Jakarta, 6 Mac 2010 - XPDC HAMKA II berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Hajat untuk berziarah ke Makam Buya Hamka di Tanah Kusir tertunai juga. Aktivis Grup Hamka seramai 4 orang yang diketuai oleh Sdr Izwan Suhadak, Naib Presiden GPTD telah diiring oleh Ust Irfan dari Dewan Da'wah. Kami bersolat Jumaat di Masjid Al-Azhar dan bersilaturahmi bersama pimpinan Yayasan Pondok Pesantren Al-Azhar selepas itu. Pesan ketuanya Ust. Malik, "agar ukhwah pemuda Islam akan terus mekar antara Malaysia-Indonesia". Khutubah penuh bersemangat telah disampaikan oleh Ust. Afif Hamka (anak Hamka) pada hari itu.
Ditakdirkan bertemu dengan anak perempuan Hamka, Ibu Azizah Hamka di masjid. Beliau teruja bertemu aktivis Grup Hamka dan menjemput kami bertandang ke rumahnya. Kami berbesar hati dan hasrat untuk menjejak kaum keluarga Hamka telah diaturkan oleh Allah SWT secara tidak disangka-sangka. Dalam pertemuan dengan keluarga Ibu Azizah Hamka di kediamannya di Kebayuran, Jakarta Timur amat mengujakan kami. Turut serta dalam pertemuan makan besar adalah adik Ibu Azizah Hamka iaitu Aliah Hamka dan Fatihah Hamka. Cicit Hamka, adik Iqbal yang hiperaktif menghiburkan kami yang bertandang.
Temubual santai sempat dirakamkan untuk tatapan eksklusif aktivis Grup Hamka dan peminat-peminatnya diseluruh dunia. Akan diterbitkan di ruang youtube dalam masa yang terdekat. Mereka sempat berkongsi pengalaman rasa bagaimana menjadi anak seorang ulama besar. Ada yang melucukan ketika masih kanak-kanak. Anak perempuan dimanjakan manakala anak lelaki ditegaskan. Terkesan ketika perkongsian pengalaman saat Buya Hamka meninggal dunia, ramai yang hadir untuk bersolat jenazah. Selepas selamat dikebumikan, hujan turut lebat seolah-olah alam juga merasai sedih atas pemergiaan hamba Allah iaitu Hamka yang besar jasanya kepada ummat.
- Dilaporkan oleh Sdr. Muhammad Izzat, aktivis Grup Hamka yang turut mengikuti XPDC HAMKA II pada 5-7 Mac 2010