Perjalanan selama 15 hari yang dialami di Bandung banyak mengubah persepsi dan paradigma sebagai seseorang yang baru belajar menjadi pendakwah dan sukarelawan. Rasanya seperti baru dibedah hati dan di buka kembali akan jendela fikiran ini pada dimensi kelemahan diri yang perlu diperbaiki. Terlalu kabur pandangan mata hati sehinggakan bukti didepan mata tidak kelihatan. Pasti kerana kabut hitam memenuhi ruangan hati. Alhamdulillah, segala puji dipanjatkan setinggi-tingginya ke hadrat Illahi yang telah memberi kesempatan untuk memiliki peluang yang amat berharga ini. Dengan izinnya, perjalanan misteri ini diaturkan dengan pertemuan dan kemudahan yang tidak disangka.
Sewaktu di dalam pesawat, kelihatan dari awan bentuk muka bumi Bandung, Indonesia. Dalam fikiran saya yang sebelum ini hanya mendegar cerita dan melihat situasi mengenainya dari sumber media, terdetik di hati mengatakan, “Indonesia, sebuah negara bertuah yang malang”. Sepanjang perjalanan difikirkan mengenai permasalahan yang melanda masyarakatnya yang butuh perubahan. Dengan fikiran yang terbatas, seolah-olah negara ini tidak akan mungkin mampu berubah kerana permasalahan masyarakatnya yang begitu terpuruk. Ikatan masalahnya terlau berserabut dan terlalu banyak simpulnya hingga amat sukar untuk dirungkaikan satu persatu. Tarik satu, sepuluh tersepit. Mungkin perlu dicari dahulu dimana hulunya dan dari situ barangkali boleh dirungkai dengan lebih hikmah. Sedih mengenangkan masyarakat yang majoritinya adalah saudara seagama, namun dengan keterbatasan diri ini, tidak banyak yang mampu untuk dilakukan. Berat mata yang memandang, pastinya berat lagi bahu yang memikul. Namun, meskipun begitu ianya menjadi satu keanehan kerana perjalan ini adalah perjalanan untuk belajar mencari ilmu disana.
Atas semangat ingin memperbaiki diri, perjalan ini ditempuhi keseorangan bi iznillah. Alhamdulillah, banyak yang dipelajari dan banyak lagi yang perlu untuk diperbaiki. Terutamanya dalam menanggapi ma’rifatullah dan masalah akidah. Kesempatan bertemu dan berbicara dengan ahli ilmu merupakan salah satu nikmat yang teramat besar. Setelah bertemu dengan idola perjuangan, Kiayi Haji Abdullah Gymnastiar atau lebih mesra dengan panggilan Aa Gym, diri menjadi bertambah semangat untuk berbuat sesuatu dengan lebih serius, iaitu mengubah diri sendiri!. Katanya itulah kunci perubahan. Perubahan itu memerlukan contoh dan sekiranya ingin mengubah, maka sudah semestinya lah diri ini menjadi contoh kepada perubahan. Maka bagaimana mungkin diri ini mampu menjadi contoh sekiranya kata tidak seiring gerak anggota. Itulah kemunafikan yang perlu dibuang dalam diri dan inilah jihad yang sejati, jihad dalam diri sendiri. Inilah pelajaran yang paling besar didapatkan dari permusafiran ini. Terdetik dihati ini akan kelemahan diri sendiri yang amat sukar untuk diubah namun terlalu sibuk untuk mengubah orang lain. Malu rasanya pada Illahi. Sibuk dengan program sana-sini, tamrin qiyadi, tamrin jundiy, berceramah merata, diri sendiri tidak “diprogramkan”, “ditamrinkan”, dan “diceramahkan”. Hakikatnya, musuh utama ada didalam diri dan untuk menewaskannya perlukan perjuangan serius di medan yang amat sengit. Senjatanya solat dan qiamulaill, perisainya saum, strateginya sedekah, kekuatannya ikhlas, dan bantuannya hanya dari Allah. InsyaAllah, jaminannya jannah. Aa Gym yang begitu popular dan sinonim dengan konsep dakwahnya iaitu Manajemen Qolbu (MQ) telah mendapat pengiktirafan dunia. Dia yang pernah digelar “The Holly Man” oleh majalah antarabangsa Time Megazine, tetap merendah hati dengan gelaran yang dianggap ujian untuknya itu. Secara umumnya, materi dan pendekatan dakwah yang disampaikan olehnnya amat disenangi semua peringkat masyarakat. Ini kerana modul MQ menekankan pengalaman realiti erti Islam yang sebenarnya dimana kehidupan sebagai rahmatan lil alameen itu benar-benar dapat dirasakan. Baginya hidup ini cuma sekali, maka harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Motto perjuangan yang dipegang olehnya, “ Hidup adalah untuk mempersembahkan yang terbaik, yang bermanfat bagi dunia dan bermakna untuk akhirat”. Perjuangannya dipenuhi kasih sayang, kata-kata yang nyaman dan idea yang bernas sebagai pembuka jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi masyarakat. Konsep mengurus hati (MQ) itu umpama telaga air suci yang memberi manfaat dan punca kehidupan bagi yang memerlukan. Dengan menjaga ketenangan hati, maka segalanya akan menjadi positif. Dengan memahami konsep MQ ini, terasa diri punya banyak kekurangan yang perlu ditangani secara serius. Hati ini perlu dijaga dan ditata dengan rapi agar terhindar dari segala penyakit rohani.
Selain itu, banyak lagi kelemahan yang dipelajari dalam mengurus organisasi. Kunci kejayaan adalah dengan solat. Solat itu pada dasarnya merupakan modul dari Illahi yang perlu diamalkan sebagai prasyarat untuk mencapai kejayaan. Kejayaan dalam apa jua lapangan. Namun sayangnya, kunci kejayaan ini sering diabaikan, maka banyak pulalah masalah yang terpaksa ditanggung. Ahli tidak bersatu hati, kerana tidak mengamalkan solat berjema’ah, sahabat menzalimi sahabat pada kelewatan dalam berjanji mesyuarat kerana waktu solat tidak pernah tepat, pejabat menjadi kurang teratur dan terjaga kebersihannya kerana wudhu’ tidak dimengerti tujuannya dan pelbagai lagi masalah yang timbul akibat tiada penekanan dalam penghayatan dalam solat. Katanya “ seperti maksud hadis, ramai yang bersolat tetapi dapatnya cuma penat, bahkan ada yang dilaknat” na’uzubillahi min zalik. Semoga dengan kesedaran yang amat kecil ini, minimumnya mampu untuk mengubah diri sendiri dan istiqomah dengan perubahan ini. Mudah-mudah diberi kekuatan dan mendapat bantuan dariNya.
Antara lain, kehadiran kali ini dipenuhi dengan ziarah dalam usaha membina jaringan rakan dakwah di nusantara. Selain menghadiri ceramah, saya juga diminta untuk memberikan ceramah serta menghadiri diskusi dengan beberapa persatuan pelajar Islam dan pensyarah universiti disana. Kebanyakan mereka begitu tertarik dan memandang positif dengan usaha dakwah yang dilakukan pihak ABIM, khususnya GPTD. Persatuan pelajar Islam disana amat berminat untuk bekerjasama dan belajar dari GPTD.
Dengan ini, diharapkan secebis pengalaman yang amat berharga ini dapat dimanfaatkan oleh diri sendiri dan sahabat semuanya. Mudah-mudahan kita semua digolongkan dalam kalangan hamba-hambanya yang benar-benar berjuang kerananya. Ameen.