Monday, March 17, 2008

GPTD ke Sunway University College



Subang Jaya, 14 Mac 2008 - Atas pelawaan Sunway University College Islamic Society (SUCI), GPTD telah ke sini untuk memberikan taklimat ringkas memperkenalkan GPTD kepada para pelajar Sunway College University dan Monash University.

Para peserta seramai hampir 60 orang telah menghadiri sesi taklimat yang pertama kali diadakan. Turut hadir ialah Puan Zurratul Ain, penasihat SUCI yang memberikan sokongan kepada aktiviti GPTD.

Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Sdr Asyraf, Presiden SUCI yang menyampaikan ucapan penghargaan kepada GPTD kerana menerima pelawaan mereka.



Seterusnya majlis dihidupkan oleh hos GPTD, Sdr Muhammad Suhail bagi memastikan agenda berjalan lancar. Gaya penyampaian taklimat kali ini adalah cara terkini GPTD untuk mempelbagaikan kaedah memperkenalkan GPTD agar ia kelihatan santai tetapi informatif.


Persembahan multimedia mempersembahkan beberapa informasi berkenaan GPTD secara ringkas sebelum taklimat penuh disampaikan oleh Sdr Jufitri Joha, Pengerusi GPTD.




Perkongsian pengalaman oleh Sdr Noryzal Zainal Abidin yang pernah berkhidmat selama 3 tahun di Australia pula disampaikan secara berselang dengan persembahan seni oleh kumpulan USRATIKA yang membawa lagu 'Jiwa Pengembara' untuk halwa telinga para peserta.

Lagu 'Jiwa Pengembara' yang berkonsep puisi ini adalah lagu tema GPTD yang sarat dengan makna bersesuaian dengan gerak kerja para sukarelawan GPTD (Lagu ini sedang berkumandang dalam blog ini).

Majlis diakhiri dengan perkongsian informasi oleh Sdr Zaid, Naib Pengerusi Kelab HAMKA yang memperkenalkan kelab ini dan membuka keahlian kepada para peserta.

Sesi soal jawab jelas menunjukkan bahawa para peserta berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan GPTD dan ingin menganggotainya.

Di samping taklimat pengenalan ini, GPTD turut membuka ruang pameran untuk tatapan para peserta. Terdapat juga jualan buku yang dikendalikan oleh Kelab HAMKA bagi memupuk minat membaca yang tinggi di kalangan ahli dan peserta.

GPTD mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SUCI dan para peserta kerana sudi menerima kehadiran kami dengan layanan cukup baik. GPTD berharap agar para peserta dapat menganggotai GPTD bagi memberikan nilai tambah kepada diri demi manfaat masa depan.