Bergambar bersama keluarga Ustaz Afi (pengasas Madrasah Darul 'Ulum Poi Pet) sebelum berlepas ke Kemboja.
Dalam sedar tak sedar dua minggu telah berlalu. Banyak perkara yang aku pelajari sepanjang berada di Kemboja tempoh hari. Pasti ramai tertanya apakah yang dilakukan di sana. Sebagai contoh, adik ini bertanya di blog, apa yang aku buat kat sana? Apa matlamat misi ni dan apa itu GPTD?
Bergambar bersama Setiausaha 1 / Head of Chancery Kedutaan Malaysia di Kemboja iaitu En. Syed Farizal Aminy Syed Mohamad [Sewaktu kehadiran kami, Duta Malaysia tiada, jadi Syed Farizal yang menyambut kehadiran kami]
Kepada yang tidak tahu, tujuan utama dijalankan misi kesukarelaan ke Kemboja tempoh hari adalah untuk mendapatkan jalinan perhubungan dengan masyarakat dan badan-badan Muslim di Kemboja secara khususnya dan umumnya adalah untuk menjejak sejarah Islam di Kemboja disamping menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti mengadakan kelas bahasa dan agama.
Sesi menemuramah Naib Presiden Siem Reap Muslim Community Development Organization, En. Apdulkanny Muoth. Beliau juga merupakan satu-satunya guru beragama Islam yang mengajar di Australian Centre for Education ((ACE) di Siem Reap, Kemboja
Mungkin ada yang akan bertanya, kenapa di Kemboja? Kenapa tidak negara-negara lain? Untuk pengetahuan, di dalam GPTD kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut negara yang ditetapkan. Setiap kumpulan mempunyai misi tersendiri dan tujuan utamanya tidak lari daripada membina jaringan perhubungan antarabangsa dengan badan-badan belia di negara yang dituju.
Sesi temu ramah bersama Mufti Kemboja (Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam Kemboja); Ustaz Hj Kamaruddin Yusof yang juga merangkap Pengarah Cambodia Islamic Centre.
Makanya untuk Misi ke Kemboja ini, kami telah berjaya menjalinkan perhubungan dengan beberapa wakil badan Muslim di sana. Antaranya Siem Reap Muslim Community Development Organization (SRMCDO), Cambodia Islamic Centre (CIC), dan Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam Kemboja (MAPIK).
Penyerahan cenderamata kepada Ustaz Zakaryya Adam selaku Ahli Parlimen Kemboja merangkap Member of Commission on Education, Youth, Sport, Religious Affairs, Culture and Tourism
Menurut Ustaz Zakaryya Adam, terdapat lebih daripada 10 badan Muslim yang aktif di Kemboja namun kami tidak berkesempatan untuk bersua muka dengan semua wakil mereka. Cukuplah kami mengenali beberapa figura penting di Kemboja seperti Ustaz Afi (Pengasas Madrasah Darul 'Ulum di Poi Pet), Ustaz Haji Musa (Pemilik Restoran Keluarga Islam di Siem Reap), Ustaz Hj Kamaruddin Yusof (Ketua Mufti Kemboja) dan Ustaz Zakaryya Adam (Ahli Parlimen Kemboja).
Penyerahan cenderamata kepada Ustaz Haji Musa yang merupakan orang paling banyak berjasa dalam menjayakan perjalanan kami di Kemboja. Beliau merupakan Siem Reap Muslim Leader dan Presiden Siem Reap Muslim Community Development Organization (SRMCDO). Juga pemilik Muslim Family Restaurant dan Melayu Champa Tours
Akhirul kalam, terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Misi ke Kemboja ini samada secara langsung ataupun tidak langsung. Moga dengan izin Allah, kami berharap agar kami dapat mengadakan program susulan di sana kelak. Ameen.
p/s: Di Kemboja mereka punya dua bahasa, bahasa rasmi adalah bahasa Khmer, manakala bahasa kedua adalah bahasa Cham.