotak dan roti. Oleh kerana masa sudah jam 12 tengah hari, makanan tengah hari sudah siap terhidang, mereka menyimpan bekalan yang saya berikan dan terus ke meja makan.

Saya bergegas ke kereta untuk ke House Seven (Rumah 7) untuk pertemuan berikutnya. Sementara itu saya mengucapkan terima kasih kepada Henry yang sedang melihat-lihat kereta Wira SE berwarna hitam. Beliau mengucapkan juga mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi datang.

Katanya “sokongan spiritual penting untuk memberi semangat kembali hidup”, saya mengiakan sahaja. Saya meminta diri beransur awal dan tidak berniat untuk melanjutkan perbualan bersama Henry yang petah berkata-kata.

Bimbang kelewatan saya terus memacu VIVA, meluncur ke bawah kaki lereng bukit sambil mengangkat tangan kepada Uncle pengawal keselamatan yang saya tidak tahu namanya. Mungkin ziarah minggu hadapan saya boleh berkenalan dengan lebih rapat lagi. Rumah Putih memang tersergam indah di atas bukit di tepi selekoh bersimpang tiga dan laluan jalannya memang agak bahaya.

Tiba saja saya di Rumah Tujuh, suasana sunyi, tiada keluarga Rohingya yang kelihatan. Suara anak-anak juga tidak kedengaran. Biasanya kalau masuk sahaja VIVA ke laman Rumah Tujuh anak-anak kecil adik beradik pasti berebut-rebut bersalaman dengan saya.

Muncul di pintu kelibat tiga orang penghuni yang tersenyum. Sdr. Nasaruddin, Sdr. Rosli (Muda) dan Sdr. Rosli (Tua) sahaja yang ada untuk majlis pengisian kali ini.

Rancak bersoal-jawab
Sdr. Nasaruddin menyapa saya dengan mesra sambil berjabat tangan, memaklumkan Sdr. Manaf dan Sdr. Azhar ada urusan di Rawang. Rakan-rakan lain juga ada yang balik ke kampung dan ke hospital membuat rawatan susulan.

Kami duduk atas kerusi dengan posisi bulatan supaya lebih erat. Majlis di buka dengan bacaan Fatihah, kemudian saya susuli bacaan secara bersyair Rawatan Ke-4 daripada kitab Risalah Kepada Pesakit sebagaimana saya sampaikan di Rumah Putih pagi tadi.

Perbincangan di buka selepas saya kupas ringkas intipati mesej tokoh gerakan, Said Nursi. Kali ini Sdr. Nasaruddin lebih awal membuka bicara memberi pandangan dan perkongsian.

Dia bersetuju pandangan Said Nursi tentang perumpamaan pereka fesyen dan sang model. Kehidupannya pun begitu apabila bila terjebak dengan najis dadah. Badan tidak berdaya, mata mula kabur, adalah perkara biasa apabila mula mengambil ubat bagi melawan virus HIV. Dia tetap sabar dan bersyukur kerana Allah SWT telah memberikan peluang hidup selepas ‘mati’. Itu hikmahnya, rasa kehidupan kini lebih bermakna kerana punya misi kehidupan.

Sdr. Rosli (Tua) pula banyak kemusykilan di minda yang perlu diuraikan dengan bijaksana. Lalu diskusi selanjutnya lebih kepada soal-jawab. Sdr. Rosli (Tua) bertanya, “Saya telah banyak berbuat dosa kepada ibu bapa saya dan tidak sempat memohon ampun kepada mereka. Adakah dosa saya diampunkan oleh Allah?”.

Saya terkebil-kebil, apabila soalan itu ditanya. Saya rasa macam jadi pakar rujuk fikah. Pada anak mata Sdr. Rosli (Tua) berkaca-kaca menunggu-nunggu jawapan daripada saya.

Saya mulakan bicara dengan mengingatkan bahawa saya mungkin tidak dapat menjawab dengan tepat. Saya alu-alukan rakan-rakan lain untuk memberi respon.

Respon awal saya, “Marilah kita bersangka baik pada Allah SWT agar dosa kesalahan kita selama ini diampunkan-Nya. Tiadalah jua kita ketahui sama ada ibu bapa mengampunkan kita atau tidak, cuma apa yang kita boleh buat adalah mendoakan kebahagiaan mereka di akhirat kelak. Berbuat baiklah kepada sesiapa sahaja terutama sekali kepada mereka yang seusia dengan ibu bapa kita jika dia masih hidup.”

Kemudianya Sdr. Rosli (Muda) pula yang menimbulkan kemusykilan tentang kaum keluarganya yang telah membuang dirinya. Bapanya sudah tidak boleh menerimanya lagi, malah berkata di dalam talian telefon pun tidak dilayannya. Seolah-oleh bapanya rasakan bahawa dia sudah mati.

Sdr. Rosli (Muda) kelihatan hiba dan putus asa selepas meluahkan isi hatinya.

Saya perlahan-lahan mengungkapkan kisah Rasulullah SAW yang tetap berbuat baik kepada seorang perempuan Yahudi tua walaupun dia selalu mengganggu laluan ke rumah baginda dengan melemparkan najis dan sampah.

Akhirnya apabila perempuan Yahudi tua itu jatuh sakit, Rasulullah SAW yang menziarahinya dan menyantuninya sehingga perempuan itu menerima risalah Islam.

Insya Allah tiadalah kita tahu bila dan di mana titik perubahan akan berlaku. Tetapi yang lebih penting usaha-usaha istiqamah kitalah yang akan dinilai pada sisi Allah SWT.

Saya mencadangkan agar Sdr. Rosli (Muda) boleh cuba menulis surat kepada ayahnya. Luahkan isi hati kepadanya.

Tuliskan rasa penyesalan yang teramat sangat kerana telah melukakan hati ayah dan menghancurkan harapan kaum keluarga. Tulis dengan hati sebagaimana kata-kata seorang tokoh Republik Indonesia, Pak Natsir katanya “Kata-kata yang datang dari hati akan turun ke hati”.

Kadang-kadang kita tidak jangka kemungkinan yang Allah ingin tunjukkan kepada hambanya. Sdr. Nasaruddin bersetuju dengan saya kerana rakannya pernah melakukan perkara yang sama.

Suasana sunyi sekejap, semua diam merenung lantai sekali-sekala menjeling-jeling rakan sebelah. Kemudiannya Sdr. Rosli (Tua) berkongsikan pengalaman kehilangan seorang isteri tercinta.

Sepanjang kehidupan berkeluarga, isterinya telah melakukan pengorbanan yang sungguh besar. Menjaga urusan diri dia dan sering mengingatkan perkara ruhaniyyah. Solat dan puasa dilaksanakan dengan baik, tidak tinggal dan lupa.

Tetapi apabila ditakdirkan Allah SWT menarik nyawa isterinya. Kehidupannya terus berubah tidak tentu hala. Sesekali juga pernah terdetik dan terfikir kenapa Allah memberikan segala takdir tersebut? Kenapa tidak diberikan kepada orang lain?

Sedangkan orang yang jahat bertambah kaya dan berjaya. Dirinya yang sederhana tetapi diuji dengan kehilangan orang paling disayanginya. Gelap hidup ini, hati panas marahkan takdir Ilahi. Akhirnya terjebak dengan najis dadah dan hanyut.

Termangu saya mendengar bicara hati Sdr. Rosli (Tua) seolah-olah seperti sebuah drama. Kisah yang sekali-sekali kita dengar di majalah dan televisyen, manusia yang baik dan alim tetapi akhirnya apabila Allah uji tiada lagi sistem kepercayaan kepada berTuhan. Rasa seperti Tuhan telah menzalimi diri dan kaum keluarganya.

"Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" (Surah 23 Al-Mukminun ayat 115).

Itulah sahaja yang mampu saya jawab atas apa yang telah diluahan oleh Sdr. Rosli (Tua). Kerana sesungguhnya kita datang daripada-Nya kepada Dia tempat kita kembali.

“Adakah Sdr. Rosli nak lihat kaum keluarga dan orang yang menyayangi bersikap tidak redha jika Sdr. Rosli sendiri yang pergi terlebih dahulu?”, saya timbulkan persoalan. Dia menggeleng-gelengkan kepala perlahan seakan berat.

Kita kenalah menerima hakikat sebagaimana petikan Allah lah yang menjadikan pakaian jasad kepada roh kita. Jadi Dia berkuasa untuk mengambilnya kembali pada bila-bila masa.

Janganlah kita kecewa dan mengeluh, kerana diri kita sendiri juga bukanlah milik kita. Walaupun kita bangga dengan rupa wajah kita yang cantik. Badan yang tegap dan sasa. Mampu bergerak ke sana ke mari. Tetapi hakikatnya kita daripada tiada kepada ada.

Kami teruskan soal-jawab dengan Sdr. Rosli (Muda) bertanya adakah sah solatnya jika tatoo masih di badan. Saya menjawab ringkas berdasarkan beberapa bacaan buku fikah.

Sah, kerana kalau dibuang tatoo dengan cara memotong sebahagian daging sudah tentu mencacatkan dan merosakan anggota badan. Tetapi kenalah berniat dan berusaha jika ada peluang atau teknologi untuk menghilangkan tatoo tersebut maka bereskan berdasarkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Soalan yang terakhir ditanyakan, “Adakah boleh meletakkan kaca atau besi pada anggota sulit bagi tujuan seksual.” Dia terlibat dengan semua ini ketika berada di dalam penjara.

Saya kurang arif dalam persoalan ini, namun saya cuba memberi respon dan berjanji akan merujuk orang yang lebih pakar.

Dari segi sunnah sudah dilanggari kerana ketika memasukkan kaca ke dalam anggota sulit juga sudah rasa sakit. Sepatutnya jika hendak dikeluarkan juga lebih wajar. Saya cadangkan bertanya dahulu kepada doktor perubatan sama ada kemudaratan.

Macam-macam persoalan yang diketengahkan, nampaknya kena banyaklah lagi buku yang perlu ditelaah dan kuliah yang perlu diikuti dan usrah yang perlu dirancakkan dengan diskusi seumpamanya. Kami akhiri pertemuan tersebut dengan meminta setiap seorang mengucapkan azam tahun baru. Berikut adalah senarai azam mereka:

Sdr. Nasaruddin
+ Istiqamah dalam proses rawatan pemulihan.
+ Mendalami ilmu agama.
+ Kembali bekerjaya.

Sdr. Rosli (Muda)
+ Istiqamah dengan perkara positif dan sihat tubuh badan.
+ Merapatkan ukhwah dengan keluarga kembali.
+ Belajar mengaji.

Sdr. Rosli (Tua)
+ Membina kekuatan spiritual melalui ilmu, iman dan amal.
+ Bantu rakan-rakan yang senasib membina semangat.
+ Mendekatkan diri kepada Allah.

Bacaan kafaratul majlis dan surah al-Asr dilafazkan bersama-sama sebagai tanda tamatnya perbincangan dan bersedia untuk bersolat Zuhur berjamaah.

IZWAN SUHADAK ISHAK
Pengerusi,
Grup Ibn Battutah
24 Disember 2008 | Bestari Jaya
http://www.alrihlah.com/ @ http://gptd.blogspot.com


* Grup Ibn Battutah dahulunya dikenali sebagai Kelab Ibn Battutah