Monday, October 17, 2005

Ihya Ramadhan Program



October 15-16, 2005 - Taman Melati, Kuala Lumpur - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama saluran televisyen Ansar (MITV) dan Masjid Salahuddin Al-Ayyubi serta Kementerian Belia dan Sukan telah menganjurkan Program Penghayatan Ramadhan 2005/1426H pada 15-16 Oktober 2005. Pelbagai aktiviti dan program menarik telah dilaksanakan sepanjang dua hari program tersebut berlangsung di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur.

Seramai 450 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berumur 7-18 tahun telah mengikuti program penghayatan yang diisi dengan aktiviti motivasi kecemerlangan pelajar Islam, latihan dalam kumpulan adab-adab di masjid, solat tarawikh, tadarus al-Quran, Qiyamullail, tazkirah selain didedahkan dengan kempen-kempen kesedaran bahaya dadah dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Tak Nak Rokok oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Tenaga fasilitator dan sukarelawan yang terdiri daripada penggerak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD).

Upacara perasmian program ini telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Ali Ahmad, Setiausaha Sulit kepada Dato’ Zulhasnan Rafique, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan. Turut hadir ialah wakil Ketua Pengarah JAKIM, wakil Ketua Pengarah JAWI, pegawai Bahagian Rakan Muda, Kementerian Belian dan Sukan dan ahli jawatankuasa surau dan masjid berdekatan. Presiden ABIM, Sdr. Yusri Mohamed telah menyampaikan tazkirah bertajuk “Nuzul Al- Quran : Penghayatan Di Kalangan Belia” kepada para pserta dan kariah masjid.