Friday, October 23, 2009

PROGRAM BELIA MABIMS TAHUN 2009

Jawa Barat, Indonesia- 19 - 24 Oktober 2009 / 30 Syawal - 5 Zulkaedah 1430 - Satu program Leadership Training Belia MABIMS telah diadakan bertempat di Ciater Subang, Provinsi Jawa Barat Indonesia. Program yang bertemakan Meningkatkan Kompetensi Kepimpinan dan Daya Saing Belia Dalam Menghadapi Persaingan Global ini diadakan bertujuan untuk berkongsi pengalaman berhubung pembangunan belia di kalangan negara-negara anggota, membincangkan isu-isu penyelesaian dalam menangani gejala sosial, memberi informasi mengenai aktiviti-aktiviti dakwah yang dilaksanakan oleh pertubuhan-pertubuhan belia serantau, di samping mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih erat di kalangan NGO belia yang mewakili negara-negara anggota MABIMS.


Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Ustaz Mohd Ajib bin Ismail(Pengacara Forum Perdana Ehwal Islam), Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kefahaman Islam, Bahagian Dakwah JAKIM, telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Pengalaman Pengembangan Organisasi Belia Berdasarkan Pengalaman di Negara Malaysia”. Turut serta ke program tersebut ialah Saudara Ann Wan Seng dari Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ustaz Ahmad Shahrom Zamri dari Bahagian Hadhari JAKIM, Ustaz Nasrul Hadi Rohani dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan saudara Noryzal Abidin yang mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga merupakan Timbalan Pengerusi GPTD.

Sepanjang 6 hari berada di sana, seramai 100 orang para peserta Program Belia MABIMS telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti kepimpinan seperti slot ''Outbound Leadership”, outdoor game, pembentangan kertas kerja, aktiviti dalam kumpulan, diskusi, ceramah umum dan pembentangan resolusi. Amat membanggakan, pertemuan Belia MABIMS pada kali ini turut dimeriahkan oleh penyertaan peserta di kalangan delegasi dari Afrika Selatan dan Thailand selain negara-negara anggota tetap MABIMS seperti Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.