Friday, February 10, 2006

Hulur Sumbangan Bantu Warga Kemboja



Bangi - 6 Februari 2006 - “JIKA awak ke Kemboja, keadaan orang Melayu sama macam 60-an di Malaysia”. Pesanan ini bukan gurauan apabila melihat sendiri umat Islam yang rata-rata tidak dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.

Banyak pihak luar menghulurkan bantuan, namun paradigma atau mentaliti subsidi di kalangan penduduk menyebabkan mereka gagal membangunkan modal insan. Keadaan ini mengakibatkan keberkesanan bantuan dipertikaikan. Ada warga Kemboja mengatakan “Kami tidak mahu ikan, tapi kami mahukan joran agar kami tahu cari ikan sendiri”.

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) di bawah ‘Global Peace Mission’ mengadakan misi pertama pada 31 Mei hingga 13 Jun lalu. Sepanjang misi berkenaan, sukar untuk kami temui usahawan Muslim. Cuma seorang usahawan roti canai dan burger halal yang berani. Kurang keyakinan diri dan takut risiko kerugian dalam perniagaan menghambat umat Islam agar terus selesa dalam keadaan serba kekurangan. Rata-rata penduduk menjual produk makanan yang rendah nilai komersial. Umpamanya, pisang yang digelar tumbuhan pelbagai guna di Malaysia, peniaga di sini hanya membakar pisang untuk dijual terus kepada pelanggan.

Generasi muda harapan umat Islam Kemboja. Namun, kemudahan pendidikan agak terbatas. Pertambahan pelajar menjadikan kelas sesak dan tidak selesa. Sekolah kerajaan terpaksa mengadakan tiga sesi persekolahan setiap hari. Suasana ini memadamkan motivasi generasi pelapis untuk menuntut ilmu. Ditambah pula kemiskinan yang mengheret mereka bekerja berbanding belajar. Sebahagian kecil berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan. Mereka memerlukan bimbingan untuk berperanan membina umat yang cemerlang. Dalam misi pertama, kami mendapati pemandangan agak kotor di sesetengah kampung. Sampah sarap dibuang merata-rata. Penduduk tidak menghiraukan kebersihan kerana mengutamakan soal mencari rezeki. Keadaan ini mendatangkan risiko penyakit berjangkit.

Atas kesedaran ini, GPTD melancarkan misi kedua iaitu Projek Pembangunan Insan dan Ekonomi. Beberapa sukarelawan muda dari Kolej Darul Hikmah akan berkhidmat di Kemboja pada 9 hingga 21 Mac ini. Mereka akan mengadakan bengkel keusahawanan, antaranya memperkenalkan teknik membuat snek makanan daripada bahan tempatan. Kem motivasi akan disasarkan kepada pelajar Muslim bagi mengembalikan minat untuk menuntut ilmu. Latihan untuk pelatih akan diadakan dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam Kemboja bagi melatih mahasiswa Muslim berperanan dalam masyarakat.

Bengkel kebersihan dan memupuk sikap menabung disasarkan pada kanak-kanak Kemboja. Kami memerlukan sumbangan daripada badan kerajaan, swasta, dan individu bagi merealisasikan impian seluruh umat Islam Kemboja. Sumbangan boleh disalurkan kepada Sekretariat Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Anjung Rahmat, Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur. Nombor telefon 03-61889821 dan faks 03-61875305.

ANAS JAAFAR,
Ketua GPTD Kemboja 1.

Dipetik dari Ruangan Surat Pembaca Berita Harian - 6 Februari 2006 : -
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Surat/20060205215235/Article/

*Saudara Anas pernah juga menulis artikel bertajuk : "Sekuntum Bunga Kemboja - Bangkit Membela Bangsa" di Ruangan Agama Utusan Malaysia - 9 Ogos 2005 : -
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm