Tuesday, February 16, 2010

Siri Sirah Nabawiyah: Bahagian 01

Bersempena pada bulan Rabiul-Awwal kali ini, kami akan paparkan Siri Sirah Nabawiyah yang akan memuatkan kisah-kisah terpilih dari sejarah kehidupan Rasulullah SAW.

Sumber utama siri ini dipetik dari Kitab Ar-Rahiq al-Makhtum: Bahts fi as-Sirah an-Nabawiyah 'ala Sohibiha Afdholas-Solatu was-Salam, karangan Syeikh Safiyyur-Rahman al-Mubarakfuri. Kitab-kitab sirah lain turut menjadi rujukan.

Bahagian 01: Nasab Keturunan Rasulullah SAW

Nasab keturunan Rasulullah SAW adalah seperti berikut:
MUHAMMAD (SAW) bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib (nama sebenarnya adalah Syaybah) bin Hashim (‘Amru) bin Abdu Manaf (al-Mughirah) bin Qusay (Zayd) bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu-ay bin Ghalib bin Fihr (yang digelar dengan gelaran Quraish dan dinisbahkan kabilah Quraish) bin Malik bin Nadhr (Qays) bin Kinanah bin Khuzaymah bin Mudrikah (‘Amir) bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin ‘Adnan.

Keluarga Rasulullah SAW dikenali sebagai keluarga Hashimiy, dinisbahkan kepada moyang Baginda, Hashim.

Hashim bertanggungjawab mengendalikan urusan siqayah (minuman ketika haji) dan rifadah (makanan jemaah haji) serta merupakan orang pertama yang memberikan tharid (bubur roti) kepada jemaah haji.

Nama sebenar beliau ialah ‘Amru. Digelar Hashim kerana beliau memecahkan (hashm) roti untuk dibuat tharid dan dijamu kepada jemaah haji.

Syaybah (uban) merupakan nama sebenar 'Abdul Muttalib kerana terdapat rambut putih di kepalanya. Beliau telah mewarisi tugas bapanya selepas bapanya meninggal dunia. Hashim meninggal dan dikebumikan di Ghazzah (Gaza), Palestin.

‘Abdul Muttalib mempunyai 10 orang anak lelaki iaitu: al-Harith, az-Zubayr, Abu Talib, Abdullah, Hamzah, Abu Lahab, al-Ghaydaq, al-Miqwam, Saffar, dan al-‘Abbas.

Beliau turut mempunyai 6 orang anak perempuan iaitu al-Baydha' (Ummul Hakim), Barrah, ‘Atikah, Safiyyah, Arwa dan Umaymah.

Abdullah dan Abu Talib merupakan adik beradik seibu sebapa. Ibu mereka bernama Fatimah binti ‘Amru bin ‘A-iz bin ‘Imran bin Makhzum bin Yaqzah bin Murrah.

Ada pendapat yang menyatakan nama sebenar Abu Talib ialah Imran, manakala pendapat yang lain mengatakan Abdul Manaf.

Abdullah merupakan anak ‘Abdul Muttalib yang terbaik; yang paling sopan dan disayangi.

Beliau dinikahkan dengan Aminah binti Wahab bin Abdu Manaf bin Zuhrah bin Kilab yang dianggap wanita Quraish paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Aminah dipilih sendiri oleh 'Abdul Muttalib.

Putera-puteri Rasulullah SAW pula adalah seramai 7 orang. 6 dariapadanya dilahirkan oleh Ummul-Mukminin Khadijah binti Khuwailid r.a. iaitu al-Qasim, Zaynab, Ruqayyah, Ummu Kalthum, Fatimah, dan Abdullah.

Seorang lagi putera Baginda, Ibrahim dilahirkan oleh Ummul-Mukminin Mariah al-Qibtiyah r.a. Kesemua putera Baginda meninggal semasa kecil.

Puteri-puteri Baginda pula sempat berhijrah, namun semuanya meninggal sebelum Baginda wafat, kecuali Fatimah r.a. yang meninggal 6 bulan kemudian.

Diriwayatkan oleh al-‘Abbas bin ‘Abdul Muttalib, katanya: Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya Allah menciptakan makhlukNya lalu dijadikan aku yang terbaik antara kumpulan-kumpulan makhluk dan yang terbaik antara dua kumpulan.

Kemudian Allah memilih kabilah-kabilah lalu dijadikan aku daripada kabilah yang terbaik.

Kemudian Allah memilih keluarga-keluarga lalu dijadikan aku daripada keluarga mereka yang terbaik, maka akulah yang terbaik jiwanya dan keluarganya di kalangan mereka.”


(Riwayat at-Tirmizi, Bab Kelebihan Nabi SAW, Jld. 2, m.s. 201)


[Ikuti bahagian seterusnya: Rasulullah Di Zaman Kanak-kanak]