Wednesday, December 26, 2007

Lawatan Mahabbah ke Melaka

23 Disember 2007 / 13 Zulhijjah 1428 H – Kumpulan Jejak Warisan 2003 iaitu kumpulan Program Khidmat Sosial dan Kajian Sosio Budaya di Pulau Krismas, Australia di bawah seliaan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) telah membuat kunjungan dan lawatan mahabbah ke Melaka. Tujuan lawatan tersebut adalah untuk mengunjungi penduduk Pulau Krismas yang pulang bercuti di kampung halaman mereka di Melaka bagi mengeratkan hubungan dan ukhuwwah Islamiyyah yang terjalin semenjak Oktober 2003.

Lawatan yang diketuai oleh saudara Kamarul Arifin Mohd Wafa, bekas ketua kumpuan Jejak Warisan 2003 ini berkesempatan mengunjungi dua buah rumah iaitu rumah Makcik Timah dan Pakcik Bacha di Serkam, Melaka. Pada kebiasaannya penduduk Pulau Krismas menghabiskan cuti hujung tahun mereka di Malaysia menziarahi sanak saudara dan keluarga.

Pulau Krismas merupakan sebuah pulau kecil di bawah negara Australia yang terletak di Lautan Hindi. Kedudukannya amat hampir dengan Indonesia berbanding tanah besar Australia sendiri. Pulau Krismas amat terkenal dengan populasi jutaan ketam merah dan perlombongan baja fosfat. Baja fosfat merupakan sumber utama ekonomi pulau tersebut yang menarik minat rakyat Malaysia dan Indonesia berhijrah ke sana mencari rezeki sejak tahun 60 an.

GPTD telah berkesempatan melebarkan jaringan dakwah ABIM di Pulau Krismas pada Oktober 2003 dengan melakukan kajian sosio budaya dan khidmat sosial di sana. Kemudian disusuli program khidmat sosial dan imam muda selama sembilan bulan oleh saudara Noryzal Zainal Abidin iaitu Exco ABIM Pusat.