Maninjau- 30 November 2009 / 14 Zulhijjah 1430 - Di sebalik kedamaian dan ketenangan Danau Maninjau yang menyimpan seribu satu kenangan dan sejarah yang tidak terungkap, suatu gempa bumi berukuran 7.8 pada skala richter telah berlaku pada 30 September yang lalu. Gegaran yang dirasai oleh kira-kira 4000 ribu orang penduduk di empat kampung di Maninjau pada awal pagi itu telah diikuti dengan tanah gelongsor di 25 tempat apabila hujan turun dengan lebat pada sebelah petang. Jalan masuk untuk ke Pesantren Buya Hamka tidak dapat digunakan. Ada juga rumah-rumah yang dibawa arus tanah hingga ke dalam tasik dan tenggelam sepenuhnya.
Para pelajar Pesantren Buya Hamka bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri di masjid berdekatan. Daripada 45 rumah yang tidak lagi layak dihuni dan lebih 200 buah yang rosak, tidak ada satupun korban nyawa berlaku di Maninjau. Di kawasan bukit bukau di sekeliling tasik kelihatan bekas gelongsoran tanah yang agak ketara. Selain itu, telah berlaku runtuhan di sebuah bukit sepanjang satu kilometer mengakibatkan kemusnahan rumah dan jalanraya. Arus air yang di bawa oleh batu-batu dari atas bukit kini mengalir merentangi beberapa jalan menuju pesantren. Para pelajar Pesantren Buya Hamka kini berjumlah seramai 64 orang terpaksa tinggal di sebuah bangunan dua tingkat separa siap bersebelahan masjid. Pelajar lelaki seramai 30 orang ditempatkan di di bahagian bawah rumah berkeluasan 20 kaki persegi. Pada hari raya kedua, dua ekor lembu telah dikorbankan untuk diagihkan kepada masyarakat. Salah satunya dibuat di Masjid Raya dalam daerah Kukuban dan satu ekor lagi di berdekatan penempatan sementara Pesantren.
Selepas selesai acara Qurban, kami dibawa melihat tapak baru pesantren yang telah diwakafkan oleh masyarakat terletak kira-kira 15 kilometer dari tempat lama. Terletak di Desa Kubugadang, kawasan ini merupakan sebuah perkampungan pada asalnya. Disebabkan kedudukan yang agak jauh di atas bukit serta prasarana yang kurang baik, penduduknya telah berpindah ke kawasan yang lain. Terdapat beberapa buah rumah dan sebuah masjid yang tidak lagi digunakan. Lokasi ini mempunyai pemandangan yang cantik kerana kedudukannya yang menghadap danau. Apa yang diperlukan sekarang adalah akses jalanraya untuk sampai ke kawasan tersebut. Terdapat juga satu lagi kawasan alternatif bagi membangunkan pesantren sementara di daerah lain. Saudara Azhar, wakil dari Surau/Masjid Bukit Jelutong tiba pada tengahari 28 November 2009. Beliau telah mengambil masa hampir dua hari menggunakan jalan darat dan air untuk sampai ke Padang. Beliau akan melaksanakan kerja-kerja dokumentasi untuk baki dua ekor lembu pada hari Ahad.
Pesantren Buya Hamka telah menerima bantuan dari beberapa NGO tempatan. Antaranya Dompet Dhuafa’ Indonesia telah bermurah hati menyumbang 20 lokal darurat untuk dijadikan kelas sementara. Selain itu, Lembaga Manajemen Infaq (LMI) berpusat di Surabaya telah menghulurkan Rp50 juta selain bantuan untuk penternakan ikan yang akan menyusul.
Secara keseluruhan, gempa bumi yang berlaku di Maninjau telah memberi kesan yang mendalam kepada penduduk setempat. Kaum wanita dan kanak-kanak masih lagi tidur di dalam khemah kerana bimbang kejadian yang sama bakal berulang. Jalan-jalan yang terkambus dek runtuhan sudah dibersihkan dan yang terbelah dua disambung menggunakan batang kelapa. Peristiwa mengendong anak dengan berjalan kaki ke tengah danau di malam hari dalam keadaan hujan, perempuan tua yang keseorangan di rumah di samping suaminya yang cedera yang ditemui dua hari sesudah gempa merupakan sekelumit daripada ribuan kisah saksi-saksi musibah yang menggoncang bumi Maninjau dua bulan yang lalu.
MOHD SHAKIR FAHMI BIN FAKHRULRAZI
Sukarelawan GPM / Ahli Majlis Tertinggi GPTD
#GPTD UNISEL akan menghantar misi rasmi ke Maninjau sidikit masa lagi bagi meneruskan misi khidmat sosial sebelum ini dan membantu mangsa gempa bumi.