Bulan Safar 1431 telah pun sampai ke penghujungnya. Kini tiba bulan yang dinanti-nantikan oleh para pencinta Rasulullah SAW.
Ahlan wa sahlan Ya Rabiul-Awwal!
Sebelum kita berbicara mengenai kemuliaan Baginda sebagaimana lazimnya apabila tiba Rabiul-Awwal, marilah kita menyingkap sebentar tabir sejarah yang merakamkan peristiwa-peristiwa di bulan Safar.
- 26hb, Tahun Pertama Hijrah / 12 Sep 622 – Mesyuarat di Darun-Nadwah, ketua-ketua musyrikin Makkah bersetuju dengan cadangan Abu Jahal ('Amru bin Hisham) untuk membunuh Rasulullah SAW.
- 27hb, Tahun Pertama Hijrah - Rasulullah SAW keluar dari rumah untuk berhijrah. Baginda tiba di Quba pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal 01 / 23 Sept. 622, dan memasuki kota Yathrib (Madinah) pada hari Jumaat 12 Rabiul Awwal 01.
- Tahun Ke-2H / Ogos 623M - Ghazwah (Operasi) al-Abwa’ / Waddan ~ Rasulullah SAW bersama 70 orang Muhajirin mara ke Waddan bertujuan menyekat rombongan dagang Quraish, namun tidak menemui apa-apa.
- Tahun Ke-2H - Baginda mengadakan perjanjian damai dengan Amru bin Mukashsha ad-Damriy (Ketua Bani Damrah).
- Tahun Ke-3H - Peperangan Dzi Amr ~ Rasulullah SAW bersama 450 orang pasukan Muslimin menggempur Dzi Amir. Tentera Bani Tsa'labah dan Muharib terlebih dahulu bertempiaran lari setelah rancangan mereka menyerang Madinah dihidu tentera Muslimin.
- Safar Tahun Ke-4H - Tragedi ar-Raji' ~ 10 orang sahabat diketuai oleh Marthad bin Abu Marthad al-Ghanawi r.a. diutus kepada Qabilah 'Adal & Qarah.
Rombongan mereka meminta agar diutus guru agama dan Al-Quran dari Rasulullah SAW, namun mereka semua mereka telah dikhianati.
Rombongan tersebut telah meminta pertolongan penduduk Hudayl yang membawa hampir 100 orang pemanah.
8 orang sahabat terbunuh di kawasan berhampiran mata air ar-Raji'.
Dua daripada mereka, Khubayb bin 'Adiy r.a. dan Zayd bin ad-Dathinah r.a., ditangkap, dijual dan dibunuh di Makkah.
Dalam hadith sahih disebut bahawa Khubayb merupakan perintis yang menunaikan solat sunat 2 rakaat sebelum dibunuh.
Beliau dibunuh oleh 'Uqbah bin al-Harith, sebagai membalas dendam kerana bapanya dibunuh oleh Khubayb dalam Perang Badar.
Zayd pula dibunuh oleh Safwan bin 'Umayyah sebagai membela kematian bapanya. - Safar Tahun Ke-4H - Tragedi Bir Mau'nah ~ Kes yang serupa dengan Tragedi ar-Raji', kali ini melibatkan 70 orang sahabat Rasulullah SAW.
Munzir bin 'Amru r.a. dilantik mengetuai rombongan tersebut yang terdiri dari para sahabat yang terhormat, pemimpin-pemimpin kaum dan yang mahir tentang al-Quran.
Mereka dihantar untuk berdakwah di Najd setelah mendapat jaminan keselamatan dari Abu Barra' ('Amir bin Malik).
Setibanya di Bir Ma'unah, Haram bin Milhan diutus kepada 'Amir bin Tufayl untuk menyampaikan surat Rasulullah SAW.
'Amir tidak langsung melihat surat tersebut, bahkan mengarahkan Haram ditikam dengan tombak dari belakang.
Kemudian 'Amir mengerahkan kaumnya dari Bani 'Amir untuk membunuh para sahabat yang lain tetapi mereka enggan disebabkan jaminan Abu Barra'.
'Amir kemudian menyeru Bani Sulaym untuk melakukan pengkhianatan tersebut. 2 orang sahabat terselamat dalam tragedi itu.
Ka'ab bin Zayd bin an-Najjar berpura-pura mati dan selamat. Ka'ab gugur syahid dalam Perang Khandaq.
'Amru bin Umayyah ad-Damriy pula ditawan kerana ketika itu sedang menggembala kambing rombongan Muslimin. Tetapi setelah 'Amru menerangkan yang dia berasal dari kabilah Mudar, dia dibebaskan.
'Amru pulang ke Madinah dan menceritakan tragedi tersebut kepada Rasulullah SAW.
Kesedihan mencengkam Baginda akibat tragedi tersebut dan Rasulullah SAW mendoakan kecelakaan (Qunut Nazilah) pada solat Subuh untuk pengkhianat dan pembunuh para sahabat Baginda selama 30 pagi. - Tahun Ke-7H - Pembukaan Kota Khaybar ~ Para pengkhianat Madinah, iaitu orang Yahudi bersarang dan berkomplot di Khaybar serta berterusan berusaha memerangi dan menghapuskan umat Islam.
Mereka mengkhianati perjanjian damai dengan Rasulullah SAW, bahkan bersekutu dengan Quraisy Makkah dan Bani Ghatfan dalam Perang Ahzab memerangi Rasulullah SAW.
Mereka turut mencerca dan menghina Rasulullah SAW dan umat Islam sebagai lambang keangkuhan dan pengkhianatan mereka.
Selepas Perjanjian Hudaibyah dimeterai pada tahun ke-6H, Rasulullah SAW bersama 1,400 orang rombongan Muslimin mula bergerak ke Khaybar pada akhir bulan Muharram, dan berjaya menakluknya pada bulan Safar. - Tahun Ke-7H - 'Aban bin Sa'id r.a. diutus Rasulullah SAW ke Najd mengetuai pasukan Muslimin bagi menyekat potensi serangan rompakan dan samun di Madinah ketika rombongan Muslimin berada di Khaybar
Demikianlah antara peristiwa dalam bulan Safar ketika hayat Rasulullah SAW. Semoga kita semua mengambil pengajaran di atas peristiwa-peristiwa tersebut dan menambahkan kecintaan kita kepada Baginda dan para sahabat r.a.