Thursday, December 27, 2007

LAPORAN INDUKSI GPTD 2007/2009

Sesi Bergambar bersama-sama Exco Pimpinan

Jumaat, 14 Disember 2007 – Kem Sri Raudah, Gombak. Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) telah berjaya melaksanakan satu program induksi bagi ahli jawatankuasa yang baru dilantik bagi sesi 2007/2009. Induksi ini telah diadakan di Kem Sri Raudah, Gombak. Seramai 13 orang ahli jawatankuasa telah hadir dan seorang lagi ahli jawatankuasa tidak dapat hadir atas urusan yang tidak dapat dielakkan. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapatlah sama-sama program ini dijalankan dengan jayanya. Walaupun pada awalnya banyak rintangan yang perlu dihadapi tapi berkat kesabaran dari semua pihak akhirnya program ini berjaya juga dijalankan.Tujuan induksi kali ini diadakan adalah untuk memantapkan dan meningkatkan lagi mutu dan kualiti yang baik dari segi gerak kerja masing-masing. Selain itu, induksi kali ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama ahli untuk memupuk semangat berkumpulan.

Pengerusi memberikan ucapan

Induksi kali ini dimulakan dengan sesi ta’aruf kemudian diikuti dengan pembentangan dan laporan bagi sesi yang lepas oleh ketua-ketua biro dan ketua-ketua grup. Pada hari yang kedua, semua peserta bergerak ke Anjung Rahmat bagi meneruskan slot yang seterusnya iaitu slot bersama Pengerusi GPTD, Saudara Jufitri Joha dan slot bersama Pengasas GPTD, Encik Ahmad Azam. Saudara Jufitri Joha, telah menerangkan kepada semua peserta mengenai asal-usul GPTD serta apa GPTD itu yang sebenarnya. Encik Ahmad Azam pula telah berkongsi pengalaman beliau serta memberikan kata-kata semangat kepada semua peserta bagi meneruskan perjuangan sebagai aktivis yang berjiwa kental dan mencabar. Selain itu, Saudara Jufitri juga mewajibkan kepada semua ahli GPTD untuk membaca buku yang bertajuk “Confesssions Of An Economic Hit Man” hasil karangan John Perkins. Pada sebelah malamnya, kami mengadakan BBQ bagi merehatkan otak setelah seharian mendengar ceramah. Saudara Shakir (Ahli Syura GPTD) dan Saudara Yusni (Vokalis Usratika) juga telah dijemputkan bagi memeriahkan lagi suasana.

Sesi bersama Pengasas (En. Azam)

Nyanyian lagu Tema "Jiwa Pengembara" oleh Sdr. Yusni

Program berakhir pada hari Ahad, 16 Disember 2007. Pada hari yang terakhir, Saudara Najmuddin Nawi (Ketua Penyelaras GPTD) telah membentangkan mengenai perancangan GPTD 2008/2009, fokus, sasaran serta aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan bagi sesi kali ini. Selain itu, ahli jawatankuasa GPTD yand baru juga telah membentangkan cadangan aktiviti yang bakal mereka laksanakan sepanjang mereka memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa GPTD. Program berakhir dengan kata-kata amanat dari Ketua Penyelaras GPTD, Saudara Najmuddin dan sesi bergambar.

Diharapkan agar induksi kali ini dapat memberikan manfaat yang besar maknanya kepada semua ahli jawatankuasa baru GPTD bagi membuahkan hasil yang berkualiti dan sistem pengurusan yang kemas, terencana dan berkesan. InsyaAllah.