Tuesday, July 29, 2008

Amerika Latin : Benua Penuh Misteri



Ketika projek sulung Grup Pengkaji Tamadun Dunia diilhamkan pada 2001, pakej Sepanyol dan Amerika Latin telah diintegrasikan dalam satu projek. Ini memandangkan Sepanyol merupakan bekas penjajah bagi negara-negara Amerila Latin yang sudah tentu mempunyai kaitan rapat dari segi sejarah dan kebudayaan. Hampir semua negara Amerika Latin menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi kecuali Brazil yang menggunakan bahasa Portugis.

Sepanyol pernah menjadi pusat kecemerlangan Tamadun Islam yang menjadi asas kepada kebangkitan Sepanyol moden dan benua Eropah secara keseluruhan sehingga Jose Luis Rodriquez Zapatero, Perdana Menteri Sepanyol mengiktiraf sumbangan Tamadun Islam kepada Sepanyol setelah dinafikan oleh pemerintahan secara tersusun sebelum ini. Dalam masa yang sama Sepanyol pernah menjadi adi kuasa penjajah apabila bersaing dengan Portugal yang juga pernah menjadi sebahagian Tamadun Islam Andalus.

Projek sulung yang diilhamkan oleh Saudara Ahmad Azam Abdul Rahman, Pengasas GPTD ini amat tepat apabila menamakannya sebagai Eksplorasi Sepanyol – Amerika Latin. Setelah melalui beberapa fasa termasuk melaksanakan fasa kedua di Sepanyol kini tiba untuk memasuki fasa ketiga di benua Amerika Latin. Sudah tentu fasa ketiga ini lebih kepada mengkaji budaya masyarakat Amerika Latin khususnya di Cuba dan Venezuela serta meninjau ruang khidmat sosial di sana disamping melebarkan jaringan belia dan dakwah Islam di sana.

Bagi meneruskan kesinambungan tersebut, saudara Jufitri bin Joha, Pengerusi GPTD telah menghadiri Persidangan : “Venezuela:A Window to International Dialogue” yang dibarisi oleh T.Y.T. Manuel Antionio Guzman Hernandez;Duta Besar Venezuela ke Malaysia, Ms. Zhaybel Cardenas;Atache Media Kedutaan Venezuela di Malaysia, Mina Haymara Perez Carrillo; Editor Laman Sesawang Pergerakan Negara – Negara Berkecuali (NAM) dalam Bahasa Sepanyol dan Dato’ Ahmad Mokhtar Selat; Bekas Duta Besar Malaysia ke Venezuela dan Peru.

Tujuan persidangan ini adalah untuk mengeratkan hubungan “people to people’ antara Malaysia dengan Venezuela, memahami perbezaan budaya serta mengenali Venezuela lebih dekat sebagai pengeluar minyak terbesar di luar Negara Teluk.

Kita jarang mendengar tentang berita dari sebelah benua ini. Ini turut diakui oleh Dr. Farish A. Noor dari Universiti Singapura yang menyatakan dua benua yang jarang dikenali secara rapat iaitu Afrika dan Amerika Latin. Moleklah, Venezuela dijadikan jendela bagi mengenali Amerika Latin dengan lebih dekat.