Wednesday, May 24, 2006

Sepetang mencari tenang


Tugas sebagai pendakwah pastinya tidak akan pernah selesai sehingga habis waktu. Setiap hari akan bertembung dengan pelbagai masalah dan cabaran baru dalam perjuangan sedangkan beban yang sudah tergalas masih lagi membingungkan. Sebagai golongan insan yang lemah, pastinya sedikit-sebanyak menambah tekanan dalam kehidupan seharian. Ahad, 21/5
Kami berlima mengambil peluang memanfaatkan sedikit waktu untuk berkelah di Ulu Yam dan membuat sedikit pengisian rohani dengan perbincangan yang santai dalam suasana yang menyegarkan, bebas dari hiruk-pikuk dunia agar tenang diri kami walau dibebani pelbagai ujian.
Kenyamanan udara dengan sentuhan deru air yang dingin dan menyegarkan benar-benar mengasyikkan. Suara alam yang beralun dengan siulan unggas beterbangan serta zikir air yang mengalir benar-benar menyentuh kalbu. Kami cuba mendasari hati nurani dan perasaan dengan menyelami samudera tafakur agar mencapai ketenangan dalam diri. Hidup ini hakikatnya adalah ujian namun cukup indah untuk dinikmati kiranya hati sudah makrifatullah. Sememangnya hidup ini untuk dinikmati. Ujian adalah untuk kita belajar bersabar sebagai proses peningkatan darjat keimanan, atau juga proses penghapus dosa silam. Limpahan nikmat adalah untuk disyukuri sebagai alat untuk kita bertaqarrub kepada Yang Maha Pemurah. Hakikatnya, setiap usaha yang kita lakukan adalah untuk kita belajar menjadi insan mukhlis. Setiap usaha yang kita lakukan, apapun jua ketentuan akhirnya adalah kehendak Illahi. Kita harus sedar bahawa kita ini tidak ada apa-apanya. Bekerja siang malam, bermesyuarat yang kononnya untuk memperjuangkan Islam hingga terabai waktu solat dan tidur lewat malam kononnya ingin menyiapkan kertas kerja atau laporan program hingga menganggap enteng kepentingan tahajjud dan berjema’ah dimasjid. Lalu untuk apa hidup ini! Kita harus sedar bahawa sebanyak mana masa, wang dan tenaga yang kita habiskan untuk berprogram, usrah, mesyuarat, membuat laporan dan kertas kerja atau apa pun jua, kita tidak akan mampu menyelesaikan masalah ummat. Hanya Allah yang mampu merubah semuanya. Kita hanya alat dan wajib berusaha. Sebagai insan yang memilih untuk bersama jema’ah dalam meneruskan kesinambungan usaha dakwah rasulullah, kita seharusnya berusaha untuk menjaga kunci kejayaan kita iaitu solat berjema’ah tepat pada waktu dan berusaha keras untuk bertahajud. Hanya dengan kekuatan itu kita akan mendapat bantuan Illahi. Sekiranya kita gagal untuk berjuang pada diri sendiri, usahlah kita berbicara soal memperjuangkan masalah ummat. Malu rasanya pada Illahi.
Umpama batu didasar sugai itu, keras dan kasar. Batu yang pada mulanya besar dan berat akhirnya pecah dan menjadi pasir halus disebabkan percikan air. Begitulah jua kemungkinan hati kita, yang keras dan kasar seperti batu sehingga sukar merasai nikmat cinta dan syahdunya rindu pada Illahi. Namun ianya bisa dipecahkan dengan deruan zikir yang mengalir dihati. Hati yang umpama Raja memerintah harus dijaga ketenangannya agar terkawal bala tentera dibawah kuasanya. Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah hati itu akan tenang.
Kami pulang dengan hati yang tersentuh dengan kebesaran Illahi. Hidup ini adalah untuk dinikmati bagi hati yang hidup dengan sering mengingatiNya. Kita sebagai insan yang lemah harus bersandar pada kuasa Yang Maha Kuasa kerana sehebat mana pun kita adalah kerana Dia yang membantu. Tiada apa-apanya kita yang lemah ini.
Dengan pengisian yang singkat ini, diharapkan diri dapat mengamalkan ilmu dan apa yang dikata sebelum sibuk menyuruh orang lain untuk berubah. Ya Allah, maafkanlah kejahilan kami dan bantulah kami agar diberi kekuatan untuk mengubah diri kami agar dapat kami merasai nikmatnya cinta pada Mu, syahdunya rindu untuk menemui Mu, khusyuknya solat menghadap Mu, indahnya beribadat untuk Mu, mensyukuri setiap nikmat Mu, sabar atas segala ujian dan kaffarah darimu serta ikhlas dalam menerima apa pun jua ketentuan akhir Mu. Ameen.