Thursday, July 28, 2005

Sedutan Dari Sekuntum Bunga Kemboja



"....Kami menjelajah ke tiga buah kampung di wilayah Kampung Cham bersama mufti dan kakitangannya. Di sepanjang perjalanan, kami lihat kenderaan bagaikan kapal kontena. Lori trailer disambung dengan dua buah trak ibarat keretapi. Para penumpang terpaksa bergayut di belakang van yang sarat dengan muatan.

Setibanya ke destinasi, kami disambut mesra oleh penduduk yang persis berwajah Melayu. Mereka membantu kami memunggah beg dan kotak sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin. Teh Veitnam dihidangkan kepada tetamu yang tidak putus-putus mengunjungi mufti. Kami mengambil kesempatan berbicara dengan tetamu untuk mendapatkan maklumat bagi kajian komuniti dan pertanian.

Seawal pagi kami meronda kawasan kampung. Suasana di sini tidak ubah seperti di Malaysia. Namun kemiskinan masih sebati di jiwa penduduk. Kami memberi gula-gula kepada anak-anak kecil yang sedang leka bermain di halaman rumah. Terdapat kedai runcit dan gerai makanan di sekitar kampung. Mereka menjual kuih-muih seperti cengkodok, lepat labu, agar-agar, apam, dan lempeng. Di kampung Pothi In, pondok-pondok perusahaan besi diusahakan secara tradisional. Besi dibakar dan diketuk bagi membentuk mata parang, cangkul dan sebagainya. Kami merentas batas-batas sawah padi di pinggir kampung. Kelihatan para pesawah sedang memindahkan anak-anak padi dari tapak semaian. Haiwan ternakan pula meragut rumput di petak-petak sawah yang kering. Di negara beriklim tropika, pokok kelapa laut lebih banyak tumbuh berbanding pokok kepala. Namun, santan kepala kerap digunakan dalam masakan tempatan.

Sempena perjumpaan pihak mufti dengan para imam dan pelajar madrasah, saya mewakili kumpulan diberi kesempatan menyampaikan ucapan dan hasrat kami bertandang ke mari. Selepas majlis tersebut, satu jamuan besar diadakan hasil duit zakat rakyat Malaysia yang prihatin. Seekor lembu disembelih dan dimasak secara gotong-royong oleh penduduk kampung.

Sepertimana di Phnom Penh, kami mengadakan kelas membuat keperek di ketiga-tiga kampung. Bezanya ialah kami menggunakan kayu api sebagai bahan bakar. Anak-anak gadis di sini lebih cekap belajar dan mahir memasak. Cuma mereka tiada kemudahan untuk membungkus dan memasarkan produk tersebut...." Anas Jaafar-Ketua GPTD Kemboja.