Wednesday, June 28, 2006

Misi GPTD di Laos 24 Jun - 8 Julai 2006


24 Jun - Kuala Lumpur - GPTD Laos telah berlepas ke Vientiane ibu negara Laos. Misi yang masuk ke fasa ketiga ini iaitu projek PERENTAS, diketuai oleh saudara Mohd Khairudin Mohd Nor dan turut disertai oleh 4 orang sukarelawan lagi iaitu saudari Ameera, Munirah, Sumayah dan saudara Ridhwan.

Di sini disertakan laporan serba sedikit perkembangan yang berlaku setibanya mereka di Laos :-

Assalamualaikum W.B.T!

Salam perantauan di Laos.
Kami di sini alhamdulillah, walaupun ketiga-tiga sukarelawan wanita cepat mengah mengayuh basikal, (mungkin sebab dah lama tak mengayuh basikal) yang menyebabkan perjalanan aktiviti kami agak perlahan, namun banyak aktiviti dan perkembangan langkah-langkah awal sebelum kami mulakan sesi pebelajaran telah dapat dicapai.

Sehari suntuk masa kami dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Sebelah paginya selepas subuh, kami terus berkemas untuk berpindah dari hotel sederhana (USD22 untuk 2 bilik) kepada hotel yang termurah di Vientiane (USD10 untuk 2 bilik). Kemudian, selepas mandi kami berjalan kaki ke Morning Market (10 minit perjalanan) untuk membeli 5 buah basikal. Setelah tawar-menawar, kami berjaya mengurangkan harga basikal daripada RM130 kepada RM119 untuk sebuah basikal.

Selepas 1 ½ jam di kedai basikal menunggu kelima-lima basikal kami siap dipasang, kami menuju ke Pejabat Kedutaan untuk melaporkan diri dan berbincang serta membentangkan projek PERENTAS Fasa-3. Banyak nasihat dan pandangan yang telah kami dapat dari Duta Besar Malaysia di sana (En. Ahmad Rasidi Hazizi) malah kami dilayan dengan baik.

Selesai perbincangan panjang dengan Duta Besar dan Setiausaha Ketiganya (Kak Sakinah) pihak kedutaan berbesar hati untuk membantu menyediakan kenderaan (Mercedes Benz & Honda Accord) dan menghantar kami ke kampung Noung Boon Thong untuk membincangkan projek pendidikan dan juga khusus jenazah di Masjid Azhar. Perbincangan bersama Imam Yahya (ketua penduduk Muslim Kemboja di Laos) dan pimpinan Islam yang lain mendapat kata sepakat untuk memberi ruang kepada kami melaksanakan projek ini serta menyambung semula aktiviti pembelajaran sepertimana yang telah dijalankan pada projek fasa ke2.

Kemudian kami dibawa ke Masjid Jemia (India Muslim) untuk membincangkan hal yang sama tentang projek ini dan sekali lagi usul kami disambut hebat. Akan tetapi tiada kata putus dapat dicapai kerana kami kesuntukan masa di mana Duta Besar sedang menunggu kami di kediamannya untuk jamuan makan tengahari. Bukan sahaja Duta Besar dan keluarganya malah kesemua pegawai tertinggi Kedutaan Malaysia turut sama meraikan jamuan tengahari itu.

Selepas jamuan makan tengahari yang disusuli dengan taaruf lanjut dan perkongsian pengalaman yang mengambil masa lebih 2 jam, kami solat di kediaman Duta Besar dan pergi ke pejabat Kedutaan Malaysia untuk mengambil semula basikal-basikal supaya kami dapat berkayuh pulang ke hotel untuk bersiap-siap sebelum bertemu dengan Timbalan Presiden Muslim Association Vientiane Lao (Haji Somboune Khan) pada pukul 6 petang di restorannya (Aziz Restaurant) untuk menyambung perbincangan tengahari tadi di Masjid Jemia, dan akhirnya kata putus terhasil.

Maka keputusannya, sebelah pagi 8am-10am, kami akan mengajar di Masjid Azhar, disambung pula kelas sesi petang 2pm-4pm, kemudian kami akan mengajar di Masjid Jemia pada pukul 5pm-6pm. Kelas akan bermula pada esok hari. Pihak Muslim Association Vientiane Lao akan menyediakan pengangkutan untuk membawa anak-anak murid di kalangan India Muslim yang tinggal di sekitar Vientiane ke Masjid Jemia untuk mengikuti kelas Al-Qur’an dan Fadhu ‘Ain. Tambahan pula, kami diminta untuk mengajar tentang asas2 agama Islam kepada beberapa orang saudara baru di sini.

Bersama-sama dalam perbincangan itu ialah En. Anjum, seorang ahli perniagaan yang mempunyai kilang pakaiannya sendiri. Sejurus selepas perbincangan di Aziz Restaurant, kami dibawa menziarahi kilang pakaian tempat En Anjum bekerja sebagai pengurus kilang dengan menaiki keretanya. Kemudian kami pulang semula ke Aziz Restaurant untuk mengambil semula basikal kami dan mengayuh sejauh 7 kilometer untuk pergi ke rumah En Anjum (di Ponthan). Di rumahnya kami berpeluang menziarahi keluarganya serta anak ketiganya yang baru semingu dilahirkan dan juga dijamu dengan hidangan makan malam. Sambil makan, kami berkenal-kenalan dan bercerita tentang projek PERENTAS Fasa-3. En Anjum menawarkan pelbagai bantuan untuk menjayakan projek ini termasuklah penginapan dan juga perkhidmatan kenderaan. Kami sungguh terharu dengan sikap pemurah beliau dan merasakan kerja-kerja kami semakin dipermudahkan. Allahu akhbar!!

Satu pengalaman yang menarik, apabila basikal salah seorang sukarelawan wanita telah pancit lebih kurang 100 meter selepas kami keluar dari rumah En. Anjum. Keputusan bersama, kami berjalan kaki sambil menolak basikal masing-masing yang mengambil masa 1 ½ jam untuk tiba di hotel. Sesungguhnya Allah maha kaya dan Dia lebih mengetahui. Dalam kami kepenatan mengayuh basikal sejauh 7 kilometer pergi ke rumah En Anjum, kami ditambah dengan satu lagi ujian yang menggandakan kepenatan tadi. Alhamdulillah, tiada di antara kami yang mengeluh malah menyambut ujian ini dengan yakin ada hikmah di sebaliknya. Sungguh letih tetapi seronok dan mencabar.

InsyaAllah, esok kami akan mula mengajar di kedua-dua masjid berbekalkan silibus dan modul-modul yang telah kami bawa dari Malaysia. Esok juga, Kak Normah (IOA)akan tiba bersama rakan-rakan senior ABIM yang lain untuk membantu projek ini terutamanya semasa khusus pengurusan jenazah.

Sekian sahaja laporan dari kami di Vientiane, wassalam!

Laporan oleh:-
MOHD KHAIRUDIN BIN MOHD NOR
Penyelaras GPTD-ABIM,
Ketua grup PERENTAS-GPTD