Monday, April 24, 2006

Peristiwa Menarik GPTD Minggu Ini



23 April 2006 - Pulau Ketam, Selangor - Islamic Outreach ABIM (IOA) dengan kerjasama GPTD telah berjaya melaksanakan Misi Ukhuwwah ke Pulau Ketam. Seramai 17 orang penggerak dari GPTD, GPM, ABIM dan PKPIM yang diketuai oleh saudara Abdul Hakim Shahbuddin, Exco GPTD terlibat dalam misi ini. Tujuan utama misi ini adalah untuk menyambungkan ruh persaudaraan Islam antara umat Islam tanah besar dengan masyarakat minoriti Cina Muslim Pulau Ketam. Perjalanan dari Pelabuhan Kelang ke Pulau Ketam mengambil masa 30 minit menaiki feri laju. Beberapa siri ziarah dilakukan kepada warga emas Cina Muslim yang hidup terpinggir dan sejumlah kecil sumbangan telah diserahkan kepada mereka sebagai tanda keprihatinan. Penduduk Cina Muslim mengharapkan agar pihak IOA dan GPTD akan datang lagi menziarahi mereka pada masa akan datang.

Sementera itu saudara Penyelaras GPTD, Mohd Khairudin Mohd Nor telah menyampaikan taklimat GPTD di Sekolah Menengah Arab JAIM Al-Ahmadi di Sungai Udang, Melaka.



22 April 2006 - Shah Alam - Satu Ceramah Iktibar Dari Sejarah Turki Uthmaniyyah dan Andalus telah dianjurkan oleh GPTD di Masjid Hidayah Seksyen 18. Ceramah telah disampaikan oleh 2 tokoh utama GPTD iaitu saudara Najmuddin Mohd NAwi, Ketua GPTD Turki-Asia Tengah dan saudara Jufitri Joha, Ketua GPTD Sepanyol-Asia Tengah. Ceramah turut dihadiri oleh pelajar-pelajar persediaan ke luar negara (INTEC) dan jemaah masjid.

Sementara itu saudara Noryzal Zainal Abidin, Aktivis GPTD telah menyampaikan ceramah Maulidurasul di Surau Ansar Sunnah di Bandar Manjalara kepada remaja di situ.



21 April 2006 - PWTC - Satu pertemuan mahabbah bersama novelis terkenal saudara Faisal Tehrani telah diadakan di kediaman beliau berhampiran PWTC. Pertemuan ini diaturkan atas permintaan saudara Faisal Tehrani untuk bertemu dengan saudara Jufitri Joha, Pengerusi GPTD. Kunjungan yang turut disertai oleh saudara Mujahed, Ketua GPTD Uzbekistan ini telah disambut dengan penuh mesra dan disajikan dengan pelbagai idea-idea dan ilmu-ilmu yang menarik daripada beliau terutamanya pengalaman beliau membawa diri ke Turki selama setahun. Saudara Faisal turut menghadiahkan beberapa buah buku hasil tulisan Said Nursi Badiuzzaman, tokoh pejuang Turki. Tulisan saudara Faisal boleh dibaca melalui http://tehranifaisal.blogspot.com/