Manchester, 2-4 April/17-19 Rabiulakhir - GPTD Eropah baru sahaja selesai menjalankan Program Rekreasi Ilmu (PRI) di sini dengan menampilkan panelis-panelis berwibawa seperti Sheikh Dr. Afifi al-Akiti daripada Universiti Oxford dan Brother Rachid Yassine daripada Gabungan Muslim Perancis (CMF) yang membicarakan tentang soal ketamadunan dan isu semasa umat Islam di Eropah dan Afrika. Antara dapatan menarik dari perbincangan adalah, keperluan untuk menguasai tradisi keilmuan Islam dan Barat dengan menguasai alatnya iaitu bahasa Greek dan Latin. Ini menepati objektif GPTD yang amat menggalakkan aktivisnya menguasai bahasa-bahasa asing yang strategik.
PRI juga mencapai kata sepakat untuk terus menggerakkan GPTD di Eropah dengan berpusat di Glasgow dan Paris. GPTD seterusnya akan bergerak ke Paris bersama program GPTD France yang dijadualkan berlangsung pada 15-16 Mei ini InsyaAllah.