Alhamdulillahirabbilla’lameen, Sesungguhnya segala puji-pujian selayaknya hanya untuk Allah Rabbul Jamil. Hanya dengan keizinanNya jua lah peluang diberikan untuk mengikuti rombongan jemputan kerajaan Negara China dapat dipenuhi dengan keadaan selamat sebelum, semasa dan selepas program dilaksanakan.
Pada 18 – 25 Jun 2008, pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telah menerima jemputan dari All China Youth Federation untuk mengikuti Program “The 2008 China-ASEAN Youth Camp”. Ianya bertempat di Nanning, Qinzhou, Beihai dan Guangzhou di China.
Program ini berlangsung selama 7 hari 6 malam. Seramai 18 orang delegasi mewakili Malaysia telah mengikuti program ini.
18 orang peserta ini pula telah dibahagikan kepada 4 kategori iaitu pegawai belia, usahawan, artis dan pelajar.
Sdr. Noryzal Zainal Abidin merupakan aktivis GPTD yang mewakili ABIM yang turut terpilih mengikuti rombongan tersebut sebagai wakil pegawai belia.
Mengikut kacamata pihak penganjur, program ini adalah bertujuan :-
• Untuk menimbulkan kesedaran dan menanam semangat sukarelawan dikalangan belia
• Untuk meluaskan hubungan di antara remaja ASEAN dan republik China
• Untuk mengukuhkan hubungan dari segi politik, ekonomi dan sosial di antara China and ASEAN
Program ini bermula dengan idea asal dari Perdana Menteri China, Wen Jiabao pada Mesyuarat Pemimpin China-ASEAN yang ke-10 dimana belia telah mencadangkan untuk menjemput 1000 belia dari Negara ASEAN untuk melawat Republik China dalam masa 5 tahun.
Program yang bermatlamatkan agar perhubungan yang terjalin terus dapat dieratkan lagi, juga dapat memberi pandangan serta pendapat dalam melahirkan masyarakat cemerlang.
Bagi mencapai matlamat tersebut, setiap individu mesti ada sifat hormat menghormati serta ringan tulang dalam menjalankan kerja-kerja amal agar dapat membentuk peribadi murni dalam diri setiap individu.
Persepakatan antara negara satu dengan lain hanya akan wujud bilamana adanya komunikasi dan hubungan erat diantara dua pihak.
Pendekatan tertentu perlu ada bagi menarik minat masyarakat bersama-sama dalam memerangi dan membendung dari merebaknya masalah sosial dikalangan belia-belia serata ASEAN.
Para peserta telah dibawa menziarahi beberapa tempat iaitu Guangxi Zhuang, Nanning, Fangchenggang, Beihai dan Guangzhou.
Peserta dibawa untuk melawat Zon Pembangunan Perindustrian Berteknologi Tinggi, Zon Ekonomi & Perdagangan, Pelabuhan, Stesyen Janakuasa Elektrik, Kompleks Universiti, Pusat Pemulihan Air, Istana Kanak-kanak, Pejabat Pengurusan Lebuhraya, Bank of China, Taman Pertanian Moden, Muzeum dan Kawasan Tanaman Semula Pokok Bakau.
Secara keseluruhannya, kesemua peserta didedahkan dengan pelbagai peluang yang terdapat di Negara China terutamanya didalam bidang ekonomi dan keusahawanan.
Seperti yang dimaklumi, Negara China merupakan salah satu Negara yang amat pesat membangun dengan kadar pelaburan asing yang begitu tinggi diatas kelebihannya menawarkan kos pengeluaran yang paling kompetitif.
China mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan lagi wilayah ekonomi yang baru dibuka agar mampu menarik lebih ramai pelabur asing.
Kesan dari pembangunan pesat Negara China amat dirasai warga dunia apabila permintaannya terhadap bahan bakar meningkat sekaligus menyebabkan harga minyak dunia turut melonjak.