Sepang - Selasa, 29 Disember 2009/ 12 Muharam 1431 H - Seramai 12 orang telah selamat berlepas dari LCCT ke Padang, Sumatera Barat untuk Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka (XPDC HAMKA) dan misi bantuan kemanusiaan ke Maninjau, Sumatera Barat dari 29 Disember 2009 hingga 12 Januari 2010. Ekspedisi ini bertujuan untuk mengkaji pengkisahan sejarah kehidupan Buya Hamka serta mengadakan Khidmat Sosio-Pendidikan kepada pelajar Pesantran Buya Hamka dan masyarakat di sekitarnya. Selain daripada itu, XPDC ini juga bertujuan untuk membentuk sukarelawan muda yang bakal melakukan anjakan paradigma serta mendedahkan mereka dengan isu-isu serantau dan global dalam proses penjanaan minda yang positif dan cemerlang.
Program di terajui oleh GPTD UNISEL dengan kerjasama WADAH, ABIM, PKPIM dan GPM serta Pesantren Buya Hamka dan DDII di Indonesia.
Rombongan 12 orang diketuai oleh Izwan Suhadak Ishak, Pembantu Pensyarah di UNISEL yang juga Penasihat Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Industri Selangor (GPTD UNISEL). Turut serta ialah 7 orang pelajar UNISEL, 2 pelajar dari Sunway University College dan 2 orang aktivis PKPIM. Sebelum pergi mereka telah mengadakan induksi 7 hari bagi membina kumpulan dan memperincikan persiapan untuk ke sana. 4 hari berkampung di Sekretariat PKPIM di Gombak dan 4 hari lagi di Kompleks Dar al Hikmah, Sungai Ramal Dalam.
Mereka selamat tiba di Padang jam 8 pagi waktu tempatan Selasa 29 Disember 2009 dan disambut oleh wakil DDII. Rombongan meneruskan perjalanan ke Sg Limau, Pariaman untuk melihat kesan dan akibat gempa yang berlaku pada 30 September lalu. Di sana mereka bertemu dengan aktivis Pelajar Islam Indonesia (PII). Sebelah petang kembali ke Padang dan malamnya mengadakan dialog dengan aktivis pelajar di Islamic Centre dan Yayasan Amal Saleh, Padang.