Saturday, August 30, 2008

Briged Bakti dan Madinah Al-Nur



Saudara Jufitri bin Joha, Pengerusi GPTD telah dilantik menjadi Jawatankuasa Penaja Briged Bakti Kebangsaan. Briged Bakti merupakan sebuah pasukan pakaian seragam yang Islamik dan berpengkalan di Kelantan. Briged Bakti berhasrat menukarkan status Briged Bakti Kelantan kepada Briged Bakti Kebangsaan. Briged bakti juga berhasrat mendedahkan ahli-ahlinya kepada kerja-kerja khidmat sosial antarabangsa melalui GPTD.



Selain itu, saudara Jufitri juga telah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Modul Kompleks Madinah Al-Nur http://www.futureglobalnetwork.com/portal/). Kompleks Perkampungan An-Nur ini akan merupakan sebuah perkampungan Islam yang mendukung konsep hablumminallah wahablumminannas. Selain daripada membangunkan tempat kediaman, perkampungan ini akan juga menyediakan prasarana yang lengkap dan menzahirkan persekitaran yang kondusif untuk membolehkan orang Islam yang bermastautin di situ mendalami ilmu agama disamping menunaikan tuntutan fardu ain dan fardu kifayah bagi menjadi orang mukmin yang beriman dan bertakwa terhadap kebesaran Allah Subhanahuwataala.

GPTD juga telah ditawarkan untuk turut serta mengimarahkan kompleks ini dengan program-program pendakwah muda nusantara di masa akan datang. Projek ini dipengerusikan oleh Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman yang juga merupakan Pengasas GPTD.



Friday, August 29, 2008

GPTD di PAUIAM Nilai

"Mengikuti kebenaran, beramal dengan kebenaran, menyeru ke arah kebenaran, dan bersabar di atas kebenaran itu" - merupakan 4 elemen yang perlu disebatikan dengan diri umat Islam, khususnya yang menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah.

Perkara di atas dinyatakan oleh Sdr. Jufitri Joha, Pengerusi GPTD selaku ahli panel forum "Dakwah dan Gerakan Islam" yang dianjurkan oleh Kelab Perkim, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PAUIAM) Nilai.

Selain beliau, Sdr. Noryzal Zainal Abidin, Pengarah Unit Latihan dan Bimbingan GPTD turut menjadi panelis. Forum tersebut dipengerusikan oleh Ust. Mohd Basri Ahmad Shohimi , Ketua Biro Dakwah ABIM.

Forum tersebut antara lain turut mengupas berkenaan kepentingan mahasiswa untuk terjun ke masyarakat bagi membantu menangani gejala sosial.

Turut hadir ke forum ini ialah Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) GPTD. Pameran GPTD dan ABIM turut diadakan.

Wednesday, August 27, 2008

'Kemerdekaan dari Perspektif Islam' di UiTM Pahang

Pengerusi GPTD, Sdr. Jufitri Joha, telah menyampaikan ceramah bersempena sambutan bulan kemerdekaan Negara yang ke-51 di Jengka, malam tadi.

Ceramah yang bertajuk ‘Kemerdekaan dari Perspektif Islam’ itu telah disampaikan di Auditorium UiTM Pahang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari para pelajar.

Seramai lebih 300 orang pelajar telah menghadiri ceramah tersebut yang dianjurkan oleh Pusat Kefahaman dan Pemikiran Islam, UiTM Pahang.

Dalam ceramahnya, Sdr. Jufitri telah menerangkan maksud sebenar kemerdekaan, iaitu menolak perhambaan kepada manusia dan menyembah hanya kepada Allah S.W.T., serta mempunyai jiwa dan emosi yang bebas daripada pengaruh kebendaan, kegelapan dan kezaliman.

Beliau turut menyentuh peranan yang harus dimainkan oleh mahasiswa yang benar-benar memiliki jiwa merdeka. Menurutnya, mereka haruslah menggunakan segala kelebihan yang dimiliki untuk kembali menyumbang serta mambangunkan masyarakat tanpa memandang kepada perbezaan agama, bangsa mahupun ideologi politik.


Pihak GPTD juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang memberikan layanan yang sangat baik kepada kami.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menjemput GPTD ke kampus anda, sila hubungi Ketua Penyelaras GPTD, Sdr. Najmuddin di talian 016 – 323 5700 (pejabat) atau e-mel ke gptd_gpm@yahoo.com

(Lagi gambar di sini)

Ceramah "Kemerdekaan dari Perspektif Islam" di UiTM Jengka


Pengerusi Majlis


Para peserta khusyuk mendengar ceramah


Penceramah, Sdr. Jufitri


Peserta yang memenangi hadiah kuiz


Cendermata disampaikan oleh penganjur


Majlis ditangguhkan dengan alunan Asma-ul-Husna

Tuesday, August 26, 2008

Utusan Malaysia: Budaya Melayu Brunei Pengukuh Keislaman


RENCANA
Oleh NAJMUDDIN MOHD NAWI
(najm29@yahoo.com)


AZAN Subuh telah berkumandang. Kami berempat bergegas ke kenderaan pacuan empat roda milik keluarga Ali. En. Azam dan Ali telah pun menunggu di dalamnya. Sebaik sahaja saya menutup pintu, kenderaan yang kami naiki terus bergerak menuju masjid yang berdekatan.

“Belum pun pukul 5? Masih awal..” Saya melihat jam tangan, apabila merasakan tidur yang dinikmati belum cukup. “Awal rupa-rupanya solat Subuh di Borneo ni.”

Sebaik kami melangkah masuk ke ruang solat Masjid Kg. Pulaie, beberapa pasang mata tertumpu ke arah kami. Barangkali jemaah di sini perasan yang kami bukanlah ahli kariah masjid ini.

Salah seorang jemaah di dalam masjid tersebut menarik tangan Ali, barangkali bertanyakan asal kami. “Dari Semenanjung, orang Malaysia,” balas Ali. Saya hanya tersenyum.

Tidak lama kemudian, muazzin mengalunkan iqamah. Kami menunaikan solat Subuh bersama jemaah yang lain. Selesai solat, imam mengetuai zikir secara beramai-ramai. Sesudah berzikir dan berdoa, kami sempat bersalaman mesra dengan ahli kariah.

Dalam perjalanan pulang, sahabat saya bertanya kepada Ali, “Ada yang bertanya tentang kami?" Ali tersenyum. “Mereka bertanya, kamu semua dari mana? Saya jawab, dari Semenanjung, orang Malaysia.” Kami hanya mengangguk. Betul tekaanku, saya berkata dalam hati.

“Kamu semua tahu bagaimana mereka boleh cam?" giliran Ali pula bertanya kepada kami. “Mungkin sebab wajah kami?" Salah seorang dari kami meneka. “Barangkali. Tetapi sebenarnya, sebab kamu tidak berbaju Melayu lengkap atau berjubah.” Ali hampir tergelak. “Ada pula yang tidak berkopiah atau bersongkok. Berkemeja-T pula tu!” Ali ketawa, tidak mampu lagi menahan rasa geli hatinya.

Terpinga-pinga

Demikianlah pengalaman pertama saya menunaikan solat Subuh di Negara Brunei Darussalam. Keesokan harinya, kami memakai pakaian yang bersesuaian dengan budaya setempat untuk menunaikan solat.

Rasa aneh? Mungkin. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, apa jua pakaian asalkan menutup aurat dan bersih, akan dipakai untuk menunaikan solat, baik di masjid ataupun di rumah.

Akan tetapi, berlainan halnya dengan masyarakat di Brunei.

Sekiranya anda berpeluang ke Brunei, dapat dilihat, disiplin pakaian ketika solat amat dititikberatkan.

Kunjungan rasmi saya bersama pemimpin-pemimpin Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) ke Brunei baru-baru ini memberikan pengalaman yang membuka mata untuk dikongsikan bersama masyarakat kita.

Lazimnya, ketika solat, warga Brunei akan mengenakan baju Melayu lengkap atau dengan kain pelikat dan bersongkok. Jika tidak pun, mereka akan mengenakan jubah dan berserban atau berkopiah.

(Baca lanjut di sini)

Thursday, August 14, 2008

Jejak Rasul Ibn Batuttah



Bandar Utama, Selangor - 14 Ogos 2008 / 12 Syaaban 1429. Saudara Jufitri Joha, Pengerusi GPTD dan Saudara Noryzal Zainal Abidin, Pengarah Bahagian Latihan dan Bimbingan GPTD telah menghadiri Majlis Pelancaran Jejak Rasul Ibn Batuttah Tv3 untuk tayangan bulan Ramadhan ini. Ia merupakan siri ke-14 Jejak Rasul yang memfokuskan pengembaraan rohani Ibn Batuttah di 6 buah negara bermula di Maghribi sehingga ke Maldives.

Kehadiran ke majlis ini adalah jemputan dari Saudara Syed Akla yang merupakan penterjemah buku Rihlah Ibn Batuttah, penulis skrip Jejak Rasul Ibn Batuttah sekaligus Penasihat Kelab Ibn Batuttah GPTD.

Kelab Ibn Batuttah diiktiraf dalam majlis ini apabila nama kelab ini disebut ketika pengerusi majlis membacakan penghargaan kepada tetamu yang hadir termasuk tetamu kehormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kelab Ibn Batuttah akan terus digerakkan melalui perbincangan lanjut hari Isnin di Unisel bersama saudara Izwan Suhadak, Pengerusi Kelab Ibn Batuttah dan Ajk-Ajknya.



Monday, August 11, 2008

Pameran GPTD di UIAM Kuantan

Pada 9 Ogos 2008 yang lepas, Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) telah dijemput untuk mengadakan pameran GPTD di UIA Kuantan bersempena dengan Konvensyen Ketamadunan Malaysia dan Bahasa anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Seramai empat orang wakil daripada sekretariat GPTD dan Grup Sri Lanka telah hadir untuk menjayakan pameran sekaligus konvensyen tersebut. Dua buah kereta telah bertolak dari UIA Gombak menuju ke Kuantan kira-kira jam 7:30 pagi hari Sabtu tersebut dan tiba pada jam 10:30 pagi.

Konvensyen tersebut berlanjutan sehingga ke sebelah malam tetapi pameran GPTD hanya dibuka sehingga waktu petang. Pameran tersebut telah berjaya menarik beberapa keahlian baru dan brosur GPTD telah diedarkan.

Sunday, August 03, 2008

Bengkel Latihan & Pengurusan Organisasi (Siri 1)

Sesi debat

Program “Training of Trainers (T.O.T.): Bengkel Latihan & Pengurusan Organisasi (Siri 1)” telah diadakan di Pusat Latihan Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM (I.O.A.) Kok Lanas, Ketereh, Kelantan Darul Naim pada 1 hingga 2 Ogos 2008 bersamaan dengan 29 hingga 30 Rejab 1424H.

Program ini merupakan anjuran bersama Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Kelantan dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan.

Yang Di-Pertua ABIM Kelantan, Ust. Mohd Faisal Abdullah turut hadir bagi meninjau perjalanan program pada hari ke-2.

3 orang jurulatih bagi program ini ialah Sdr. Najmuddin Mohd Nawi (Timb. Pengerusi merangkap Ketua Penyelaras GPTD), Sdr. Mohd. Faizul Afzan Mamat (Pen. Setiausaha ABIM Kelantan merangkap Pengerusi Penaja GPTD Kelantan), dan Sdri. Nik Fatihah Nik Mohammad (Setiausaha III GPTD).

Seramai 27 orang peserta terdiri daripada para pelajar Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) Cawangan Kota Bharu, Institut Teknologi Darul Naim (ITD), Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian, dan Maahad Muhammadi Tumpat telah mengikuti bengkel ini.

Alhamdulillah, secara umumnya, kesemua peserta berpuas hati dengan bengkel ini. Bahkan, para peserta secara yakin menyatakan bahawa mereka kini lebih memahami tentang peranan masing-masing, bukan sekadar pelajar biasa. Hinggakan pasukan jurulatih digelar sebagai "jurutera kemanusiaan"!

Para peserta dijangka mengadakan ekspedisi Kembara Gunung Setong sebagai susulan untuk bengkel pertama ini.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Kelantan, Ust. Ahmad Tarmizi Mat Yussof. Pihak GPTD juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada ABIM Kelantan di atas kerjasama yang diberikan sepanjang program ini.

Tahniah diucapkan kepada pihak urus setia di atas kejayaan program tersebut walaupun berhadapan saat-saat yang mencabar. Kepada 27 orang peserta bengkel tersebut, selamat datang diucapkan, dan selamat menjadi sebahagian daripada keluarga GPTD!

Timb. YDP ABIM Kelantan dan para jurulatih bergambar bersama-sama para peserta program