Thursday, March 04, 2010

Naib Presiden Sampaikan Pesanan Hamka


Sabak Bernam, 28 Februrari 2010 - Seramai 10 aktivis Grup Hamka, GPTD UNISEL kali ini turun ke SMK Munshi Abdullah di Sabak Bernam Selangor untuk berbakti dan berkongsi ilmu kepada pelajar tingkatan empat bermula 27 hingga 28 Februari 2010. Kem XPDC HAMKA adalah susulan program XPDC HAMKA di Sumatera Barat, Indonesia. Tujuan utama adalah untuk memperkenalkan Buya Hamka sebagai ikon generasi muda. Di kala ini, anak-anak muda sudah terlalu dipaksa dengan artis sebagai ikon mereka oleh pihak media. Oleh itu, Grup Hamka hadir untuk mengisi jiwa mereka dengan digantikan Buya Hamka sebagai sumber inspirasi untuk lebih maju dari segi spiritualisme, intelektualisme dan aktivisme.

Latarbelakang Hamka yang merupakan anak yang nakal semasa zaman remaja akibat perpisahan kedua ibubapa beliau akhirnya telah melakukan transformasi diri dan masyarakat. Sudah mandiri seawal usia 15 tahun dengan mengembara untuk menuntut ilmu dan mencari makna kehidupan. Bapanya seorang ulama besar pernah mengungkap kepada anaknya, Hamka ketika kenakalannya memuncak, "Engkau anak paling tak berguna". Ungkapan itu telah membawa makna yang besar dalam kehidupan beliau sehingga merantau ke Mekah. Beliau tidak marah kepada bapanya tetapi menjadikan ungkapan itu sebagai satu titik mula untuk berubah dan ingin membuktikan bahawa beliau bukan anak tidak berguna kepada bapanya.

Akhirnya selepas pulang dari Mekah, perubahan ketara berlaku pada beliau sehingga diangkat menjadi ulama. Inilah semangat yang cuba diterapkan kepada adik-adik di SMK Munshi Abdullah. "Generasi muda sekarang janganlah menyalahkan persekitaran sama adaibu bapa dan guru jika ada kekurangan pada diri. Tetapi carilah ilmu dan beramal untuk melakukan sesuatu yang bermakna kepada diri, keluarga dan masyarakat", kata Muhammad Izzat, Pengarah program yang merupaka bekas pelajar di sekolah itu.

Antara pengisian program adalah ceramah yang bertajuk Hamka Sebagai Ikon Generasi Muda dan Belajar, Mengajar & Diajar yang telah disampikan oleh Sdr. Izwan Suhadak, Pensyarah di Unisel yang merupakan Naib Presiden GPTD Pusat. Disamping itu latihan dinamika kumpulan dan permainan bermodul diadakan untuk mengasah dan memupuk semangat kerjasama, kepimpinan dan kemahiran komunikasi.

- Unit Media