Tuesday, August 26, 2008

Utusan Malaysia: Budaya Melayu Brunei Pengukuh Keislaman


RENCANA
Oleh NAJMUDDIN MOHD NAWI
(najm29@yahoo.com)


AZAN Subuh telah berkumandang. Kami berempat bergegas ke kenderaan pacuan empat roda milik keluarga Ali. En. Azam dan Ali telah pun menunggu di dalamnya. Sebaik sahaja saya menutup pintu, kenderaan yang kami naiki terus bergerak menuju masjid yang berdekatan.

“Belum pun pukul 5? Masih awal..” Saya melihat jam tangan, apabila merasakan tidur yang dinikmati belum cukup. “Awal rupa-rupanya solat Subuh di Borneo ni.”

Sebaik kami melangkah masuk ke ruang solat Masjid Kg. Pulaie, beberapa pasang mata tertumpu ke arah kami. Barangkali jemaah di sini perasan yang kami bukanlah ahli kariah masjid ini.

Salah seorang jemaah di dalam masjid tersebut menarik tangan Ali, barangkali bertanyakan asal kami. “Dari Semenanjung, orang Malaysia,” balas Ali. Saya hanya tersenyum.

Tidak lama kemudian, muazzin mengalunkan iqamah. Kami menunaikan solat Subuh bersama jemaah yang lain. Selesai solat, imam mengetuai zikir secara beramai-ramai. Sesudah berzikir dan berdoa, kami sempat bersalaman mesra dengan ahli kariah.

Dalam perjalanan pulang, sahabat saya bertanya kepada Ali, “Ada yang bertanya tentang kami?" Ali tersenyum. “Mereka bertanya, kamu semua dari mana? Saya jawab, dari Semenanjung, orang Malaysia.” Kami hanya mengangguk. Betul tekaanku, saya berkata dalam hati.

“Kamu semua tahu bagaimana mereka boleh cam?" giliran Ali pula bertanya kepada kami. “Mungkin sebab wajah kami?" Salah seorang dari kami meneka. “Barangkali. Tetapi sebenarnya, sebab kamu tidak berbaju Melayu lengkap atau berjubah.” Ali hampir tergelak. “Ada pula yang tidak berkopiah atau bersongkok. Berkemeja-T pula tu!” Ali ketawa, tidak mampu lagi menahan rasa geli hatinya.

Terpinga-pinga

Demikianlah pengalaman pertama saya menunaikan solat Subuh di Negara Brunei Darussalam. Keesokan harinya, kami memakai pakaian yang bersesuaian dengan budaya setempat untuk menunaikan solat.

Rasa aneh? Mungkin. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, apa jua pakaian asalkan menutup aurat dan bersih, akan dipakai untuk menunaikan solat, baik di masjid ataupun di rumah.

Akan tetapi, berlainan halnya dengan masyarakat di Brunei.

Sekiranya anda berpeluang ke Brunei, dapat dilihat, disiplin pakaian ketika solat amat dititikberatkan.

Kunjungan rasmi saya bersama pemimpin-pemimpin Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) ke Brunei baru-baru ini memberikan pengalaman yang membuka mata untuk dikongsikan bersama masyarakat kita.

Lazimnya, ketika solat, warga Brunei akan mengenakan baju Melayu lengkap atau dengan kain pelikat dan bersongkok. Jika tidak pun, mereka akan mengenakan jubah dan berserban atau berkopiah.

(Baca lanjut di sini)