Setapak- 22 November 2009 / 6 Zulhijjah 1430 - Satu perlawanan persahabatan diadakan diantara Grup Ashabul Kahfi dan grup pemain Cina Setapak(Non-Muslim). Sepakmula di lakukan pada jam 12 tengah hari dan selesai sejam selepas itu. Permainan seimbang ditonjolkan oleh kedua-dua pasukan ini , diselang-selikan dengan rehat sebanyak 2 kali selama 2 minit. Komitmen dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan merancakkan lagi perlawanan. Sikap saling tidak mengalah mencatatkan pertambahan jaringan walaupun diakhir-akhir perlawanan . Satu perlawanan yang menarik dan Alhamdulillah memuaskan hati semua pihak. Disamping adab ukhuwwah yang ditampil beserta peraturan permainan yang dilaksanakan sebaiknya, menjadikan keseluruhan perjalan perlawanan persahabatan ini berjalan lancar.
Team Futsal Ashabul Kahfi (AsKa) ini disertai oleh saudara Saiful Islam selaku ketua dan dibantu oleh saudara Hamzah serta saudara Azamuddin yang bertindak selaku pengurus pasukan. Beberapa ahli AsKa yang lain tidak dapat turut serta memandangkan komitmen masing-masing di Universiti. Pasukan ini diperkuatkan lagi dengan penyertaaan saudara Abdur Rahman dan saudara Taqiyuddin yang mana kedua-duanya adalah bekas pelajar Darul Quran bahagian Persijilan. Turut menguatkan pasukan AsKa adalah Saudara Zakaria merupakan Lepasan Diploma Darul Quran dan pemain yang paling muda dalam pasukan adalah Saudara Jalaluddin berumur 16 tahun yang kini menuntut di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah Kelantan.
Perlawanan persahabatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada kita bagaimana untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan saudara bukan Islam. Menonjolkan akhlaq dan semangat berpasukan dalam bentuk yang positif. Dan ia adalah salah satu bentuk dakwah bilhal yang lebih efektif dalam memberikan kesan kepada masyarakat terutamanya golongan bukan Islam. Bukan hanya menanti program berbentuk formal untuk kita sampaikan mesej 'Rahmatan Lil Alamin' ini kepada masyarakat kita. Semoga usaha dakwah yang sedikit ini memberikan inspirasi kepada saudara-saudara seislam kita di luar sana untuk turut memberikan komitmen dan sumbangan dalam memartabatkan semula Islam pada tempat asalnya. Semoga selepas ini, pelbagai lagi pogram yang berbentuk formal mahupun informal dapat kita sama-sama jayakan InsyaAllah