Thursday, November 10, 2005

Eid Greeting From Hobart, Tasmania



Segala Puja dan Puji hanya layak untuk Illahi, Rabbul A’lameen. Syukur atas kurniaanNya yang tidak terbatas kerana telah memilih kita untuk menjadi hamba serta khalifahnya dimuka bumi ini. Pasti tidak terbayar pula pada nikmat Islam dan Iman yang dikurniakan keatas kita, lantas menjadikan kita semua bersaudara pada satu ikatan kalimah yang merungkai segala perselisihan, pertelingkahan, dan perbezaan diri. Kelebihan dan kekurangan diri bukanlah menjadi faktor beza darjat antara kita tetapi apa yang menjadi ukuran adalah Taqwa yang tersemat dihati sanubari, terungkap dengan kata-kata dan terpamer dengan gerak anggota.

Saudara, saudari rakan seperjuangan…

Berlalu sudah bulan yang penuh dengan rahmat, yang amat bermakna buat kita, para pejuang jalan kebenaran. Kini telah tiba bulan untuk merayakan perjuangan kita selama sebulan. Perjuangan yang menuntut nilai pengorbanan diri yang amat tinggi dan ketulusan hati dalam mengikhlaskan setiap amalan yang dilakukan. Pastinya perjuangan dibulan Ramadhan adalah perjuangan yang amat hebat. Bulan untuk kita memperjuangkan kebenaran dalam diri kita sebagai seorang hamba yang sejati, bulan menentang keinginan nafsu. Bulan mengurung diri dalam penjara bahagia. Ibarat sang ulat yang mulanya dilihat hodoh dan menjijikkan, berjuang mengurung diri didalam kepompongnya. Tidak peduli beza cuaca dan hiruk pikuk dunia, ia tenang dalam kepompongya. Namun, setelah seketika berlalu, ia berubah menjadi sang kupu-kupu yang indah dan menawan pandangan. Bebas berterbangan mewarnai alam raya dan menjadi kekaguman pecinta keindahan. Begitulah seharunya kita sebagai insan yang sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Kepompong Ramadan seharusnya mampu merubah kita menjadi seseorang yang punya keperibadian indah. Selama sebulan kita mengurung nafsu diri yang sering mencelakakan, menahan keinginan diri yang menuntut keselesaan, lapar, dahaga, tertunduk pandangan mata, mengelak bicara kata, manahan pendengaran telinga dan segala pintu yang merunyam ketengan hati dan jiwa. Tujuan taqwa menjadi matlamat perjuangan.

Kini setelah Ramadhan berlalu, kita meraikan kemenangan tamat latihan perjuangan dalam diri yang baru bermula pada episod baru. Peribadi diri, seharunya lebih menawan dan hati menjadi lebih bersih umpama cermin yang baru digilap. Inilah habuan perjuangan kita, menjadi insan menawan dengan taqwa diri yang tinggi hingga menjadi “ Rahmatan Lil A’lameen”. Berada diperantauan banyak mengajar diri untuk mengenali siapa diri ini. Kesepian, keseorangan dalam melayari samudera berombak merupakan ujian dalam pelajaran sekolah hidup. Tuntutan pengorbanan merupakan syarat mencapai kejayaan. Kesilapan serta kesalahan menjadi guru yang setia membimbing agar diri menjadi lebih matang. Namun semuanya adalah ketentuan yang penuh nikmat dan sarat dengan hikmah. Di medan ini, pintu hati terbuka melihat dari ufuk jauh dan menilai diri pada paksi yang berbeza, hakikat diri sebagai seorang hamba lebih dikenali dan erti sebuah kebahagiaan lebih difahami.

Sahabat…dikesempatan ini, ingin ku berpesan dari pengalaman kesilapan diri. Perjuangan kita merupakan pertarungan sengit menentang arus perdana yang tersasar. Ilmu merupakan penyelamat diri. Keikhlasan perlu selalu dihati. Keyakinan pada ketentuan Illahi menjadi kunci kemajuan diri. Kekentalan jiwa, berani mencuba dan tidak peduli cerca merupakan perisai membela diri. Segalanya mesti bermula dalam diri sendiri. Kita perlu membawa “rahmatan lil nafsi” sebelum menyebarkannya menjadi “rahmatan lil a’lameen”. Berjuanglah pada diri sendiri sebelum berjuang untuk orang lain. Bagaimana mungkin tangan yang kotor mampu membersihkan pakaian yang kotor pula.

Sahabat, kita semua adalah benih mukjizat untuk dunia. Dunia kita kini menderita dan semakin menderita. Sahabat, apalah erti kebahagiaan kepada kita sekiranya saudara kita sedang menderita. Peperangan, pertelingkahan, kelaparan, kesakitan, kemiskinan, kejahilan, kesejukan tanpa pakaian, diperkosa dan dizalimi, penderitaan dan kehilangan orang yang tersayang, semuanya perlu kita bantu. Pastinya kita tidak sanggup untuk hanya menyaksikan dan mengeluh saja. Kita perlu melakukan sesuatu. Perjuangan kita baru bermula dan tidak akan ada akhirnya sehingga disuatu ketika dimana kita akan dipersoalkan untuk setiap amalan kita dengan seadil-adilnya. Gunakan lah kesempatan hidup ini untuk mempersembahkan yang terbaik pada setiap masa sehingga saat yang ditunggu-tunggu datang menjemput kita pada puncak amalan kebaikan kita.

Menjadi lumrah insani, semuanya pasti melakukan kesilapan dan kesalahan, begitu juga diri ini. Terima kasih diatas segala kata nasihat, umpatan, kritikan dan segala-galanya yang membantu diri ini terbuka mata hati untuk menilai diri. Ingin juga dipohon keampunan dan dirayu kemaafan dari semua diatas kekurangan diri. Maafkanlah andaikata bicara, pandangan mata, perilaku anggota, dan apapun jua yang mungkin melukakan. Maafkanlah diri ini yang masih jahil dalam belajar. Berilah kesempatan pada diri ini memperbaiki segala-galanya dan tiada apa yang menjadi harapan melainkan kemaafan dan doa kalian.

Maaf zahir dan Batin….

Musafir Di Aidil Fitri……Noryzal Zainal Abidin

Salam Lebaran….Al Fakir Ilallah….Hobart…