"Sinar Islam kembali bercahaya di bumi Andalus" - TAHUN 2003 menyaksikan sejarah yang tidak dapat dilupakan oleh umat Islam selatan Sepanyol khususnya dan umat Islam di seluruh dunia amnya apabila dunia menyaksikan pembukaan Masjid Jami’ Granada.
Ia berlaku pada musim panas tahun itu. Pembukaan masjid itu bukan sahaja disaksikan oleh hadirin yang hadir bahkan seolah-olah turut disaksikan Istana Alhambra, istana peninggalan kerajaan Islam Nasriyyah yang bertentangan dengan masjid itu dan banjaran Sierra Nevada yang melatari pemandangan semula jadi kota Granada.
Tarikh keramat 10 Jamadilawal 1424 Hijrah bersamaan dengan 10 Julai 2003 adalah hari pembukaan masjid yang penuh dengan makna tersendiri itu. Ia sudah pasti memberi petanda dan isyarat jelas tentang pengembalian semula missing link selama 500 tahun warisan kegemilangan pemerintahan Islam yang pernah menyuburi setiap sfera perusahaan dan aktiviti manusia di bumi Andalus.
Mengimbas kembali tahun 1492, iaitu kira-kira 500 tahun yang lampau, selain peristiwa Columbus menemui benua Amerika, ia merupakan tahun umat Islam berdukacita dengan kejatuhan kerajaan Islam kecil terakhir di kota Granada yang memperlihatkan berakhirnya seluruh pemerintahan Islam di bumi Andalus dan Sepanyol. Sultan terakhir Dinasti Nasriyyah, Sultan Abu Abdillah Muhammad XII (Boabdil) terpaksa tunduk kepada Ratu Isabella dan Ferdinand serta menyerahkan maruah kerajaan Islam terakhir kepada pemerintah Kristian tersebut.
Sultan Abu Abdillah menangisi hal tersebut, lantas ditegur oleh ibunya. Kata ibunya: “Janganlah engkau menangisi kejatuhan kerajaan ini seperti seorang perempuan kerana engkau gagal mempertahankan maruah pemerintahan kerajaan Islam seperti seorang lelaki.”
Tegas
Selepas penyerahan tragis ini berlaku, cahaya Islam terus-menerus dipudarkan di Sepanyol dan Eropah. Umat Islam dipaksa menukar agama mereka kepada Kristian, dibunuh, dicaci dan dihalau dengan penuh kehinaan dari bumi Andalus. Peristiwa yang disebut sebagai Inquisition itu berterusan selama 250 tahun semata-semata untuk memastikan Islam dan umatnya tidak akan kembali semula ke bumi bersejarah itu.
Selepas 500 tahun dialog itu berlaku antara Sultan Abu Abdillah dan ibunya, Islam kembali menampakkan cahaya surianya dengan pembukaan Masjid Jami’ Granada.
Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) dari Malaysia dalam eksplorasi dakwahnya ke bumi Andalus baru-baru ini tidak melepaskan peluang menjadi saksi kepada tersergamnya semula masjid yang dirindui oleh penduduk Islam di selatan Sepanyol itu.
Projek yang dinamakan Eksplorasi Sepanyol - Amerika Latin itu bertujuan untuk mengkaji kehebatan serta jatuh dan bangun tamadun Islam di Sepanyol supaya dapat dirumus untuk dijadikan pengajaran berharga bagi generasi muda Islam. Selain mempraktikkan bahasa Sepanyol yang dipelajari di Malaysia, projek itu juga bertujuan menyambung serta membina hubungan silaturahim dengan penduduk Islam di Granada dan mengkaji sejarah Sepanyol sebagai penjajah benua Amerika Latin.
Projek Eksplorasi itu disertai oleh tujuh aktivis muda GPTD termasuk dua orang wakil GPTD kawasan Eropah dan Amerika. Projek itu juga mendapat kerjasama padu daripada Global Peace Mission (GPM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Pembukaan Masjid Jami’ Granada atau dalam bahasa Sepanyol disebut Mezquita de Granada itu tiga tahun yang lepas turut dihadiri umat Islam dari serata pelosok dunia seperti dari Romania, Turki, Burkina Faso, Malaysia, Jerman, Senegal, England, Belanda dan Amerika Syarikat yang mahu menyaksikan syiar Islam kembali tertegak di bumi Sepanyol. Ini sesuai dengan firman Allah: “Demikianlah (perintah Allah) dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul daripada ketakwaan hati.” (al-Hajj: 32)
Delegasi Malaysia pada ketika itu diwakili oleh Datuk Dr. Ismail Ibrahim, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Ismail sekarang merupakan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dan Duta Malaysia ke Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Pembinaan dan pembukaan masjid itu telah dibiayai oleh Dr. Sultan Bin Mohamad Al-Qasimi, pemerintah Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selaku penaja utama. Majlis pembukaan itu turut diserikan dengan seminar yang bertemakan Islam di Eropah. Turut hadir ialah Datuk Bandar Granada, Jose Torres Hurtado.
Penulis rasa bersyukur dan terharu kerana dapat menyaksikan sendiri Masjid Jami’ Granada yang memakan masa selama 21 tahun untuk disiapkan. Selepas menerima pelbagai rintangan dan tentangan daripada masyarakat setempat, akhirnya masjid itu siap juga sepenuhnya.
Tambah membanggakan penulis apabila mendapat tahu bahawa Malaysia menjadi antara penyumbang utama di samping UAE, Maghribi dan Libya ke arah merealisasikan pembinaan masjid itu.
Peluang keemasan untuk sujud menyembah Allah bersama-sama masyarakat Islam setempat dalam solat Jemaah tidak dilepaskan begitu sahaja selepas mendengar azan dikumandangkan oleh muazin masjid.
Sebelum ini, penulis hanya berkesempatan melihat masjid itu dalam CD yang diusahakan oleh Mohd Azmil Mustafa, tetapi sekarang penulis menyaksikannya dengan mata sendiri.
Selepas mengambil gambar kenang-kenangan dan membuat sedikit penggambaran dokumentari untuk simpanan arkib GPTD, penulis dan sahabat GPTD yang lain cuba memperhalusi seni reka bentuk fizikal dan pengisian kerohanian yang tersurat dan yang tersirat di dalamnya.
Masjid itu terdiri daripada tiga komponen utama iaitu taman, dewan solat dan pusat pengajian ilmu-ilmu Islam.
Dari taman masjid itu dapat dilihat pemandangan indah Lembah River Darro yang terbentang di bawahnya. Istana Alhambra yang tersergam indah di atas Gunung Sabika menghiasi pemandangan setentang dan selorong dengan masjid itu seolah-olah mengukiri panorama kemuncak Sierra Nevada.
Di taman itu juga terdapat dua air pancut mozek Andalus klasik yang dikelilingi pepohon dan tumbuhan spesies Mediterranean seperti pain, zaitun, delima, oren dan lemon.
Ruang dewan solat di dalamnya di bina mihrab yang menyerupai mihrab Masjid Agung Cordoba yang kini telah bertukar menjadi gereja besar. Ukiran kalimah ayat suci al-Quran di atas panel kayu cedar (sejenis pohon) yang berasal dari Gunung Atlas menghiasi dewan solat masjid.
Terdapat juga jubin marmar disalut dengan pelbagai warna yang sama seperti yang terdapat di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis. Tingkap kiblat adalah replika daripada Masjid Biru di Istanbul manakala air pancut yang berada di halaman dalam bersebelahan dengan dewan solat dibina oleh pakar pertukangan dari Fez, Maghribi menurut seni reka bentuk Andalus yang diasaskan ribuan tahun silam.
Menara masjid yang digunakan oleh Muazin untuk melaungkan azan lima kali sehari dibina mengikut seni bina asli Albaicin. Di bawah cucur atap menara tertera tulisan kufi tentang deklarasi syahadah umat Islam iaitu ‘Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasulullah’.
Audio visual
Pusat pengajian ilmu-ilmu Islam dalam masjid itu mempunyai perpustakaan yang dilengkapi kitab-kitab Islam dalam bahasa Arab, Sepanyol, Inggeris dan bahasa-bahasa lain serta dilengkapi juga kemudahan audio visual. Pusat itu mempunyai dewan persidangan yang mampu menampung kapasiti 140 orang serta ruang untuk pameran.
Ruang menyambut tetamu adalah di tingkat bawah iaitu di foyer utama. Di situ juga terdapat kedai buku, kraftangan serta cenderahati masjid dijual. Ketika penulis mengunjungi pusat pengajian tersebut, kelas kupasan kitab hadis Riyadhus Solihin dalam bahasa Sepanyol diadakan pada sebelah malamnya.
Walaupun penulis berasa kagum dengan seni bina Masjid Jami’ Granada, apa yang lebih membanggakan adalah tandas dan tempat wuduk masjid dijaga dengan begitu bersih dan baunya pun wangi. Ini merupakan perkara asas dalam Islam yang begitu menitikberatkan kebersihan dalam kehidupan seharian.
Ia juga merupakan petanda awal Islam akan bangkit semula di bumi berkat itu kerana persoalan asas telah pun diselesaikan sejak dari awal lagi. Selain itu, ia juga boleh memberi gambaran kepada para pelancong bukan Islam bahawa Islam bukan sahaja hebat dari segi seni dan reka bentuknya, tapi hebat dari segi kebersihan dan kekemasannya.
Dalam kesejukan kota Granada pada musim sejuk, penulis dapat merasakan Masjid Jami’ Granada adalah manifestasi Masjid Agung Nabawi pada zaman Rasulullah s.a.w. masih hidup. Masjid itu bukan sahaja menjadi pusat ibadah khusus solat fardu berjemaah tetapi juga berfungsi sebagai pusat komuniti, pusat intelektual, pusat pendidikan, pusat kebajikan bahkan juga berperanan sebagai hospital, hostel untuk pengembara, tempat mandian umum dan lain-lain lagi.
Di masjid itu juga didirikan solat Jumaat serta dipenuhi pelbagai aktiviti kerohanian seperti bacaan al-Quran harian, kelas al-Quran, fikah dan syariah untuk semua lapisan umur, seminar, kelas bahasa Arab, pameran dan kursus ilmu-ilmu Islam dan warisannya di Sepanyol. Masjid ini juga menghulurkan bantuan khususnya kepada pengembara jika terdapat sebarang masalah dalam musafir mereka.
Pada akhir kunjungan, walaupun kami tidak sempat bertemu dengan Pengarah Masjid, Sheikh Abdul Hasib Castineira, namun penulis berpeluang berbual dan menemu ramah pegawai masjid itu, seorang pemuda bernama Mohamad Ziam yang berasal dari Maghribi.
Penulis dan rakan-rakan merakamkan kata-kata beliau yang menceritakan sejarah pembukaan masjid tersebut. Kami rasa gembira dapat bertemu dengan beliau yang begitu ramah serta dapat membuat jaringan ukhwah antara pemuda Islam Malaysia dengan pemuda Islam Sepanyol. Jaringan ukhwah ini adalah untuk program lanjutan GPTD pada masa depan kerana azam penulis dan rakan-rakan adalah untuk kembali semula ke bumi Andalus.
Untuk mengetahui perkembangan GPTD dan Grup GPTD Sepanyol - Amerika Latin, pembaca boleh melayari laman web GPTD di http://gptd.blogspot.com atau http:gptd-spain.blogspot.com.
Oleh: Jufitri Joha